FOCUS

PENINGKATAN KADAR PENGANGGURAN DI MALAYSIA

Isnin, 27 Jun 2022
Oleh Nur Fariha

Peluang pekerjaan yang semakin terhad ditambah dengan penularan virus COVID-19 menjadi salah satu punca kepada peningkatan kes pengangguran di Malaysia.

Jumlah kes COVID-19 yang melanda negara dua tahun lepas.

(Sumber: Sinar Harian)

Menurut Aimi Liyana, 24, graduan pendidikan awal kanak - kanak yang masih tidak mendapat sebarang pekerjaan, mengatakan bahawa dia menghadapi kesukaran untuk mencari pekerjaan semenjak pandemik COVID-19 melanda negara.

“Peluang pekerjaan pada waktu pandemik adalah terhad serta gaji yang diberikan rendah, menjadikan salah satu cabaran yang dihadapi ketika mencari kerja di musim pandemik,” kata Aimi dalam temu bual bersama Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp.

Tambahnya lagi, masalah ekonomi yang melanda negara menyebabkan dia terpaksa menolak pekerjaan yang ditawarkan, berikutan gaji yang tidak setimpal dengan kos sara hidup zaman ini.

Berdasarkan Berita Harian, laporan Kajian Peralihan dari Sekolah ke Pekerjaan (SWTS) oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), permintaan gaji yang tinggi adalah antara alasan utama kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan anak muda sekarang.

Pada tahun 2017, kaji selidik telah dijalankan oleh JobStreet Malaysia dan menunjukkan lebih daripada dua pertiga majikan merungut dengan graduan yang meminta gaji lebih tinggi berbanding yang ditawarkan.

Berdasarkan kajian tersebut juga, hanya dua peratus majikan sahaja yang bersedia untuk membayar gaji antara RM2,400 hingga RM3,000 sebulan kepada graduan baharu.

Menurut Aimi, setiap temu duga yang dihadiri selalu berakhir dengan kehampaan kerana permintaan gaji yang ditawarkan tidak setanding dengan kelayakannya.

Kebanyakan syarikat yang dimohon dikatakan tidak mampu untuk membayar jumlah gaji yang sesuai dengan kos sara hidup kini berikutan tempias daripada pandemik yang terjadi.

“Banyak graduan dari profesion guru dan doktor sukar untuk mendapatkan pekerjaan akibat persaingan yang tinggi,” tambah Aimi.

Kadar pengangguran meningkat daripada 4.5 peratus kepada 4.8 peratus pada tahun 2021.

(Sumber: Harian Metro)

Memetik kenyataan Harian Metro, berikutan impak penularan virus COVID-19, kadar pengangguran di Malaysia memberikan impak yang negatif, ia telah meningkat sebanyak 2 peratus iaitu dari 3.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun 2020.

Siti Nur Aina Bujang, 22, seorang penganggur graduan kulinari menyatakan ekonomi keluarganya menjadi lebih teruk dan sukar baginya untuk mencari pekerjaan apabila kes COVID-19 semakin meningkat.

“Bagi saya, kesukaran mendapat pekerjaan ketika COVID-19 kerana syarikat terpaksa membuang pekerja bagi mengurangkan kos yang ditanggung.

“Majikan juga lebih gemar memilih pekerja yang mempunyai pengalaman berbanding graduan baharu,” katanya dalam sesi temu bual bersama Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp.

Para majikan seharusnya memberikan gaji yang setimpal dengan kelayakan yang diperoleh, supaya kadar pengangguran di negara ini dapat diturunkan.

Like the article? Share it now!