FOCUS

PEMPENGARUH, INDIVIDU TIDAK BERPENDIDIKAN?

Isnin, 19 Disember 2022
Oleh Sufea Irdina 

Ledakan teknologi mewujudkan banyak peluang pekerjaan yang tidak terbatas dan mampu menghasilkan pendapatan yang lumayan, termasuk menjadi seorang pempengaruh di media sosial.  


Namun begitu, ada segelintir masyarakat berpendapat bahawa pempengaruh merupakan kerjaya pilihan bagi mereka yang tidak minat untuk melanjutkan pelajaran. 


Kerjaya seorang pempengaruh media sosial ini dianggap jalan mudah bagi mereka yang ingin mendapatkan keuntungan tanpa memerlukan kelulusan atau pendidikan tinggi. 


Menurut akhbar Berita Harian, hasil statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKOM) pada September 2021, seramai 28 juta pengguna media sosial atau 86 peratus daripada penduduk negara ini telah dicatatkan.

“Individu berpendidikan juga boleh menjadi pempengaruh” - Azfar Heri

(Sumber: Instagram Azfarheri)

Seorang personaliti media sosial tempatan, Muhammad Azfar Herisyam atau lebih dikenali sebagai Azfar Heri, 25, berkata, beliau memulakan kerjaya sebagai pempengaruh ini dengan memuat naik video masakan menerusi laman instagram miliknya yang kini mencecah 1.2 juta pengikut.

Anak muda kelahiran Melaka ini bagaimanapun telah berjaya menggenggam segulung ijazah sarjana muda dalam bidang Multimedia di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan mempunyai siaran Youtube seramai 935 ribu pengikut. 

Menurut Azfar, beliau sering mendengar pelbagai pendapat yang dilontarkan termasuk ketidaksesuaian menjadikan pempengaruh ini sebagai sebuah kerjaya.

“Saya sedar bahawa terdapat stereotaip negatif terhadap individu yang dipanggil pempengaruh ini namun saya percaya bahawa setiap individu yang memilih untuk menjadikan  pempengaruh sebagai kerjaya pilihan mempunyai alasan mereka tersendiri.

“Bagi saya, tidak menjadi satu masalah bagi mereka yang berpendidikan tinggi tetapi lebih berminat untuk menceburi industri ini.

“Mungkin kerjaya sebagai seorang pempengaruh dilihat sebagai kerjaya bagi individu yang malas belajar, namun begitu, bagi saya, industri ini merupakan industri yang boleh mendatang hasil lumayan melebihi bidang yang dianggap profesional,” katanya.

Pendapatan dapat dijana selepas melepasi tiga peringat asas yang telah ditetapkan oleh pihak YouTube di mana mereka perlu memiliki 1,000 pengikut serta mencapai 4,000 jam tontonan dan Google akan menilai akaun tersebut sama ada layak meraih pendapatan dari YouTube.

Ariesya Farha pempengaruh muda yang berbakat.

Menurut seorang lagi pempengaruh yang terkenal dengan perkongsian fesyen dan kecantikan, Ariesya Farha Abd Wahab, 24, percaya ilmu dan kerjaya merupakan dua perkara yang berbeza. 

Beliau merupakan pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang bidang Pendidikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), yakin bahawa ilmu dan kerjaya merupakan dua perkara yang berbeza. 

“Saya sudah berada dalam industri ini sejak berusia 14 tahun dan dengan mempunyai ijazah, membolehkan saya menjadi seorang pempengaruh yang memberikan contoh yang baik kepada pengikut saya,” katanya.

Ariesya yang menjana pendapatan di aplikasi instagram berkongsi bahawa ramai orang sudah mula belajar untuk menghasilkan duit melalui Instagram.

Ulasan berbayar (paid review) merupakan cara yang terbaik untuk menjana duit di mana bayaran yang ditawarkan akan bergantung kepada jumlah pengikut di akaun Instagram pempengaruh tersebut.

“Mereka mula sedar bahawa media sosial bukan sahaja sebagai hiburan tetapi juga sebagai medium yang mampu membawa keuntungan.  

“Jumlah pengikut yang ramai  memberi  kami (pempengaruh) kelebihan untuk menjana pendapatan dengan melakukan kempen, mempromosikan produk mahupun mengeluarkan produk kami sendiri,” katanya.

Pempengaruh yang mempunyai ilmu dan pendidikan dilihat lebih profesional dan berkualiti untuk generasi kini.

Like the article? Share it now!