FOCUS

PADANG MBK 1: KEMBALI MENJADI TUMPUAN BERBUKA PUASA

Isnin, 30 Mei 2022
Oleh Sharwani Alias

KUANTAN – Konsep berbuka puasa beramai-ramai di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 kembali menjadi lokasi tumpuan menjelang Ramadan setelah dua tahun berbuka puasa di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Acara tradisi berbuka puasa sebelum ini terpaksa dipertimbangkan dan aktiviti berkumpulan bersama kenalan rapat dan keluarga tidak dibenarkan bagi menjaga prosedur operasi standard (SOP).

Perkhabaran baik yang penuh bermakna ini juga turut dirasai oleh orang ramai terutamanya masyarakat setempat di Kuantan.

Pengunjung berpeluang merasai bubur lambuk dan berbuka bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama-sama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Padang MBK 1.

Pengunjung menunggu waktu berbuka puasa di Padang MBK 1 berhadapan Masjid Utama Negeri Pahang, Masjid Negeri Sultan Ahmad 1.

(Sumber: Berita DIMENSi/Sharwani Alias)

Berbeza dari sebelum ini, pengunjung kini hanya dibenarkan untuk duduk di petak yang telah disediakan dengan kapasiti 140 petak yang memuatkan seramai 12 orang demi membendung penyebaran wabak COVID-19.

Acara ini berlangsung dari pukul 6.00 petang sehingga 8.30 malam dan buat pengunjung yang berhasrat untuk ke padang ini disarankan untuk membuat permohonan tempahan tapak berbuka puasa secara dalam talian.

Bazar Ramadan berdekatan dengan Padang MBK 1 dan Menara 188 yang dahulunya dikenali sebagai Menara Teruntum.

(Sumber: Berita DIMENSi/Sharwani Alias)

Masjid Negeri Kuantan dan bazar Ramadan terkenal dengan aneka juadah berbuka puasa di kawasan ini yang terletak berhadapan dengan padang dan keluasannya yang luas sesuai bagi mereka yang ingin berbuka puasa terutama pengunjung luar.

Pelajar Universiti Malaysia Pahang, Aisyah Radhiyah Yaakob, 22, berkata Padang MBK 1 menjadi tarikan dalam kalangan generasi yang menginginkan kelainan suasana berbuka puasa yang menyajikan persekitaran indah.

“Golongan muda kini menginginkan sesuatu kelainan dengan memilih untuk berbuka di tempat lain selain tempat makan biasa seperti kedai makan dan di rumah. Semoga peristiwa yang lalu tidak berulang lagi di mana tempat ini terpaksa ditutup, disebabkan wabak virus.

“Dalam tidak sedar walaupun segelintir menganggap tradisi berbuka puasa beramai-ramai boleh diadakan di rumah tetapi secara tidak langsung kita dapat mengeratkan hubungan dan dapat jadikan pengalaman sebegini untuk dikongsi dengan kenalan rapat,” kata Aisyah ketika ditemu bual Berita DIMENSi menerusi panggilan telefon.

Salah seorang pengunjung Padang MBK 1, Norazlina Mohamad Ali, 22, yang telah mengunjungi tempat ini beberapa kali turut meluahkan perasaan teruja kerana dapat berbuka puasa di kawasan yang menjadi tumpuan ramai itu.

“Saya rasa teruja kerana boleh berbuka puasa bersama rakan-rakan setelah dua tahun tidak dapat berkumpul beramai-ramai dan berbuka puasa bersama di Padang MBK 1,” kata Norazlina ketika ditemu bual menerusi Telegram.

Tanggungjawab dalam mengekalkan tempat ini sebagai lokasi tumpuan bukan sahaja terletak sepenuhnya ke atas penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) tetapi juga adalah tanggungjawab bersama.

Like the article? Share it now!