CITY

OPS EKZOS DISAMBUT BAIK MASYARAKAT SETEMPAT


Rabu, 2 Jun 2021
Oleh Shafiq Hamili

Contoh penggunaan ekzos yang telah diubah suai.
(Sumber: Motomalaya)

IPOH Penduduk Taman Raiya Mesra dapat menarik nafas lega setelah Ops Ubah Suai Ekzos yang dijalankan pada bulan April lalu memberikan kesan positif kepada kehidupan seharian mereka.


Pengubahsuaian ekzos yang rata-ratanya dilakukan oleh pemilik motosikal berkapasiti kecil adalah untuk memuaskan hati penunggang kenderaan itu secara peribadi.


Menurut Ridhuan Rasyid, 24, yang merupakan salah seorang penduduk di taman tersebut, beliau amat bersyukur dengan adanya ops ini, ketenteraman rumah serta taman yang didudukinya sedikit sebanyak menjadi lebih tenang, kata Ridhuan menerusi temu ramah bersama Berita DIMENSi menerusi aplikasi WhatsApp.


“Pernah satu malam jiran balik dan bunyi ekzos dia sangat bising, malah balik bersama rakan-rakan dan mereka memulas pendikit motosikal dan membuat bunyi letup-letup sehingga semua terbangun daripada tidur.


“Kalau ikutkan hati, nak sahaja tegur. Tapi sebab kita fikirkan mereka ini jiran dan waktu juga dah agak lewat malam jadi saya biarkan sahaja dahulu,” tambah beliau.


Beliau juga mengatakan bahawa pendekatan kerajaan untuk menyaman individu dengan kenderaan yang diubahsuai ekzosnya ini bukanlah satu tindakan yang zalim.


Sebaliknya ini adalah satu usaha kerajaan untuk mengurangkan pencemaran bunyi yang berlaku lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang menyebabkan ramai orang dibebani berbagai masalah lebih-lebih lagi tekanan perasaan.


Seorang lagi penduduk, Aida Syufina, 21, ketika ditemu ramah juga berkongsi pendapat yang sama. Menurutnya, bagi seseorang yang selalu berada di rumah, dia agak terganggu dengan bunyi-bunyi kenderaan yang melalui persekitaran rumahnya yang juga berdekatan dengan jalan utama.


“Kalau pada waktu puncak, kebiasaanya pagi dan petang, laluan depan ini agak bising lebih-lebih lagi pada waktu petang dengan bunyi motor yang bising mencelah sana sini kerana jalan yang sesak.


“Mat moto pun kalau dah menunggang motosikal jaranglah nak fikir orang, mereka tahu dapat mencelah dan cepat sampai ke destinasi mereka sahaja, kalau kereta tak bagi laluan, mereka akan memulas pendikit motosikal mereka bagi kereta dengar dan ke tepi untuk beri laluan kepada mereka,” kata Aida kepada Berita DIMENSi melalui temu ramah di aplikasi WhatsApp.


Tambahan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan, beberapa bulan kebelakangan ini adalah bulan yang agak tenang kepada Aida dan ahli keluarganya setelah bilangan kenderaan yang berada di atas jalan raya juga berkurangan.


Antara motosikal yang disita Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
(Sumber: Astro Awani)

Dengan adanya Ops Ubah Suai Ekzos ini, ia secara tidak langsung telah memberikan kelegaan kepada penduduk taman perumahan yang sering berhadapan dengan pencemaran bunyi ini lebih-lebih lagi pada hari minggu.

Penduduk di Taman Raiya Mesra berharap agar operasi ini dapat dipergiatkan pada masa hadapan serta diperluaskan ke kawasan yang bersasar.

Ini juga adalah satu inisiatif oleh pihak berkuasa untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat dan pengguna jalan raya tentang pencemaran bunyi dan alam sekitar, sekaligus memberikan ketenangan buat penduduk di kawasan perumahan seluruh negara.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!