state

NORMA BAHARU BERSOSIAL: @HELLO


Rabu, 2 Jun 2021
Oleh Zafran Azhar

Pelantar Digital Komunikasi Discord dan Google Meet.
(Sumber: Berita DIMENSi / Zafran Azhar)

SHAH ALAM – Walaupun COVID-19 telah membataskan segala rutin harian dan mengurangkan interaksi antara rakyat Malaysia, namun cabaran bagi setiap individu untuk bersosial dapat dikurangkan dengan adanya laman sosial maya sebagai norma baharu untuk kekal berhubung bersama orang yang tersayang.

Sering kali, dalam keadaan fizikal kita akan menegur dengan menggunakan 'halo!' kepada orang, tetapi sejak pengenalan internet, kita biasanya memulakan perbualan dengan penggunaan '@', lalu dari situ sudah menjadi kebiasaan bagi warga intelek zaman sekarang untuk berkomunikasi dimana jua, walaupun dalam pandemik ini.

Susulan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diperketatkan oleh kerajaan, interaksi sosial secara berdepan hanya terhad kepada mereka yang tinggal sebumbung, dan penjarakan sosial perlulah diutamakan bagi mengelak kontak rapat apabila berada di tempat awam.

Bagi mengelakkan jangkitan virus dan mengurangkan risiko yang tidak diingini, laman sosial atas talian (online social platforms) seperti Discord dan Google Meet telah menyaksikan peningkatan pengguna aktif mereka susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan.

Jadi, bagaimana kehidupan di alam maya bagi mereka yang sudah biasa bersosial secara fizikal?

Adakah kehidupan sosial mereka akan mengalami perubahan rutin yang drastik?

Amalan bersosial dalam komuniti manusia penting bagi mengeratkan hubungan antara satu sama lain. Namun, kekangannya wujud apabila PKP dan SOP yang tegas diumumkan oleh kerajaan.

Aplikasi media sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook merupakan medium yang lama manakala aplikasi seperti Discord dan Google Meet memberi permulaan norma rutin yang baharu bagi yang menginginkan interaksi sosial semasa PKP ataupun secara maya.

Menerusi temu bual yang dijalankan secara maya oleh wartawan Berita DIMENSi melalui Google Meet bersama seorang pelajar dari Dublin Business School, Haziq Zahid, 24, menyatakan pendapatnya mengenai pendekatan maya ini sebagai alat interaktif yang berguna untuk ekstrovert dan introvert susulan PKP.

"Saya sendiri dapat lihat makin ramai menggunakan Discord bila berlakunya pandemik. Saya mempunyai server sendiri dan walaupun tidak ada perubahan sangat, saya tetap online di mana-mana peranti saya walaupun saya tidaklah bersosial," kata Haziq.

Sama ada penggunaan aplikasi media sosial mainstream seperti Twitter dan Instagram melalui sebarang peranti, interaksi sosial perlu berpada-pada.

Seperti mana adanya kesederhanaan dalam melakukan aktiviti bersosial secara fizikal, kesederhanaan bersosial secara maya juga perlu diamalkan kerana kehidupan kita adalah lebih daripada apa yang berlaku secara online.

“Ia [Discord & Google Meet] bagus, boleh dikatakan budaya baharu yang akan bergenerasi tetapi, apa-apa pun kita buat perlu adanya kesederhanaan,” sambungnya.

"Sama ada kita bersosial secara fizikal mahupun online, kedua-duanya mempunyai dan memberi kemahiran yang tersendiri. Ia sangat bagus kerana kita sentiasa bersama-sama (connected),” katanya.


Soalan yang ditanya di laman sosial Twitter.

(Sumber: Twitter / @zafranazhar_)

Wartawan Berita DIMENSi telah menjalankan tinjauan di laman Twitter-nya untuk mendapatkan maklum balas serta pandangan daripada pengikutnya melalui soalan-soalan yang disediakan.

Soalan-soalan yang disediakan menguji kebergantungan kita terhadap aplikasi seperti WhatsApp dan Telegram untuk berhubung manakala pelantar sosial seperti Discord dan Google Meet untuk perjumpaan maya serta kebarangkalian untuk bersosial semula seperti biasa atau pun dengan norma baru.

Ramai di antara mereka bersependapat untuk kekal menggunakan aplikasi maya bagi berhubung dan bersosial, tidak kira situasi, dan sebanyak 81.1% peratusan bersetuju untuk kekal menggunakan kedua-dua kaedah sosial.

Berdasarkan tinjauan yang dibuat, Berita DIMENSi dapat melihat bahawa ramai di antara mereka mampu menjalani kehidupan dalam norma baharu, tidak kira secara fizikal mahupun maya. Ini menunjukkan bahawa segalanya bergantung pada diri kita dalam menjadi pengguna yang bertanggungjawab ketika bersosial.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!