CITY

MERENTAS SEWAKTU PKP: ALASAN MUNASABAH ATAUPUN DOUBLE STANDARD?


Jumaat, 11 Jun 2021
Oleh Anis Zulaikha

Pihak polis sentiasa memantau pergerakan masyarakat agar mereka patuh Prosedur Operasi Standard (SOP).
(Sumber: Utusan Malaysia / Raja Jaafar Ali)

Setiap hari, ada sahaja cerita yang tular di laman sosial berkaitan dengan masyarakat yang mencuba nasib untuk merentas daerah dan negeri menggunakan 1,001 alasan tanpa mengemukakan sebarang dokumen yang kukuh.


Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 Mei lalu, merentas daerah dan negeri sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah dilarang kecuali bagi urusan kecemasan, pekerjaan, perniagaan, kesihatan, vaksinasi dan pasangan jarak jauh.


Rata-rata masyarakat faham dan patuh akan arahan tersebut, namun ada juga antara mereka yang ingkar sehingga sanggup membayar kompaun yang dikeluarkan oleh pihak polis.


Pegawai tadbir, Ahmad Fauzi Zainuddin, 48, ketika ditemu bual bersama Berita DIMENSi di rumahnya di Pandan Indah, berpendapat bahawa larangan rentas kawasan ini bermaksud sesiapa pun tidak boleh lepas ke mana-mana tempat tanpa urusan yang mustahak, penting ataupun berada dalam status kecemasan.


“Ia tertakluk kepada budi bicara pihak polis. Kadang-kadang, mereka (masyarakat setempat) mencuba nasib. Kalau lepas, lepas. Kalau tidak lepas, patah balik,” kata beliau yang sebelum ini pernah merentas negeri ke Kelantan atas urusan kecemasan, perubatan dan kematian.


Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang perlu merentas negeri untuk tujuan pendidikan ataupun pulang dari kampus pula akan diberikan surat kebenaran merentas oleh universiti masing-masing.


Bagi pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Aida Syahira Roslan, 22, hanya dengan menggunakan surat yang ada, keluarga beliau tidak perlu memohon ataupun mengisi borang merentas dari balai polis.


Berkenaan dengan isu double standard seperti yang diuarkan-uarkan oleh masyarakat setempat, ramai di antara rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan terhadap golongan kayangan, iaitu mereka yang berpendapatan tinggi, selebriti dan juga menteri.


Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada keistimewaan dan pengecualian diberikan kepada sesiapa saja termasuklah orang ternama dan selebriti untuk membenarkan mereka merentas negeri.


Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di ibu negara baru-baru ini.
(Sumber: The Star)

Bagi Aida Syahira yang ditemu ramah oleh Berita DIMENSi melalui panggilan telefon, beliau percaya isu double standard itu wujud meskipun hanya perkara kecil.

“Sebagai contoh, kes Neelofa yang merentas negeri untuk membeli karpet. Kalau saya merentas negeri membeli karpet, saya kena saman, tetapi Neelofa beli karpet tak kena saman,” tambah Aida lagi.

Ketika menemu ramah agen insurans sambilan, Nur Ameera Merican Badrul Hisham Merican, 22 melalui panggilan telefon, beliau juga bersetuju adanya double standard itu, dengan mempercayai bahawa pihak polis ini dibayar oleh selebriti dan orang kenamaan agar mereka terlepas dari kawalan merentas yang ketat.

“Ada di antara kita yang membuat surat palsu dan terlepas dari sekatan pihak polis. Kadang-kala, pihak polis terpaksa menghubungi syarikat yang membenarkan pekerja ini bekerja untuk mendapatkan kepastian dan kesahihan surat yang ada,” kata Ameera ketika ditemubual bersama Berita DIMENSi.

Nur Adlina Muhamad Azhan, 19, pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan pula berkata, kedua-dua pihak pemimpin dan juga rakyat tidak menjalankan tanggungjawab dan akur akan perintah sewajarnya.

“Yang selayaknya kena denda, tidak dikenakan (denda) dan tidak disiasat pun kesalahan dia betul-betul. Tetapi, yang tidak sengaja melanggar SOP terus didenda, tidak disiasat,” kata beliau ketika ditemu bual bersama Berita DIMENSi menerusi aplikasi Telegram.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan duduk di rumah sekiranya tiada keperluan untuk keluar. #kitajagakita

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!