state

MEMANCING DI JAMBATAN PULAU PINANG, SELAMAT ATAU TIDAK?


Jumaat, 18 Jun 2021
Oleh Nur Syazween

Bahagian bawah Jambatan Pulau Pinang yang sering dijadikan lokasi memancing.

(Sumber: Umpan)

Jambatan Pulau Pinang yang terkenal sebagai jambatan kedua terpanjang di Malaysia telah menjadi salah satu kawasan memancing yang terkenal dalam kalangan pemancing tempatan. Namun begitu, adakah lokasi tersebut benar-benar selamat bagi memancing?


Jambatan yang melakarkan panjang kira-kira 13.5 kilometer tersebut dikatakan telah menyimpan pelbagai kejadian yang melibatkan kemalangan dan nyawa seseorang seperti yang tertera di sidang akhbar online Sinar Harian, di mana seorang pemancing dikhuatiri mati lemas di kawasan itu kira-kira dua tahun lepas.


Perkara ini telah menimbulkan tanda tanya kepada para pemancing tentang keselamatan kawasan jambatan tersebut bagi tujuan memancing lebih-lebih lagi apabila masih ramai pemancing tempatan yang menjalankan aktiviti maritim di situ.


Daripada temu bual yang dijalankan oleh Berita DIMENSi bersama salah seorang pemancing di Jambatan Pulau Pinang menerusi aplikasi WhatsApp, Mohammad Shafiq, 26, berpendapat bahawa keselamatan pemancing yang memancing di kawasan tersebut bergantung kepada faktor cuaca, selain daripada keadaan pasang surut air dan juga pada individu itu sendiri.


“Bagi saya, memancing di Jambatan Pulau Pinang adalah selamat kerana asas pembinaan jambatan itu yang diperbuat daripada konkrit, di mana kami tidak perlu risau akan goyang atau patah seperti jeti kayu,” tambah beliau lagi.


Shafiq yang merasakan jambatan tersebut selamat untuk memancing juga turut mengalami beberapa situasi yang mungkin bakal meragut nyawa beliau sendiri, antaranya terperangkap dalam ribut atau hujan lebat serta air pasang sehingga mencecah paras lantai jambatan itu sendiri.


Gambar rakan-rakan Mohammad Shafiq sedang memancing yang diambil dari posting YouTube beliau.
(Sumber: Youtube / Shafiq Eddy)

Selamat ataupun tidak, keselamatan diri masih perlu dititikberatkan untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku. Berikut merupakan antara langkah- langkah keselamatan yang boleh diambil ketika memancing di Jambatan Pulau Pinang:


1. Pemancing perlu memastikan bahawa jaket keselamatan bersama wisel dipakai sepanjang menjalankan aktiviti memancing. Ini merupakan peralatan keselamatan yang paling utama semasa melakukan aktiviti tersebut.


2. Memakai kasut yang sesuai ketika memancing adalah penting bagi mengelakkan diri daripada tergelincir ke dalam air laut, lebih-lebih lagi sewaktu air pasang.


3. Elakkan daripada duduk atau baring di kawasan tepian lantai jambatan atau mana-mana kawasan yang membahayakan.


4. Telefon bimbit perlu dijaga rapi dan sentiasa berfungsi untuk digunakan terutamanya pada waktu-waktu kecemasan.


5. Pemancing mesti menyediakan tali bagi mengikat barang pada tiang untuk mengelakkan barang-barangan jatuh kerana angin di bawah jambatan agak kuat.


6. Lampu suluh juga wajib dibawa bagi membantu dalam waktu kecemasan sekiranya terperangkap dalam hujan dan malam.


7. Baju hujan atau raincoat dibawa sebagai persediaan dalam menghadapi masalah cuaca.


8. Pemancing perlu membawa sekurang-kurangnya dua hingga lima orang bersama sebagai peneman ketika memancing.


Menurut pemancing muda itu lagi, kerajaan juga turut mengambil inisiatif bagi menjaga kebajikan para pemancing di jambatan itu seperti Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) yang baru sahaja membangunkan sistem e-Rekreasi bertujuan mendaftarkan semua pemancing rekreasi laut dan pantai.


Like the article? Share it now!