CITY

MELANCONG KE LUAR NEGARA TANPA KELUAR NEGARA


Jumaat, 28 Mei 2021
Oleh Ummu Hamzah

Taman Persahabatan Selangor–Jepun.
(Sumber: Twitter / @TourismSelangor)

SHAH ALAM Taman Persahabatan Selangor–Jepun, Seksyen 14, menjadi lokasi daya tarikan pelancong yang terbaharu di negeri Selangor terutamanya bagi mereka yang meminati negara Jepun.


Ekoran daripada pandemik COVID-19 Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga, pada awalnya mengisytiharkan darurat di empat wilayah Jepun termasuk ibu negara mereka Tokyo di sebuah sidang media kerajaan di sana.


Perdana Menteri Yoshihide Suga memberitahu media bahawa keadaan darurat yang meliputi kawasan metropolitan Tokyo, di Pejabat Perdana Menteri.
(Sumber: thejapantimes)

Beliau juga turut berkata bahawa pintu sempadan antarabangsa mereka masih lagi tertutup disebabkan kemunculan varian mutasi Koronavirus yang baharu serta akan memperkenalkan peraturan kuarantin yang lebih ketat kepada pengunjung dari 13 negara terpilih.

Berita tersebut ibarat ‘kaca terhempas ke batu’ buat para pelancong yang mahu ke negara itu sejak tahun lepas lagi.

Pemandangan Moon Bridge di Taman Persahabatan Selangor–Jepun, Shah Alam.
(Sumber: Twitter / @TourismSelangor)

Namun begitu, pembukaan Taman Persahabatan Selangor–Jepun pada Mac lalu memberi peluang baharu bagi rakyat Malaysia yang ingin merasai perasan berjalan-jalan di negara Jepun tanpa perlu ke luar negara.

Nor Farihah dihadapan Laman Zen sambil berpakaian Kimono.
(Sumber: Berita DIMENSi / Ummu Hamzah)

Nor Farihah Rosmidi, 22, salah seorang pengunjung di taman itu berkata dia pada mulanya sangat kecewa kerana harapannya untuk ke Jepun berkali-kali terpaksa dibatalkan sehingga sahabatnya memberitahu tentang pembukaan taman tersebut.

Hanya mengambil masa kurang daripada satu jam untuk sampai ke destinasi, Farihah kini dapat menerokai taman yang bercirikan budaya Jepun itu serta dapat melakukan beberapa aktiviti menarik di sana.

“Belum masuk lagi saya dah rasa teruja apatah lagi bila dah masuk ke dalam taman. Perkara pertama yang menarik perhatian saya adalah Kolam Ikan Koi mereka yang kelihatan sangat cantik dan bersih.

Nor Farihah bergambar di atas Moon Bridge.
(Sumber: Berita DIMENSi / Ummu Hamzah)

“Saya juga tidak lupa untuk menyewa baju Kimono (pakaian tradisional wanita Jepun) di sebuah gerai sewa yang telah disediakan. Bila lagi saya berpeluang untuk berkimono, lagi pula harga sewa pakaian sangat murah hanya RM15 sahaja,” kata Nor Farihah ketika dihubungi oleh wartawan DIMENSi.

Meskipun hanya dapat berpusing-pusing dan bergambar di sekeliling taman namun Farihah berasa amat berpuas hati dengan pengalaman diperolehinya.

Shahrul Mohamed Yusoff di Taman Persahabatan Selangor–Jepun.
(Sumber: Facebook / Sharul Yusoff)

Menurut Shahrul Mohamed Yusoff, Duta Hijau Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Taman Persahabatan Selangor–Jepun ini dibina sebagai simbol penghargaan hubungan diplomatik Malaysia dan Jepun.

“Sebelum direka bentuk semula pada 2018 oleh Encik Fumiaki Takano seorang landskap arkitek dari Jepun di mana beliau menggunakan penyatuan ciri reka bentuk dan budaya taman di Selangor dan Kolam Hokane di Jepun.

Kolam Ikan Koi.
(Sumber: Sitelink Landscape Architects)

“Taman ni luasnya hampir 6 ekar dan jumlah keseuluruhan kos pembinaannya adalah sekitar RM3.8 juta,” kongsi Shahrul semasa temu bualnya bersama wartawan Berita DIMENSi.

Rakyat Malaysia digalakkan untuk melawat ke Taman Persahabatan ini terutamanya pada hari minggu kerana akan dimeriahkan lagi dengan program persembahan kebudayaan Selangor dan Jepun.

Sambil itu mereka juga boleh menikmati keindahan sembilan landskap berbeza seperti Kolam Maze, Gerbang Torii, Laman Zen, Rumah Selangor, Tsukubai (besen batu) dan banyak lagi.

Gerbang Taman Persahabatan Selangor–Jepun.
(Sumber: Twitter / @TourismSelangor)

Laman Perantara (Intermediate Garden).
(Sumber: Twitter / @TourismSelangor)

Sebuah restoran mewah Jepun juga bakal dibina pada tahun ini bagi menarik lebih ramai pengunjung.

Like the article? Share it now!