FOCUS

MAHASISWA TERUJA KE KAMPUS, CETUS KEBIMBANGAN IBU BAPA

Isnin, 25 April 2022
Oleh Sabrina Jamali

SHAH ALAM – Kemunculan virus COVID-19 yang menular pada tahun 2019 mencetuskan kebimbangan kepada seluruh pelosok dunia termasuk mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Hampir tiga tahun mahasiswa dan tenaga pengajar IPT meneruskan segala aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

Meskipun telah menjadi kebiasaan kepada mereka, namun mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) akui teruja jejak kembali ke kampus bagi menghadiri sesi pembelajaran secara fizikal.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, beliau sukacita mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membenarkan kemasukan mahasiswa IPT secara berperingkat mulai 1 Mac 2022 dengan mengambil kira pandangan dan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menikmati kemudahan yang disediakan oleh pihak UiTM seperti kemudahan internet, perpustakaan 24 jam dan suasana pembelajaran yang kondusif menjadi fokus utama para siswa dan siswi untuk berada di kampus.

Peluang ini membuka mata mahasiswa untuk terus belajar dengan lebih bertenaga dan bersungguh-sungguh.

Namun begitu, situasi ini mendatangkan kebimbangan para ibu bapa untuk melepaskan anak-anak mereka kerana risau akan kesihatan sosial terjejas akibat penularan jangkitan virus COVID-19 yang tiada penghujungnya.

Mahasiswa yang pulang ke kampus perlu memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.

(Sumber: Harian Metro)

Walaupun Prosedur Standard Operasi (SOP) telah diperketatkan oleh pihak UiTM, tidak dinafikan ada segelintir ibu bapa yang gusar terhadap situasi anak-anak mereka yang berada di kampus.

Menerusi temu bual yang dijalankan secara maya melalui Google Meet bersama salah seorang ibu kepada siswi UiTM, Puan Zalina Ibrahim, 57, beliau menyuarakan pendapatnya berkenaan cetusan kebimbangan ini.

“Bukan sahaja saya, malah semua ibu bapa akan berasa bimbang untuk membenarkan anak-anak kembali ke kampus terutamanya jika mereka tidak pandai untuk menjaga diri sendiri iaitu dengan sentiasa patuhi SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan,” kata Puan Zalina.

Bagi mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semua mahasiswa yang dibenarkan kembali ke kampus ialah mereka yang telah lengkap divaksin dos pertama, kedua dan dos penggalak (jika perlu).

Susulan daripada itu, penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter perlulah terus diutamakan oleh mahasiswa bagi mengelak daripada menjadi kontak rapat apabila berada di kampus.

Mahasiswa UiTM juga haruslah mengamalkan amalan norma baharu iaitu mengisi saringan kesihatan harian secara dalam talian di laman sesawang Student Portal UiTM bagi mengemaskini data kesihatan untuk setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad.

Sementara itu, Puan Hajah Rosdah, 57, juga salah seorang ibu kepada mahasiswa UiTM, mengemukakan pendapatnya bahawa anak-anak perlulah memberi keutamaan dalam menjaga diri dengan mengutamakan langkah berjaga-jaga ketika berada di kampus bagi membendung wabak virus COVID-19 daripada merebak.

“Mahasiswa juga perlu bijak membuat perancangan pembelajaran selain daripada menjaga kesihatan diri,” kata beliau lagi.

Mahasiswa di dalam bilik kuliah menjaga SOP yang telah ditetapkan oleh KKM.

(Sumber: Harian Metro)

Ramai antara ibu bapa yang bimbang keadaan anak-anak mereka di kampus. Walaubagaimanapun, penggunaan ruang-ruang belajar seperti makmal, bilik kuliah dan studio akan disinfeksi terlebih dahulu bagi mengawal penularan wabak virus COVID-19.

Sehubungan dengan itu, para siswa dan siswi juga diwajibkan memakai pelitup muka semasa berada di ruang tertutup dan elakkan daripada bersalaman atau bersentuhan.

“Setiap ibu bapa pasti akan berasa bimbang akan kesihatan dan keselamatan anak-anak mereka, namun, saya bersetuju anak saya pulang kerana beliau lebih fokus apabila berada di kampus,” kata Puan Noriah Zainuddin, 60, juga ibu kepada siswi UiTM semasa ditemu bual melalui aplikasi WhatsApp.

Rata-rata ibu bapa menyuarakan kebimbangan dan keselamatan anak-anak iaitu berkait isu penularan jangkitan wabak virus COVID-19 yang masih berlegar.

Keresahan ini dapat dibendung apabila para siswa dan siswi kekal berwaspada dan menjaga SOP selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak UiTM.

Mereka bukan sahaja mengharapkan keselamatan dan kesihatan sosial anak-anak mereka terus terjamin semasa berada di kampus, malah mereka turut berharap agar rantaian virus COVID-19 ini dapat diputuskan suatu hari kelak.


Like the article? Share it now!