STATE

MAHASISWA MEMBERIKAN GRED B+ UNTUK PERUNTUKAN BELANJAWAN 2022

Selasa, 14 Disember 2021
Oleh Fahmi Aziz

GOMBAK: Pengerusi Congress International Islamic University Malaysia (IIUM), Aliff Naif Mohd Fizam memberikan gred kepujian tertinggi atau B+ kepada peruntukan untuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang dibentangkan dalam Belanjawan 2022 beberapa minggu yang lepas.

Ketika ditemubual, Aliff menyatakan peruntukan untuk mahasiswa dalam belanjawan kali ini cakna mengenai masalah mahasiswa, namun masih gagal memperincikan beberapa perkara berkaitan dengan kebajikan.

“Belanjawan ini tidaklah terlampau mengabaikan siswa secara keseluruhannya, tetapi tidak juga mengkhususkan beberapa hal lain mengenai mahasiswa.

“Apa yang diusulkan oleh kami di Congress IIUM dan rakan-rakan gerakan siswa yang lain kepada Kementerian Kewangan sebenarnya komprehensif namun tidak diterima.

“Sebagai seorang mahasiswa, saya sedikit kecewa pada bahagian-bahagian yang tidak ditunaikan itu namun tidak bermakna Kementerian Kewangan mengabaikan mahasiswa. Jadi pada saya, gred B+ adalah munasabah.”

Aliff Naif (tiga dari kiri) bersama rakan-rakan gerakan siswa di Kementerian Kewangan

(Sumber: Twitter/ @aliffnaif_)

Pada 21 Oktober yang lepas, Congress IIUM yang diketuainya telah membawa satu usul mengenai peruntukan kepada mahasiswa yang boleh diketengahkan oleh Kementerian Kewangan dalam Belanjawan 2022.

Inisiatif ini diterajui oleh Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI) yang telah mendapat sokongan daripada beberapa pertubuhan mahasiswa seperti Demokrat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) dan sembilan lagi pertubuhan mahasiswa lain yang terlibat.

Daripada 13 perkara yang telah diusulkan dalam kertas kerja ini, hanya beberapa cadangan mendapat tempat dalam Belanjawan 2022 seperti penangguhan bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), elaun minimum bagi latihan industri dan juga skim kemiskinan haid.

Aliff Naif (paling kiri) bersama delegasi HARMONI Malaysia menyerahkan kertas cadangan Belanjawan 2022 Mahasiswa di Kementerian Kewangan pada 20 Oktober 2021

(Sumber: Twitter/ @aliffnaif_)

Aliff menegaskan masih ada ruang untuk penambahbaikan jika kerajaan ingin mengubah gred peruntukan mahasiswa yang diberikannya.

“Berdasarkan kertas cadangan yang telah diusulkan, ada beberapa bahagian kerajaan boleh pertimbangkan untuk Belanjawan akan datang.

“Contohnya, skim kemiskinan haid. Masalahnya disini bukan sahaja mengenai kekurangan wang untuk membeli kit asas kebersihan kendiri, tetapi kemudahan untuk mendapatkannya.

“Kadangkala, seseorang pelajar itu mampu membeli kit tersebut namun bekalannya sukar untuk didapati. Bayangkan ketika di kuliah mereka datang haid, naluri seorang remaja wanita sudah pasti untuk menyorok sebentar di tandas.

“Jika pihak kerajaan boleh menyediakan “pad dispenser”, kerajaan mampu menangani dua masalah sekali gus iaitu “pad poverty” dan juga kemudahan untuk mendapatkan kit kebersihan.”

Aliff turut menambah subsidi ini sewajarnya dipanjangkan bukan sahaja untuk remaja wanita seperti yang diperincikan dalam Belanjawan 2022, tetapi untuk kaum wanita lain yang masih bergelut dengan masalah ini.

“Wanita di luar sana mungkin bukan lagi remaja, sewajarnya pihak kerajaan pertimbangkan untuk membantu wanita yang masih mengalami haid tetapi kurang berkemampuan.”

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menukarkan pemberian tablet seperti yang dijanjikan dalam Belanjawan kepada pemberian komputer riba untuk memenuhi keperluan mahasiswa.

“Kerajaan bukan hanya sekadar memberi, namun haruslah memperincikan pemberian komputer riba ini seperti penyeragaman dan perincian dari segi spesifikasi serta sejauh mana pemberian ini mampu membantu mahasiswa.”

Selain bantuan yang akan memanfaatkan mahasiswa secara langsung, Aliff turut berkata pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga boleh memainkan beberapa peranan dalam membantu mahasiswa.

Ini susulan daripada peruntukan yang diberikan kepada KPT sebanyak RM14.6 billion merupakan jumlah terbesar dalam peruntukan yang melibatkan mahasiswa.

“Saya ingin lihat pihak KPT menguruskan isu kemudahan untuk memasuki dan mendiami di kampus, kerana isu ini sering dipandang enteng.

“Saya pernah mendapat aduan mengenai pelajar B40 yang tidak mendapat penempatan di kolej kediaman kampus, sehinggakan ada yang terpaksa tinggal di surau selama dua bulan.”

Aliff turut menambah mengenai kemudahan pergerakan pelajar dari luar ke dalam kampus merupakan sebuah isu yang masih belum selesai di kebanyakan institusi pengajian tinggi sehingga kini.

“Beberapa universiti awam mempunyai bas ataupun “shuttle”, tetapi ada dua masalah di sini.

“Bagi yang tiada kemudahan ini, mereka terpaksa menaiki Grab yang akan menelan lebih banyak kos manakala masalah kedua ialah kekerapan bas itu sendiri.

“Ada pelajar yang lambat sampai ke kelas kerana kekerapan bas kampus yang tidak menentu, ada pula yang langsung tidak dapat hadir ke kelas kerana tiada pengangkutan.”

Katanya lagi, masalah ini mungkin kurang dirasai buat masa sekarang oleh kerana kaedah pembelajaran secara atas talian, namun keadaan ini tidak akan berkekalan.

“Sampai bila kita akan kelas online? Satu hari nanti pelajar akan kembali ke kampus juga untuk kelas fizikal,” ujar pelajar Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu.

Like the article? Share it now!