CITY

''KUIH SAMPAN BESOUT" KEMBALI SETIAP KALI RAMADAN


Isnin, 3 Mei 2021
Oleh Syamira Liana

Intan Zamri yang sudah 10 tahun mewarisi perniagaan kuih limas arwah ibunya.
(Sumber: Berita DIMESi / Syamira Liana)

SLIM RIVER Kuih limas atau dikenali sebagai kuih sampan merupakan juadah berbuka puasa yang ditunggu-tunggu oleh warga Felda Gunung Besout serta Muallim.


Kuih limas merupakan kuih tradisional yang berasal dari negeri Perak dan ia diperbuat menggunakan daun pisang. Rupa bentuknya persis kuih tepung pelita atau kuih tako tetapi cara pembuatan, tekstur dan bahan penyediannya adalah berbeza.


Pengusaha kuih itu, Intan Zamri, 45, berkata kuih limas sememangnya kuih yang sukar untuk ditemukan mungkin disebabkan tradisi yang diamalkan oleh orang ramai yang hanya menjual kuih ini pada bulan Ramadan sahaja.


Beliau pada mulanya menjual lauk-pauk manakala arwah ibunya pula menjual kuih limas, akan tetapi ibunya selalu berpesan agar beliau mempelajari cara pembuatan kuih ini.


Alhamdulillah, hasil daripada mempelajari cara pembuatan kuih limas daripada arwah ibu, kini sudah 10 tahun saya mewarisi perniagaannya,” katanya.


Beliau yang mesra dipanggil Intan berkata, bazar Ramadan kali ini dipenuhi dengan kejutan cuaca yang tidak menentu dan menyebabkan orang ramai tidak dapat membeli juadah yang disajikan di bazar tersebut.


Awal Ramadan, para peniaga bazar di sekitar daerah Muallim serta Batang Padang diuji dengan hujan lebat serta ribut petir. Keadaan ini berlarutan hampir seminggu semenjak bazar dibuka.


Menceritakan semula dugaan yang dihadapi itu, beliau yang merupakan peniaga tetap juadah berbuka puasa di Felda Gunung Besout ketika kejadian terpaksa memegang tiang khemah agar tidak terbang dibawa angin.

“Saya pada mulanya terkejut sebab berlaku secara tiba-tiba dan waktu itu pelanggan pun ramai, tengok pula khemah peniaga sebelah dah terangkat akibat angin kuat.

“Mujur dia sempat pegang dan saya pada waktu itu berdua, masing-masing memegang tiang khemah sambil melayan pelanggan,” ujar ibu kepada lima orang anak ketika dihubungi Berita DIMENSi melalui WhatsApp baru-baru ini.

“Walaupun juadah yang dijual oleh peniaga lain kebanyakannya tidak habis tetapi, Alhamdulillah kuih limas yang saya jual tetap habis tidak kira aral cuaca yang menimpa seperti hujan, ribut dan sebagainya.

“Selalunya orang yang sudah mengenali kuih limas ini, mereka akan tempah melalui WhatsApp atau tempah sehari awal sebab mereka tahu kuih ini akan habis sebelum jam 5.30 petang,” katanya.

Menurut pengusaha itu, perniagaan beliau tidak hanya tertumpu di Bazar Ramadan Felda Gunung Besout sahaja, beliau juga menghantar kuih limas ke Bazar Slim River untuk dijual sepanjang bulan Ramadan ini.

“Bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lepas, kawan saya ada memperkenalkan saya dengan seorang peniaga dari Slim River, dia meminta saya untuk menyediakan sebanyak 40 biji sehari dan dihantar ke Slim River.

“Tapi kalau bukan bulan Ramadan saya hanya akan buat sekiranya menerima tempahan daripada orang ramai,” ujarnya.

Beliau yang tidak lokek berkongsi ilmu mengenai kuih ini turut berkata, hanya daun pisang daripada jenis pisang abu sahaja yang boleh digunakan untuk membuat kelongsong kuih.

“Hanya daun pisang abu sahaja yang boleh membuat kelongsong kuih, kalau guna daun pisang lain bentuknya tidak akan keras tetapi akan lembik dan tidak cantik.

Penghasilan kelongsong sememangnya memakan masa yang lama tetapi ia bergantung kepada kecekapan sesetengah individu. Namun berkat pengalamannya, beliau mampu menghasilkan sebanyak 150 biji kelongsong dalam tempoh tiga jam dari bermulanya proses pembuatan kelongsong itu.

“Dengan kemampuan yang saya ada, saya mampu menghasilkan sebanyak 270 biji sehari untuk dijual,” tambahnya.

Kuih Limas yang mempunyai lapisan pandan di bawah dan lapisan santan berlemak di bahagian atas.
(Sumber: Berita DIMENSi / Syamira Liana)

"Kuih limas mempunyai aroma daun pisang, teksturnya yang lembut, manis serta lapisan santan yang berlemak,” katanya.

Beliau mengingatkan kepada orang ramai supaya mengenal pasti antara kuih limas atau kuih tako sebelum membuat pembelian.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!