state

KOMUNITI GASING TRADISIONAL PRIHATIN: KEBAKARAN RUMAH DI DEBAK


Isnin, 7 Jun 2021
Oleh Eizzuddin Emir

Penyerahan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Babu, Debak.

(Sumber: Facebook / Meradong Today)

DEBAK - Ekoran kejadian kebakaran di Kampung Babu, Debak pada 13 Mei yang lalu, Kelab Gasing Tradisional Saribas (TraSaribas) mengambil inisiatif untuk turun padang memberikan bantuan kepada mangsa kebakaran yang juga melibatkan pengerusi kelab itu.


Menurut hantaran di Facebook EDISI Kalaka Saratok, Yak @ Sebeli Kudang, 61, mangsa kebakaran telah menerima bantuan berupa keperluan harian dan juga wang tunai daripada para pemain gasing.


Bukan sahaja bantuan dari segi kewangan dan juga keperluan harian, ahli Kelab Gasing TraSaribas juga bekerjasama dengan penduduk setempat di Kampung Babu untuk bergotong-royong membersihkan kawasan rumah Yak @ Sebeli dan mangsa kebakaran yang lain.


Berikutan laporan daripada Sarawak News Network, Ahli Parlimen Betong, Robert Lawson Chuat serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam turut menghulurkan sumbangan peribadi sebanyak RM5,000 kepada setiap mangsa.


Turut menghulurkan bantuan ialah Lembaga Amanah Kebajikan Saribas Debak yang menyalurkan sumbangan berjumlah RM1,000 diikuti Baitulmal Sarawak sebanyak RM5,600.


Tidak ketinggalan juga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), badan bukan kerajaan (NGO) dan Jabatan Kebajikan Bahagian Betong yang menghulurkan bantuan barangan keperluan kepada mereka yang terjejas dalam insiden kebakaran tersebut.


Komuniti Cina Debak juga turun padang untuk memberikan sumbangan yang diserahkan sendiri oleh Kaunselor Ong Beng Chai diikuti Kapitan Debak, Tan Xiao Ping dan juga wakil Persatuan Chung Hua Debak, Lim Ming Hai pada Ahad lepas.


Pihak Berita DIMENSI berkesempatan untuk menemu ramah salah seorang mangsa kebakaran yang juga merupakan Pengerusi Kelab Gasing TraSaribas, Yak @ Sebeli menerusi panggilan telefon.


Yak @ Sebeli berkata dalam kejadian kira-kira pukul 11.12 malam pada Syawal 13 Mei yang lalu, dia sedang tidur dan tidak menyedari bahawa rumahnya telah terbakar dijilat api. Mujur ada jiran tetangga yang menjerit memberitahu bahawa rumah beliau sedang terbakar.


Keadaan rumah Yak @ Sebeli Kudang yang musnah 100 peratus.

(Sumber : Facebook / Kelab Gasing TraSaribas)

“Kami sekeluarga sempat menyelamatkan diri selepas diberitahu bahawa rumah kami dijilat api, namun apakan daya rumah kami telah musnah seratus peratus dan tiada apa lagi yang sempat diselamatkan.


“Anak angkat saya mengalami kecederaan yang agak teruk, kulitnya melecur kerana dia berada terlalu dekat dengan kebakaran itu ketika menolong orang ramai memadamkan api.


“Sekarang dia sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak, saya dimaklumkan yang saya tidak dibenarkan melawat kerana kecederaannya itu agak serius dan perlukan rawatan yang rapi,” kata pesara guru SK Debak itu.


Yak @ Sebeli dan ahli keluarganya yang lain kini menumpang buat sementara waktu di rumah anak sulungnya yang terletak di Kampung Babu, Debak.


Yak @ Sebeli amat berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan khususnya Kelab Gasing TraSaribas kerana sentiasa memberikan sokongan terutamanya apabila masyarakat setempat ditimpa musibah.


Sementara itu, Berita DIMENSi berkesempatan mendapatkan laporan kebakaran rumah di Kampung Babu, Debak daripada pihak Ketua Balai Polis Debak, Sarjan Bedindang ak Nyambang.


Kebakaran tersebut melibatkan tiga buah rumah, rumah pertama separuh kekal dua tingkat musnah 100 peratus, rumah kedua separuh kekal dua tingkat musnah 45 peratus dan rumah ketiga jenis sementara musnah lima peratus.


Seramai sembilan orang anggota Bomba dan Penyelamat Betong dengan tiga jentera bomba tiba di tempat kejadian pada jam 11.52 malam.


Agensi lain yang terlibat ialah dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), seorang Angkatan Pertahanan Awam (APM), dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), sembilan anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS), dan dua anggota Sarawak Energy.


Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 1.40 pagi, 14 Mei, punca kejadian masih dalam siasatan oleh pihak unit forensik bomba.

Like the article? Share it now!