CITY

KLUSTER BARU MAJLIS TADARUS MUNCUL DI PONTIAN


Isnin, 31 Mei 2021
Oleh Adriana Norazrin

Pecahan kes positif mengikut daerah di Johor.
(Sumber: Facebook / Majlis Keselamatan Negara Negeri Johor)

PONTIAN Satu kluster jangkitan COVID-19 yang dipercayai melibatkan sebahagian besar daripada 80 orang yang hadir dikesan di Pontian, Johor akibat menghadiri majlis tadarus Al-Quran dan aktiviti moreh sempena Ramadan pada April lepas.


Setakat ini, kluster terbaru yang dipercayai bermula akibat mereka yang menghadiri majlis tadarus di rumah salah seorang jemaah di Kampung Sawah, Pekan Nenas. Jumlah jemaah yang positif masih belum diumumkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), jemaah yang bertadarus diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang masa dan duduk dalam jarak sosial satu meter antara satu sama lain.


Menurut Maria (bukan nama sebenar) yang merupakan seorang staf di Hospital Pontian, jemaah-jemaah yang menghadiri majlis tadarus tersebut telah dijangkiti virus COVID-19 dan secara tidak langsung telah menyebarkan wabak tersebut kepada ahli keluarga mereka dan masyarakat sekitar.


“Salah seorang jemaah yang tidak menyedari bahawa beliau positif COVID-19 telah menjangkiti ahli keluarga dan hanya menyedari apabila keputusan ujian saringannya positif.


“Kluster ini dipercayai berpunca daripada seorang jemaah yang menghadiri majlis tersebut dan telah menjangkiti jemaah yang lain yang terdiri daripada pesara, guru dan warga emas yang mengisi masa lapang mereka dengan menghadiri majlis tersebut.


“Mereka yang menghadiri majlis tadarus tersebut kebanyakan menetap di Pekan Nenas dan Pontian," tambah Maria ketika ditemu bual Berita DIMENSi melalui panggilan telefon.


Hospital Pontian hanya mampu menyediakan 16 katil bagi keperluan COVID-19 dan kesemuanya telah penuh. Doktor pakar daripada Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru telah memantau keadaan di Hospital Pontian secara mingguan bagi menentukan sama ada pesakit-pesakit ini akan terus dirawat di Hospital Pontian atau dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk rawatan lanjut.


Dengan jumlah kes yang meningkat setiap hari, ianya mendatangkan kebimbangan kepada pihak hospital kerana jumlah katil yang disediakan untuk pesakit COVID-19 adalah terhad.


Mahasiswa Universiti Putra Malaysia, Anis Alias, 23, berpendapat bahawa aktiviti keramaian yang melibatkan kehadiran ahli yang ramai tidak patut diadakan kerana kes yang mencanak naik baru-baru ini.


“Saya sangat risaukan kesihatan saya dan ahli keluarga saya kerana kluster terbaru ini terjadi dalam kalangan jiran-jiran di kawasan kejiranan saya.


“Ibu saya yang juga seorang jururawat di Hospital Pontian bersama-sama barisan hadapan (frontliners) yang lain telah mengorbankan masa dan tenaga mereka untuk membantu merawat pesakit COVID-19 ini.


“Mereka yang tidak mematuhi SOP adalah satu tindakan yang mementingkan diri sendiri dan amat tidak bertanggungjawab,” tambah Anis ketika ditemu bual oleh Berita DIMENSi melalui panggilan telefon.


Anis juga ada mengatakan bahawa negara kita kini berada di dalam situasi yang kritikal dan kita sebagai warganegara yang bertanggungjawab haruslah mematuhi SOP dengan sebaik mungkin. Kita semua harus menghargai usaha mereka yang sedang bersusah-payah berusaha membendung penyakit ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan kewujudan varian baru.
(Sumber: TheStar)

Baru baru ini, KKM telah mengesan kewujudan varian baru di negara ini iaitu South African B.1.351 menerusi empat kes penularan tempatan positif COVID-19 menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Kemunculan varian baru ini sangat membimbangkan kerana majoriti pesakit tidak menunjukkan sebarang simptom dan gejala seperti batuk kering atau demam. Terdapat juga kes di mana mereka yang mencatatkan keputusan negatif tetapi sebenarnya sudah dijangkiti virus tersebut.

Gelombang COVID-19 kali ini lebih berbahaya berbanding yang sebelumnya. Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, varian terbaru ini merebak lebih agresif dan cepat. Ianya juga menyumbang kepada kadar kematian yang sangat tinggi.

Usaha untuk menurunkan jumlah kes harian COVID-19 di Malaysia kembali ke angka kosong dalam tempoh yang sangat mencabar ini haruslah datang dengan komitmen semua pihak.

Rakyat diingatkan supaya terus mematuhi SOP yang disarankan dan mengelakkan diri daripada berada di kawasan yang sesak dan sentiasa menjaga jarak sesama sendiri agar kita semua dapat menjalani kehidupan seperti biasa dalam norma baharu.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!