state

KLUANG RAILCOFFEE PERMATA TERSEMBUNYI JOHOR YANG BERSINAR


Rabu, 16 Jun 2021
Oleh Sharmila Shahrulnizam

Cawangan pertama Kluang RailCoffee di Jalan Station, Johor.

(Sumber: Blogger / Entree Kibbles)

JOHOR Kluang RailCoffee (KRC) yang telah beroperasi sejak 80 tahun lalu merupakan permata tersembunyi yang wajib diketahui oleh masyarakat seluruh Malaysia. Kedai makan yang menerapkan unsur klasik ini masih menjadi pilihan orang ramai sehingga kini kerana keunikan yang tersendiri.


Menurut artikel MStar keluaran 24 Disember 2019, antara menu yang sering menjadi pilihan pengunjung adalah roti bakar berintikan kaya. Resipi asli inti roti bakar tersebut yang diilhamkan oleh pengasas KRC itu sendiri merupakan salah satu keistimewaan roti bakar ini sering menjadi hidangan yang dipesan oleh pengunjung.


Menurut Redzuan Syah, 22, seorang penggemar roti bakar dari KRC berkata, beliau gemar berkunjung ke kedai makan klasik tersebut walaupun terpaksa beratur panjang demi menghilangkan rasa mengidam terhadap roti bakar kegemarannya itu.


Roti bakar yang menjadi kegilaan pengunjung semasa makan di Kluang RailCoffee.

(Sumber: Berita DIMENSi / Sharmila Shahrulnizam)

Redzuan Shah berkata, beliau sering bersarapan di kedai makan tersebut kerana kelazatan roti bakar KRC tiada tolok bandingnya jika dibandingkan dengan roti bakar di kedai lain.


“Selain roti bakar, saya juga gemar makan mee kari yang terdapat di sini. Saiz hidangan bagi semangkuk mee kari sangat berpatutan dengan harga yang ditawarkan sesuai dengan kelazatan mee kari itu sendiri.


“Kluang RailCoffee ini sering menjadi buah mulut masyarakat di Batu Pahat kerana keunikan menu yang ditawarkan sekaligus ia mampu menaikkan populariti KRC agar setanding dengan restoran-restoran ternama di sekitar Malaysia,” kata Redzuan Syah semasa ditemu bual oleh Berita DIMENSi menerusi Telegram.


Redzuan Syah juga turut merasakan KRC mempunyai suasana seperti tahun era 90-an dimana sesuai dengan jiwanya yang turut menyukai elemen-elemen klasik yang ada di kedai tersebut.


Nur Liana Othman, 22, yang merupakan pengunjung setia dari Pontian, berkata, walaupun pemilik kedai KRC berbangsa Cina, namun pengunjung yang gemar datang ke kedai ini bukan sahaja terdiri dalam kalangan masyarakat Cina tetapi juga dari pelbagai lapisan masyarakat yang berbilang berbangsa.


“Walaupun pengasas kedai makan klasik KRC ini berbangsa Cina, namun makanan yang disediakannya adalah dijamin halal. Ini boleh dibuktikan apabila pelbagai jenis bangsa sanggup beratur panjang semata-mata untuk makan di sini.


“Suasana di Kluang Rail Coffee yang bertemakan klasik dengan harga makanan yang berpatutan antara penyebab saya sering berkunjung ke lokasi tersebut bersama keluarga,” katanya semasa ditemu bual oleh Berita DIMENSi menerusi aplikasi WhatsApp.


Kluang RailCoffee ini sudah mempunyai beberapa cawangan di beberapa daerah sekitar Johor. Redzuan Syah dan Nur Liana Othman berpendapat bahawa Kluang RailCoffee patut memperluaskan cawangan mereka ke seluruh negeri agar keaslian makanan Malaysia dapat diperkenalkan ke seluruh lapisan masyarakat.

Like the article? Share it now!