FOCUS

KERAGUAN PENGGUNAAN KANDUNGAN DARI CHINA

Ahad, 11 Disember 2022
Oleh Suhanna Iskandar

CHERAS: Status halal mengenai kandungan bahan makanan yang dibeli secara borong dari China sering menimbulkan tanda tanya dan menjadi topik perbualan di laman media sosial seperti TikTok dan Twitter.


Isu ini mula timbul akibat kegagalan penjual memeriksa status halal makanan import dari China secara terperinci, mengakibatkan orang ramai merasa ragu dan bimbang dengan status makanan tersebut. 


Pemeriksaan dan penyeliaan kandungan patuh halal diperlukan di Malaysia untuk memastikan makanan yang diambil adalah halal sahih dan boleh dimakan dengan yakin. Kerajaan juga digesa untuk memastikan barangan yang di import melalui saringan halal terlebih dahulu.

“Proses untuk mendapat halal JAKIM adalah mudah, yang membezakan adalah kebergantungan tahap pengetahuan masyarakat kita”- Budiman Jaafar

Menurut Perunding Halal dan Jaminan Keselamatan Makanan JAKIM, Budiman bin Jaafar berkata, isu status halal sentiasa menjadi perbualan. Namun begitu, tidak patut berlaku pertikaian jika tiada pengetahuan mengenai konsep logo halal dan cara Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bertugas.

“Mereka perlu lebih peka dalam urusan pembelian bagi mengelakkan masyarakat Islam membeli makanan yang diragui status halalnya.

“Status halal makanan tidak akan berubah sekiranya mempunyai logo halal sama ada dari Malaysia atau China pada pembungkusan makanan tersebut,” katanya.  

Tegasnya, penjual dalam talian juga seharusnya menyemak kandungan makanan yang diborong kerana boleh memberi mudarat kepada pengguna Islam.

“Pemeriksaan kandungan makanan import amat penting terutama di negara ini yang majoritinya lebih kepada masyarakat Islam,” katanya. 

Cikgu Samm memberi teguran kepada masyarakat Islam untuk lebih berhati-hati ketika memborong dan menjual makanan dari China.

(Sumber: TikTok)

Cikgu Samm yang juga seorang pempengaruh terkenal dengan konsep pembelian borong dari China turut mempersoalkan peniaga yang bebas menjual makanan dari China tanpa mengetahui status halalnya.

“Bagaimana penjual boleh menjual makanan kepada rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam, dan mendakwa kononnya halal dan selamat untuk dimakan sedangkan mereka tidak boleh membaca bahasa cina, tiada logo halal pada makanan tersebut dan tiada pengesahan dari pihak JAKIM.

“Pembeli khususnya umat Islam perlu memastikan apa sahaja makanan yang dibeli mempunyai logo halal tidak kira dari negara mana,” tegur beliau.

Melihat lambakan produk dan barangan dari China yang memenuhi pasaran tempatan, Cikgu Samm menasihati pembeli di media sosial agar menjadi lebih peka dengan isu halal berkaitan makanan.

Like the article? Share it now!