FOCUS

KENAIKAN HARGA TIKET BAS MENCETUSKAN KEBIMBANGAN

Jumaat, 6 Mei 2022
Oleh Fatihah Ahmaddi

SHAH ALAM - Musim perayaan Hari Raya Aidilfitri disambut dengan gilang-gemilang oleh seluruh umat Islam pada tahun ini kerana telah diberikan kelonggaran oleh pihak kerajaan setelah dua tahun tidak dapat merayakannya bersama keluarga dan saudara-mara di kampung halaman.

Untuk meminimumkan kesesakan lalu lintas, ramai pengguna perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia telah mula membeli tiket dengan lebih awal bagi mengelakkan kehabisan tiket sewaktu perayaan yang bakal tiba ini.

Namun, kenaikan harga tiket sewaktu lebaran memberikan satu kejutan buat semua pengguna perkhidmatan bas kerana lonjakan harga adalah daripada 10 hingga 20 peratus.

Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur merupakan hab utama perkhidmatan bas bagi mereka yang hendak pulang ke kampung halaman.

(Sumber: thevibes.com)

Peningkatan harga tiket bas sewaktu Hari Raya Aidilfitri ini adalah untuk menampung kos pekerja dan juga perjalanan sepanjang hari tersebut sekaligus digunakan untuk insurans bas baharu.

Menurut Nur Ilyanie Hanisha Hisham, 22, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, sewaktu hendak membuat pembelian tiket, dia tidak menyangka harga tiket naik secara mendadak sehingga sebegitu rupa.

“Bayangkan, saya dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Ipoh selalunya tiket berharga RM20 sahaja, namun kini harga mencecah lebih tinggi daripada biasa. Saya terpaksa membelinya kerana tiada pilihan lain lagi untuk pulang ke kampung.

“Sebagai seorang pelajar, peningkatan harga tiket secara mengejut memberi satu keresahan kerana saya mempunyai wang yang sekadar mencukupi sahaja untuk perbelanjaan ketika berada di Shah Alam,” kata Ilyanie Hisham semasa temu bual bersama Berita DIMENSi.

Ramai orang beratur untuk membeli tiket sebelum habis kerana musim perayaan.

(Sumber: Free Malaysia Today)

Ilyanie Hisham yang merupakan anak tunggal dalam keluarganya, meluahkan rasa simpati terhadap nasib keluarga di luar sana yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai dan tiada kenderaan menyebabkan mereka perlu menggunakan perkhidmatan bas untuk pulang beraya.

Menurut Husna Syamila Riduan, 22, juga merupakan pelajar UiTM, membuat luahan berkenaan isu dengan mengatakan kenaikan harga tiket bas sememangnya tidak wajar dilakukan.

Pihak-pihak tertentu sepatutnya memberikan potongan harga tiket kepada mereka di luar sana termasuk dirinya yang ingin pulang ke kampung setelah sekian lama tidak pulang.

“Bagi saya lagi, mengapa perlu tingkatkan harga tiket bas menjelang hari perayaan jika sebelum ini boleh sahaja memberikan dengan harga yang murah?

“Saya berharap semoga mereka di luar sana yang tidak mempunyai kewangan yang cukup, ambillah tindakan yang bijak dengan menumpang kawan atau saudara-mara untuk pulang ke kampung kerana lebih berbaloi jika dibandingkan dengan harga tiket bas yang langsung tidak masuk akal ini,” katanya sewaktu di temubual Berita DIMENSi.

Muhammad Zulkarnain bin Hashim, 27, seorang anak perantau di Pulau Pinang juga turut mengeluh kesal mengenai isu ini sewaktu ditemubual kerana baginya peningkatan harga tiket bas memberikan satu kesukaran untuknya pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang kunjung tiba.

“Saya cuba untuk mencari alternatif lain untuk pulang ke kampung kerana sudah lama tidak pulang menyambut lebaran bersama keluarga dengan cara membandingkan harga bas dan kereta api, namun kekecewaan yang dirasai kerana harganya lebih mahal berbanding bas”, terang Zulkarnain.

Bagi Minoh Mara, 56, pemilik restoran masakan ala Thai serta penunggang bas setiap kali ingin pulang ke Thailand, turut menyatakan komen dia mengenai isu ini.

“Isu kenaikan harga tiket bas ini masih baru dan saya ada membaca di laman sesawang bahawa pihak Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) akan mengambil tindakan sekiranya mendapati ada di antara pengusaha bas yang meletakkan harga yang tidak sepatutnya seperti yang telah ditetapkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Saya amat berharap mereka yang mengambil kesempatan ini akan dikenakan tindakan yang setimpal kerana telah menyusahkan banyak pihak terutamanya masyarakat,” luah Minoh Mara dihujung perbualan menerusi temubual bersama Berita DIMENSi.


Like the article? Share it now!