STATE

KEK LAPIS REMPAH TRADISI JOHOR KELUARAN KERLAPIS PAMER RASA KLASIK RUMPUN MELAYU


Rabu, 5 Mei 2021
Oleh Alya Zulaikha

Wafa Nadiah berkongsi bagaimana dia mula melangkah untuk jenama Kerlapis.
(Sumber: Instagram / @kerlapis.my)

GELANG PATAH – Sebut sahaja mengenai “kek lapis”, pasti ramai yang terbayang akan kek lapis Sarawak yang amat popular sebagai kuih tradisional rasmi negeri Bumi Kenyalang itu. Walau bagaimanapun, lain pula kisahnya dengan kek lapis Johor.

Kek lapis Johor juga dikenali sebagai kek lapis rempah. Resepi kek lapis ini mempunyai akar tradisi bersambung dari negara serumpun iaitu Indonesia. Di sana, kek lapis rempah dikenali dengan pelbagai nama, antaranya spekuk yang diambil daripada perkataan bahasa Belanda spekkoek, memberi maksud bacon layer cake dek warna lapisan kek yang seakan-akan lapisan bacon.

Kek lapis Sarawak yang terkenal dengan seni susun lapisnya.
(Sumber: mymodernmet)

Jika kek lapis Sarawak terkenal dengan keunikan susunan lapisnya yang kreatif dan unik, kek lapis rempah Johor terlihat lebih ringkas dan polos. Rasa lemak masin daripada gabungan rempah Melayu seperti bunga cengkih, kayu manis dan buah pala memberikan kek tersebut rasa klasik kepada sesiapa yang memakannya.

Kerlapis (@kerlapis.my) adalah satu jenama yang baru membuka langkah dalam mempromosikan keunikan rasa klasik kek lapis rempah Johor.

Wafa Nadiah Sunyib, 22, pengasas Kerlapis berkata walaupun jenamanya baru menapak dalam industri bakeri dan pastri di Johor kurang daripada setahun, tetapi kek lapis rempah yang dijualnya merupakan air tangan ibunya, Rahani Muda, 55, yang telah berada di pasaran selama 20 tahun.

“Ibu saya seorang yang pemalu, jadi penjualan kek lapis hanya menggunakan orang tengah atau agen yang membeli kek-keknya untuk dijual semula. Pada awalnya juga, hanya keluarga terdekat sahaja yang menjadi pelanggan setia ketika musim perayaan.

“Ibu mula menjual kek lapis sejak saya masih kecil sebagai sumber pendapatan keluarga. Tambahan pula, dia merupakan suri rumah sepenuh masa.

“Sejak itu, pengeluaran kek lapis sepanjang bulan Ramadan boleh mencecah sehingga 700-900 biji kek di mana ia merupakan hasil jualan melalui orang tengah dan buah mulut orang ramai yang merasanya,” ujar Wafa kita ditemu bual pihak Berita DIMENSi secara maya.

Namun begitu, dek kerana pandemik yang melanda dunia dan negara sejak awal tahun lalu membuatkan pembuatan kek lapis ibunya mula bergerak perlahan dan hasil jualan mula menurun secara drastik. Oleh sebab itu, dia bertekad untuk memulakan satu jenama untuk kek lapis rempah ibunya.

Aneka kek lapis yang dihasilkan secara segar dan harian oleh Kerlapis.
(Sumber: Wafa Nadiah)

Wafa, pelajar tahun kedua jurusan Perhubungan Awam di Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata, pandemik juga memberi ruang dan peluang untuknya membantu mempromosikan kek lapis ibunya kerana sesi pembelajaran dijalankan sepenuhnya di rumah dan secara atas talian.

“Kelas (secara atas talian) selalunya berakhir sekitar jam 4 petang dan saya akan mula membuat penghantaran kek selepas waktu itu dan kembali fokus kepada tugasan hakiki sebagai pelajar pada waktu malam,” katanya.

Menyentuh aspek perbezaan antara kek lapis Johor dengan kek lapis Sarawak, Wafa berkata kek lapis Johor mempunyai rasa yang lebih klasik, autentik dan enak kerana kurang penggunaan bahan perasa dan pewarna berbanding kek lapis Sarawak.

Tambahnya lagi, kek lapis berperisa rempah hanya ada pada kek lapis Johor, menjadikan kek lapis ini agak sukar untuk didapatkan di pasaran.

“Rata-rata yang memberi maklum balas selepas membeli kek lapis kami adalah mereka sangat bersyukur kerana masih ada yang menjual kek lapis rempah asli terutamanya ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).”

Kek lapis rempah yang dihasilkan Kerlapis mempunyai 20 lapisan dan disebabkan proses pembuatannya agak rumit menyebabkan harga jualan agak mahal berbanding kek lain kerana proses “melapis” dan membakar boleh memakan masa sehingga lapan jam sehari untuk beberapa biji kek lapis.

Kek lapis rempah premium keluaran Kerlapis.
(Sumber: Instagram / @kerlapis.my)

Dengan berkembangnya jenama Kerlapis di pasaran, Wafa berharap agar kek lapis rempah asli Johor akan lebih dikenali ramai seperti mana terkenalnya kek lapis Sarawak. Dia juga berharap agar kek lapis tradisional ini tidak hanya sekadar dinikmati ketika musim perayaan, tetapi boleh dijadikan kudapan atau hidangan minum petang harian di rumah.

Kerlapis bukan sahaja menjual kek lapis rempah tradisi Johor, malah mereka turut menjual pelbagai perisa lain termasuklah kek lapis asam manis, kek lapis prun serta perisa moden seperti oreo dan coklat.

Like the article? Share it now!