FOCUS

KANAK-KANAK KETAGIH TIKTOK, JADI SASARAN PEDOFILIA

Jumaat,11 November 2022
Oleh Daniel Ahmad

SHAH ALAM: Ketagihan penggunaan aplikasi TikTok secara tidak terkawal terutama di kalangan kanak-kanak menyebabkan mereka mudah menjadi sasaran pedofil.


Siapa sangka, tayangan video yang berdurasi tidak lebih daripada seminit dengan kandungan trend terkini, menari mahupun keletah anak-anak kecil dapat mendedahkan mereka kepada bahaya siber.


Memetik laporan portal Harian Metro, data Bukit Aman menunjukan terdapat 2,436 kes jenayah fizikal dan bukan fizikal dilakukan oleh golongan  pedofil terhadap kanak-kanak sejak tiga tahun lalu.


Malah, kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak didapati telah meningkat dengan mendadak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 dengan rekod 1,065 kes.

Statistik peningkatan kes pedofilia yang direkod oleh Bukit Aman.

(Sumber: Twitter @BeritaRTM)

Pakar Psikologi Kanak-kanak, Pusat Psikologi dan Rehabilitasi Atfal Jannah, Mohamad Afiudin Jalaludin berkata, seorang pelaku pedofilia mempunyai tarikan seksual terhadap golongan kanak-kanak yang berumur 18 tahun dan kebawah disebabkan oleh nafsu yang tidak terkawal.

Katanya, kanak-kanak kini juga semakin maju dan mereka mudah terpengaruh dengan perkara yang negatif dan boleh menjadi mangsa kepada pelaku pedofil.

Afiudin Jalaludin berkata golongan pedofil ini mempunyai cara yang tersendiri bagi mendekati mangsa mereka.

(Sumber: Youtube)

“Media sosial merupakan salah satu cara bagi pedofil untuk bergerak bebas dan platform ini telah meningkatkan lagi risiko bagi perkara ini berlaku," jelasnya.

Turut membimbangkan apabila ada juga ibu bapa yang sanggup memuat naik video ataupun gambar anak mereka di aplikasi ini hanya untuk meraih populariti.

Menurut Pakar Psikologi Klinikal di Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai, Khuldiah Iman Ghazali, ibu bapa kebiasaannya sering menganggap perkara ini hanyalah perkara biasa kerana mereka lebih seronok apabila anak mereka menerima pujian di ruangan komen.

Khuldiah Iman menyarankan ibu bapa agar mengambil serius dalam hal ini dengan memerhatikan aktiviti harian anak mereka.

(Sumber: LinkedIn)

“Mereka seolah-olah tidak sedar yang pemangsa ini sedang memerhatikan gerak-geri anak mereka secara senyap di platform media lebih-lebih lagi di TikTok," ujarnya.

 Bukan itu sahaja, Iman Khuldiah juga berkata, 10 peratus kanak-kanak telah terdedah dengan kes persediaan seksual atau 'sexual grooming' di Malaysia.

Tambahnya,  aplikasi TikTok ini membolehkan seseorang pedofil itu mengambil kesempatan dengan berbual bersama mangsa mereka dan bertanyakan mengenai perkara yang berunsurkan seks dan pornografi. 

Kanak-kanak yang ketagih dengan TikTok mudah dijadikan sasaran pedofil.

Dalam hal ini, ibu bapa atau penjaga perlulah memainkan peranan yang penting dengan mengawasi anak-anak daripada menjadi mangsa kepada golongan pedofil ini.

Fathi Musfira, 35, ibu kepada dua orang anak berkata, ibu bapa perlulah membina hubungan yang rapat bersama anak  mereka agar mereka lebih selesa untuk berkomunikasi antara satu sama lain. 

Kanak-kanak yang ketagih dengan TikTok mudah dijadikan sasaran pedofil.

“Walaupun sibuk, saya akan tetap meluangkan masa bersama anak dan sentiasa memantau aktiviti harian mereka kerana itu merupakan salah satu tanggungjawab ibu bapa," katanya.   

Fathi turut berkata bahawa pendidikan agama juga penting untuk diterapkan di dalam diri anak-anak seperti pergaulan antara lelaki dan perempuan, pemakaian yang bersesuaian serta pengetahuan umum tentang sentuhan selamat dan tidak selamat.

“Pendedahan awal gajet kepada kanak-kanak boleh memberikan kesan negatif sama ada dari aspek sosial, mental mahupun fizikal kepada mereka jika tidak dipantau dengan ketat,” katanya. 

Like the article? Share it now!