FOCUS

JALAN ROSAK PUNCA KEMALANGAN

Ahad, 13 November 2022
Oleh Aliah Ishak

KAJANG: Keadaan jalan yang rosak, berlubang dan tidak rata boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna dan menyebabkan pengguna terlibat dalam kemalangan. 


Orang awam boleh membuat aduan mengenai jalan rosak menerusi aplikasi Waze atau aduan secara automatik di sistem Intelligent Response Selangor (IRS).


Ini bagi membolehkan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam selepas aduan dibuat.


Mangsa kemalangan akibat kerosakan jalan raya, Fahrurrazi Hamid, 37, berkongsi pengalaman beliau. 


Beliau mengalami kemalangan di Jalan Sungai Long berhampiran Taman Perniagaan Budiman di bawah jejambat Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kajang telah menyebabkan tayar dan rim bahagian kiri keretanya rosak.

Fahrurrazi menyatakan bahawa sekiranya orang lain menjadi mangsa sepertinya, mereka boleh menuntut hak mereka dengan membuat tuntutan.  

“Selepas gagal untuk mencari rim dengan reka bentuk yang sama, saya terpaksa menggantikan keempat-empat rim dan dua buah tayar kereta saya,” katanya.

Kerosakan tayar dan rim kereta milik Fahrurrazi Hamid. 

Menurut beliau, pada awalnya pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) hanya menawarkan pampasan berjumlah RM1,430 untuk kos sebuah tayar serta rim daripada Takaful Malaysia Berhad iaitu syarikat insurans majlis perbandaran berkenaan.

Bagaimanapun, beliau telah memfailkan tuntutan terhadap MPKJ bagi mendapatkan pampasan untuk kedua-dua buah tayar serta empat rim di Mahkamah Majistret Kajang.

Keadaan tayar kereta mangsa selepas melanggar lubang jalan raya. 

Ekoran itu, beliau berjaya mendapatkan pampasan daripada pihak MPKJ bagi menggantikan kos kerosakan tayar dan keempat-empat rim keretanya yang berjumlah RM3,508.

Jurutera Jabatan Kerja Raya Selangor (JKR), Norshahrizal Sahlan menyatakan pihak mereka akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kemalangan di mana-mana jalan raya di bawah seliaan pihak JKR.

Norshahrizal menasihati orang awam untuk membuat tuntutan sekiranya terlibat dengan kemalangan.

“Jika berlaku kemalangan, pihak yang terlibat boleh membuat tuntutan terhadap kami seandainya kemalangan yang berlaku adalah disebabkan fizikal jalan raya tersebut.

“Jalan Sungai Long merupakan laluan utama dan kenderaan berat juga kerap keluar masuk ke kawasan perindustrian. Oleh itu, pihak JKR menerima banyak aduan mengenai jalan rosak di kawasan tersebut,” katanya.

Like the article? Share it now!