FOCUS

ISU KESELAMATAN LALU LINTAS KEMBALI KE KAMPUS

Rabu, 25 Mei 2022
Oleh Aiman Ali

SHAH ALAM – Kehadiran kembali pelajar ke kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam bukan sahaja memeriahkan semula suasana universiti namun meningkatkan kadar penggunaan lalu lintas di dalam kampus.

Kesesakan lalu lintas di dalam kampus bukan isu yang baharu dalam kalangan pelajar mahupun staf.

Ia masih perlu diberi perhatian yang teliti oleh pihak Polis Bantuan UiTM bagi mengelakkan kesesakan dan potensi berlakunya kemalangan di dalam kampus.

Menurut Polis Bantuan UiTM, Lans Koperal Abdul Aziz, 49, setakat awal tahun ini dua laporan telah diterima melibatkan kemalangan di dalam kampus yang melibatkan dua buah kenderaan.

Tambah beliau, antara punca kemalangan yang sering berlaku adalah sikap pemandu degil dan suka meletakkan kenderaan di tempat sempit dan sesak berikutan parkir fakulti atau kolej yang disediakan sudah melebihi kapasiti asal.

“Satu lagi sikap pemandu yang suka memandu dalam keadaan yang mengantuk atau tidak cukup rehat juga menjadi faktor kemalangan di dalam kampus.

“Kesesakan lalu lintas di dalam kampus yang dipenuhi dengan kenderaan keluar masuk pada waktu pagi dan petang juga antara punca berlakunya kemalangan,” katanya dalam satu temuramah bersama Berita DIMENSi di Ibu Pejabat Polis Bantuan UiTM Shah Alam.

Ibu Pejabat Polis Bantuan UiTM Shah Alam yang terletak di dalam kampus.

(Sumber: Berita DIMENSi/Aiman Ali)

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, antara tindakan yang diambil oleh Polis Bantuan UiTM Shah Alam bagi mengawal keselamatan dan trafik lalu lintas adalah dengan mengawal trafik.

Ini terutamanya dijalankan pada waktu pagi dan petang di perhentian bas berhadapan Dewan Cendekia dan juga di pintu masuk utama.

Kedua-dua tempat tersebut sering menjadi kawasan kemalangan sekiranya tidak dikawal oleh faktor ingin cepat sampai ke destinasi.

Tambahnya lagi, sekiranya mana-mana pelajar terlibat dengan kemalangan di dalam kampus, mereka boleh terus membuat laporan di Ibu Pejabat UiTM Shah Alam untuk memberi keterangan mengenai kemalangan yang berlaku dan tindakan lanjut akan dijalankan.

Siti Hajar, 24, pelajar jurusan kejuruteraan awam merupakan mangsa kemalangan langgar lari di dalam kampus yang berlaku baru-baru ini telah menyebabkan kenderaan milik beliau mengalami kerosakan di bahagian hadapan.

Menurutnya, terdapat seorang saksi yang juga merupakan seorang pelajar di kampus tersebut ketika kemalangan langgar lari berlaku di parkir Kolej Mawar pada jam 10.22 pagi.

“Saksi sempat melihat insiden tersebut lalu mengejar kereta suspek untuk mendapatkan maklumat kereta tersebut seperti nombor plat, warna dan juga jenis kereta,” tambahnya lagi semasa di temuramah oleh Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Kesan daripada kemalangan langgar lari yang berlaku baru-baru ini di hadapan Kolej Mawar.

(Sumber: Berita DIMENSi/Aiman Ali)

Hajar berkata, insiden tersebut berlaku apabila suspek berumur 60-an itu sedang mengundurkan kenderaannya lalu tidak menyedari bahawa dia telah melanggar kenderaan mangsa.

Katanya lagi, beliau tiada di tempat kejadian ketika kemalangan langgar lari berlaku.

Beliau menyedari keretanya mengalami kerosakan teruk ketika ingin pulang ke rumah sewanya selepas selesai melakukan tugasan di perpustakaan berhampiran.

Like the article? Share it now!