state

HOSPITAL PENGAJAR UNISZA: PUSAT PEMBANGUNAN PERUBATAN MASA HADAPAN TERENGGANU


Rabu, 9 Jun 2021
Oleh Hariz Hishamuddin

Fasad Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

(Sumber : Pusat Pembangunan Hospital Universiti UniSZA)

KUALA TERENGGANU Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bakal memberi manfaat seperti hospital biasa kepada masyarakat awam negeri Terengganu dan juga negeri-negeri Pantai Timur, kata Dr. Nik Ahmad Shaiffudin, Pengarah Hospital Pengajar UniSZA.


Beliau berkata dengan wujudnya hospital pengajar ini, ia bukan sahaja dapat memperkasakan lagi peranan Fakulti Perubatan UniSZA, malah ia membantu untuk mencapai visi fakulti iaitu memberi perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang bertaraf antarabangsa.


Menurut kenyataan beliau yang diperoleh melalui sesi temu bual di Webex bersama Berita DIMENSi, bangunan hospital enam tingkat yang dibina di atas tapak seluas 12 hektar itu mempunyai 400 katil dan dijangka akan menerima kira-kira 935 staf akhir tahun ini.


“Justeru, reka bentuk hospital ini dibina dengan mengimplementasikan elemen-elemen kebudayaan negeri Terengganu, sebagai contohnya dinding hospital dibina dengan berkonsepkan corak songket yang mengetengahkan imej negeri Terengganu,” ujar Nik Ahmad Shaiffudin.


Ciri-ciri lain yang boleh menambahkan lagi kualiti perkhidmatan Hospital Pengajar UniSZA ini ialah konsep rawatan melalui rangsangan lima deria manusia yang diterapkan di therapeutic garden, bakal diwujudkan apabila hospital itu mula beroperasi sepenuhnya.


Beliau berkata hospital ini secara fizikalnya dibina berkonsepkan patuh Syariah di mana kemudahan beribadah akan disediakan di setiap tingkat dan juga wad.


“Difahamkan juga, dengan wujudnya konsep hospital patuh syariah ini, lokasi katil pesakit yang terlantar tidak perlu diubah jika mereka hendak bersolat kerana kita mengambil kira arah kiblat yang dirancang sebelum pembinaan hospital ini lagi,” kata Nik Ahmad Shaiffudin.


Sementara itu, Hospital Pengajar UniSZA akan turut hadir dengan sistem informasi hospital komprehensif yang mewujudkan pengurusan data dan pengurusan dokumen hospital secara paperless atau sistem tanpa kertas.


Gambar perkembangan terbaru Hospital Pengajar UniSZA.

(Sumber : YouTube / AzamBading)

Seiring dengan dunia teknologi perubatan yang pesat membangun, segala rekod rawatan dan rekod pesakit juga akan disimpan secara dalam talian. Selain itu, dengan adanya kemudahan sebegini, sistem kiraan kos rawatan pesakit juga bakal diadaptasikan melalui sistem pembayaran tanpa tunai seperti penggunaan aplikasi mudah alih dan juga kiosk.


Menyentuh aspek teknologi perubatan yang pesat membangun, Hospital Pengajar UniSZA akan berkolaborasi dengan Institut Jantung Negara (IJN) untuk membangunkan perkhidmatan perubatan penyakit kardiovaskular dan torasik di negeri Terengganu.


Selari dengan perancangan tersebut, integrasi teknologi yang melibatkan kursus kardiologi ke dalam program-program di Fakulti Perubatan UniSZA merupakan salah satu manfaat yang dikecapi daripada kolaborasi bersama IJN ini.


Sementara itu, Nik Ahmad Shaiffudin juga berkata dengan wujudnya kolaborasi ini, ia dapat memberi manfaat terutamanya kepada rakyat negeri Terengganu dan juga negeri-negeri di sekitar Pantai Timur.


“Dengan adanya kolaborasi ini, perkhidmatan istimewa yang bakal membawa kelainan di Hospital Pengajar UniSZA ialah terapi oksigen hiperbarik yang akan memberi sinar baru bukan sahaja kepada perkhidmatan itu sendiri, malah akan memberi keyakinan kepada pelancongan kesihatan atau Health Tourism di Terengganu.


“Oleh kerana Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merupakan universiti komuniti, kita memperkasakan perkhidmatan komuniti dengan menyediakan perkhidmatan klinik bergerak dan InsyaAllah akan wujud bas bergerak yang menawarkan perkhidmatan ujian mamogram kepada komuniti,” katanya sambil menambah keutamaan akan diberikan kepada rakyat negeri Terengganu.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!