STATE

HENTIKAN NORMALISASI SEMBANG LUCAH

Isnin, 3 Januari 2022
Oleh Intan Zulsyawani

Perbualan lucah selalunya tercetus sewaktu berkumpul bersama rakan-rakan.

(Sumber: Razzin Ridzwan/Gambar hiasan)

KOTA BHARU: Sembang lucah dalam perbualan harian telah menjadi satu kebiasaan dalam kalangan masyarakat tanpa merasakan ia satu kesalahan yang tidak patut dijadikan contoh kepada generasi yang akan datang.


Wan Norfarhan Liyana yang merupakan peguambela, dan juga peguamcara mengakui bahawa isu perbualan lucah hangat diperkatakan dalam golongan masyarakat sejak kebelakangan ini.


Isu ini tidak akan ada penghujung kerana ia terlihat kian menjadi-jadi tanpa mengira tempat tidak kira di kedai makan, tempat kerja, malah di ruangan komen media sosial masing-masing.


Ramai pihak tidak memandang serius akan isu ini kerana menganggapnya sebagai satu jenaka demi memeriahkan keadaan.


“Gurauan double meaning juga tidak sepatutnya diamalkan oleh masyarakat kerana ia boleh menimbulkan rasa tidak selamat dan menjadi aib bagi mangsa yang dijadikan bahan bualan tersebut.


“Walaupun pelaku tidak mengakui gurauan tersebut memberi maksud lain tetapi orang di sekeliling atau mangsa masih boleh menilai bahawa ia merujuk ke arah tingkah laku seksual,” jelas beliau.


Sesetengah individu mengamalkan perbualan lucah dalam kehidupan seharian mereka tanpa mengetahui bahawa perbuatan tersebut adalah salah di sisi undang-undang.


Hukuman yang bakal dikenakan kepada tertuduh adalah di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Jika perlakuan tersebut tersebar di media sosial, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika didapati bersalah, boleh disaman tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Tempat kerja juga tidak lari dari isu perbualan lucah.

(Sumber: Razzin Ridzwan/Gambar hiasan)

Mangsa memerlukan keberanian yang tinggi ketika tampil membuat laporan polis walaupun pelbagai stigma yang akan timbul dalam kalangan masyarakat.


Cukuplah cemuhan yang dilontarkan kepada mangsa kerana individu yang memulakan perbualan lucah ini kebiasaannya bijak dalam memanipulasi mangsa kerana beranggapan mereka berkuasa susulan daripada sikap patriarki yang masih diamalkan di kalangan masyarakat.


Pekerja swasta, Fadhil Ismail, 34, turut terkesan apabila rakan pejabat menjadi mangsa perbualan tidak senonoh yang telah menimbulkan suasana kerja yang tidak sihat.


“Pernah sahaja rakan lelaki saya sendiri bercakap lucah dengan rakan perempuan di tempat kerja sehinggakan saya juga menerima tempias walaupun saya tidak terlibat,” katanya


Hal tersebut memberi impak buruk kepada mental mangsa kerana mereka mula menganggap bahawa semua lelaki sama iaitu hanya memandang perempuan sebagai objek seksual.


“Kita sepatutnya menghormati wanita dengan memikirkan nasib keluarga sendiri seperti emak, kakak dan anak perempuan jika mereka menjadi bahan para kemenangan seks lelaki,“ ujar Fadhil Ismail menyesali sikap dari sesetengah pihak yang menindas golongan wanita.


Perbualan atau perbuatan berunsur lucah tidak patut diamalkan di tempat kerja kerana hubungan rakan sekerja akan terjejas lebih-lebih lagi apabila mengaitkan pekerja wanita.


“Mangsa gangguan boleh membuat tuntutan sivil atau laporan polis agar pihak berkuasa dapat mendenda pesalah berkenaan seperti yang terkandung dalam kes Kanun Keseksaan.


“Jenis-jenis gangguan seksual boleh terbahagi kepada beberapa bentuk seperti fizikal, lisan atau berasaskan teks.


“Tahap gangguan adalah berbeza bagi setiap kes dan hukumannya bergantung kepada tahap keseriusan serta jenis gangguan yang dialami,” kata Norfarhan Liyana.

Masyarakat perlu meningkatkan ilmu pengetahuan mereka terutamanya dalam ilmu Pendidikan Seks bagi memberi pendedahan kepada mereka terhadap aspek seksualiti individu.


Perkara sebegini tidak boleh dipandang enteng kerana ia boleh menjadi satu wabak yang boleh menular di kalangan masyarakat dalam jangka masa yang singkat.


Terdapat banyak kes yang sering berlaku bermula daripada perkenalan di alam maya yang membawa kepada perbualan lucah sehingga tercetusnya kes rogol.


“Setiap orang yang baik dan beriman perlu memiliki intelektual serta pemikiran yang sihat,” tegas peguam yang sudah biasa mengendalikan kes rogol.


Oleh itu, seseorang individu tidak boleh dinilai berdasarkan pada ciri luaran mahupun tahap kelayakan akademik yang diperolehi. Namun, pemikiran serta intelektual individu tersebut juga haruslah seiring dengan iman.


Akhlak mahmudah seseorang individu perlulah disemai dan dipupuk dalam diri dengan menjauhi maksiat seperti menonton bahan-bahan porno yang memberikan kesan negatif serta berpotensi menjurus kepada keruntuhan akhlak dan moral.


Masyarakat juga tidak seharusnya mengambil jalan mudah terhadap isu sebegini dengan menuding jari terhadap mana-mana pihak kerana perkara ini adalah bermula dari akar umbi diri individu masing-masing yang perlu diperbetulkan.

Like the article? Share it now!