FOCUS

E-PEMULA MENGGALAKKAN PERBELANJAAN CASHLESS

Rabu, 27 April 2022
Oleh Nurin Natasha

Pelancaran ePemula bersama YAB Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri.

(Sumber: Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia)

CYBERJAYA ePemula yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri pada April lalu, di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia, Cyberjaya telah mendapat sambutan meriah oleh para pelajar yang menghadiri program tersebut.

Dalam pada itu, tujuan utama ePemula dilancarkan oleh kerajaan dengan wang RM 150 dikreditkan secara e-tunai bagi memupuk perbelanjaan secara cashless dalam kalangan mahasiswa.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul memberi ucapan semasa hari pelancaran ePemula.

(Sumber: Portal Rasmi Kementerian Pengajian Tinggi)

Beliau juga memaklumkan wang berjumlah RM 150 akan dikreditkan secara e-tunai ke dalam e-wallet pilihan pelajar sendiri iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay atau Touch‘n Go eWallet.

Saya juga ingin berkongsi bahawa manfaat padanan berupa cash back, baucar, mata terkumpul atau coins turut ditawarkan oleh penyedia e-wallet yang boleh digunakan secara dalam atau luar talian selain daripada RM 150 kredit e-tunai ePemula,” katanya.

Antara pilihan e-wallet yang boleh diguna untuk menggunakan ePemula.

(Sumber: Durianciku Blogspot)

Keempat-empat e-wallet yang mengambil bahagian melalui Program ePemula iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet ini boleh digunakan melalui jaringan perniagaan runcit yang melebihi 1.2 juta touchpoints, luahnya dalam majlis pelancaran tempoh hari.

Menurut Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul dalam ucapannya semasa hari pelancaran, seramai dua juta golongan belia berumur lingkungan 18 hingga 20 tahun layak untuk menerima manfaat daripada program ePemula ini.

Seorang pegawai tadbir pada hari pelancaran, Nuralia Masturah Mustafa Kamal, 23, berkata, disebabkan negara sedang maju dan sedang dalam pergerakan menuju fasa cashless, penggunaan e-wallet sangat penting.

“Kita sedang menuju ke fasa cashless, di mana penggunaan e-wallet sangat digalakkan dan pengkreditan RM 150 ke dalam akaun pelajar merupakan cara untuk mempromosikan berbelanja secara cashless,” kata Nuralia Mustafa menerusi temu ramah Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Sementara itu, penuntut dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Adiba Syairah Muhammad Azlan Shah, 22, meluahkan rasa gembira apabila pelbagai barang keperluan dapat dibeli olehnya hasil daripada wang ePemula ini.

“Banyak barang keperluan yang boleh dibeli terutamanya barang keperluan untuk kemasukan ke kolej dan ketika saya berada di universiti, memandangkan sudah ramai yang mula kembali ke kampus untuk menjalani pembelajaran secara bersemuka,” ujarnya ketika di temu bual menerusi aplikasi WhatsApp.

Walaupun beliau berasa gembira telah menerima manfaat bantuan ini daripada kerajaan, namun baginya kaedah e-wallet ini tidak begitu efektif jika mahu diaplikasikan secara menyeluruh di seluruh Malaysia.

Tambahnya, ramai pihak terutamanya peniaga kecil-kecilan tidak mempunyai pembayaran secara e-wallet di kedai mereka dan hanya menerima pembayaran secara tunai atau debit dan kredit sahaja.

“Bagi saya, jika bantuan ePemula ini dikreditkan terus ke dalam akaun bank para pelajar, pasti lebih memudahkan kami para pelajar untuk membeli barang keperluan kami,” ujarnya.

Pandangan yang sama turut diberikan Myza Syahira Masrulhafizie, 22, juga merupakan pelajar UiTM , di mana dia merasakan bantuan RM150 yang dikreditkan ke e-wallet ini tidak efisien kerana tidak semua premis perniagaan menerimanya.

Namun begitu, mahasiswa jurusan pengurusan pejabat itu tetap menzahirkan rasa syukur dan gembira apabila pihak kerajaan sudi menghulurkan bantuan kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban untuk membeli barang keperluan untuk dirinya.

“Saya berasa gembira kerana bantuan ini dapat meringankan sedikit beban saya untuk membeli barang keperluan saya. Malah saya juga menggunakan wang tersebut untuk membeli makanan,” kata Myza Masrulhafizie.


Like the article? Share it now!