STATE

DEBARAN CALON SPM TATKALA PERALIHAN FASA ENDEMIK COVID-19

Rabu, 15 Disember 2021
By Qalif Zuhair

ALOR GAJAH: Calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, sudah mula menunjukkan perasaan bercampur baur dalam menghadapi SPM yang dinanti-nantikan mereka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan selama lima bulan bermula Jun tahun ini.

Suasana hari persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Dol Said.
(Sumber: Berita DIMENSi / Qalif Zuhair)

Keresahan setiap pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan SPM jelas kelihatan apabila mereka terpaksa mengharungi semula Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Sebahagian besar daripada mereka amat teruja sejurus PKP berakhir sebulan yang lalu kerana mereka dapat kembali ke sekolah secara bersemuka semula.

Puan Nor Wahida Arifin, guru kaunseling di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Dol Said, berkata, ramai pelajar telah kembali ke sekolah seperti biasa meskipun segelintir ibu bapa risau tentang keselamatan anak-anak mereka semasa fasa endemik ini.

Puan Wahidah (kanan) yang merupakan guru kaunseling telah berkhidmat sejak 2018.
(Sumber: Berita DIMENSi / Qalif Zuhair)

Menurutnya lagi, pihak sekolah dan para guru Tingkatan 5 bertungkus lumus dalam memastikan kehadiran calon SPM tahun ini.

Beliau menambah, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kehadiran yang kurang memuaskan ini, antaranya ialah pelajar sudah mula bekerja semasa PKP berlangsung.

“Ada daripada mereka bekerja sebagai pelayan di restoran dan pencuci kereta serta ada sesetengah daripada mereka tergolong dalam keluarga yang kurang berkemampuan dan merasakan bahawa mereka perlu bekerja untuk menolong ibu bapa mengurangkan beban semasa PKP”.

“Bukan itu sahaja, ibu bapa juga memainkan peranan dalam hal ini. Segelintir ibu bapa tidak membenarkan anak mereka untuk kembali ke sekolah kerana COVID-19 dan ada juga yang tidak membenarkan anak mereka untuk menerima vaksin”, kata beliau.

Tiada pilih kasih yang berlaku buat para pelajar dan mereka yang tidak divaksin masih diarah untuk hadir ke sekolah tetapi perlu memastikan tidak bergejala semasa berada dikawasan sekolah bagi mengelakkan sebarang kluster COVID-19 terjadi.

Buat para guru, mereka berasa tertekan kerana perlu menghabiskan silibus dalam masa yang sangat singkat. Walaupun kelas atas talian sudah lama berlangsung, mereka merasakan bahawa akan ada pelajar yang ketinggalan.

Pembelajaran secara bersemuka jauh lebih berkesan berbanding pembelajaran atas talian. Mereka juga perlu menghantar laporan harian kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar.

Muhammad Naim Hamdan, 17, calon SPM yang sudi ditemu ramah menyatakan sebilangan besar daripada mereka merasakan bahawa kelas atas talian hanyalah mengehadkan kehendak mereka untuk berinteraksi dengan guru disebabkan rasa segan untuk bertanya melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram.

Muhammad Naim (kanan), seorang pelajar tingkatan lima yang di temu ramah mengenai persediaan menghadapi SPM.

(Sumber: Berita DIMENSi / Qalif Zuhair)

“Kerja rumah dan tugasan seringkali diabaikan disebabkan gangguan-gangguan di rumah seperti permainan video yang jelas sekali digemari ramai remaja. Kerja menjadi acuh tak acuh, sekadar siap sahaja”, jelas beliau lagi.

Mereka agak terkesan disebabkan COVID-19 dan juga kelangsungan kelas atas talian melemahkan semangat mereka untuk belajar. Ramai di antara mereka masih belum bersedia dalam menghadapi peperiksaan SPM.

“Kami masih tidak tahu bagaimana format SPM kali ini dan apa yang kami belajar selama ini hanyalah umum. Ada subjek yang tidak mudah untuk dikejar, tambah lagi dengan ketiadaan kelas tambahan.

“Saya berharap soalan-soalan SPM tahun ini setimpal dengan situasi yang kami hadapi. Bukan bermaksud kami berhak menjawab soalan mudah, cuma kami sudah tidak mahu berkeadaan seperti cacing kepanasan.

“Kalau boleh kami sudah tidak mahu kelas atas talian lagi”, keluh Naim.

Suasana kelas Tingkatan 5 yang suram akibat daripada kehadiran pelajar yang sedikit

(Sumber: Berita DIMENSi / Qalif Zuhair)

Sudah terang lagi bersuluh ditunjukkan oleh calon-calon SPM yang meluahkan perasaan mereka dalam menghadapi peperiksaan terbesar dalam hidup dan pastinya mereka hanyalah mahukan yang terbaik untuk diri masing-masing.

Ini bukan perkara yang mudah untuk dicapai disebabkan situasi endemik ini yang mengganggu segala perancangan yang disedia oleh pihak sekolah.

Like the article? Share it now!