FOCUS

BODY SHAMING BUKAN BAHAN JENAKA

Isnin, 13 Jun 2022
Oleh Faiqah Nasuha

Semakin ramai pengguna Internet yang berani meninggalkan komen yang berunsurkan body shaming dengan tujuan bagi memalukan pemilik akaun media sosial dalam ruangan perkongsian mereka.

Meskipun pengguna internet mempunyai akses untuk membuat akaun palsu tanpa menggunakan nama atau gambar sebenar, mereka tidak mempunyai hak untuk meninggalkan komen di ruangan media sosial orang awam terutamanya yang berbaur biadab.

Pada bulan April awal tahun ini, terdapat kes penderaan yang melibatkan seorang kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) telah menarik perhatian ramai kerana ianya melibatkan seorang pengasas rumah penjagaan kanak-kanak atau dikenali sebagai Rumah Bonda.

Laporan oleh Kosmo mengatakan Siti Bainun juga pernah terlibat dalam perbicaraan kes penderaan sejak Ogos lalu.

Pengasas rumah penjagaan kanak-kanak tersebut telah menjadi topik utama perbualan rakyat Malaysia di media sosial, terutama sekali di Twitter dan TikTok.

Terlampau banyak lemparan negatif yang dilontarkan bertujuan untuk menghentam perbuatan Siti Bainun sehingga ada yang menghina fizikalnya untuk melepaskan kemarahan mereka tentang kes tersebut.

Antara salah satu contoh pengguna Twitter membuat komen yang melibatkan penampilan fizikal Siti Bainun.

(Sumber: The Star)

Meskipun gurauan berikut ditujukan kepada Siti Bainun, orang awam yang mempunyai fizikal yang lebih kurang sama juga telah terkena tempias dengan gurauan kasar seperti itu.

Menurut laporan MStar, Nurul Shazwani, 32, salah seorang individu yang mendapat komen perbandingan bersama Siti Bainun, berpendapat masyarakat tidak patut bergurau dengan mengaitkan isu penderaan dan fizikal seseorang.

Bukan Nurul Shazwani sahaja yang mendapat komen perbandingan sebegitu, tetapi segelintir pengguna TikTok juga yang menerima nasib yang sama.

Hazy Shahrin, salah seorang pengguna TikTok, membalas komen perbandingan di akaunnya dengan nada sarkastik.

(Sumber: Hazy Shahrin)

Komen sebegini mungkin dianggap remeh dan tidak serius, tetapi ia berupaya untuk menghancurkan harga dan keyakinan diri pemilik akaun ini.

Faizah Kamaruddin, 20, seorang pengguna Twitter yang kerap mempunyai pendapat yang kukuh tentang perkara ini.

“Walaupun seseorang itu mempunyai rekod jenayah sekalipun, kita tidak sepatutnya mengkritik rupa seseorang kerana apa yang disampaikan boleh memberi kesan kepada orang lain,” Faizah berkata dalam temubual bersama Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Faizah juga berpendapat bahawa lawak yang bertumpukan menghina fizikal seseorang seperti telah dinormalisasikan dari dahulu lagi.

“Meskipun ada kesedaran body shaming di Twitter dan media sosial lain, masih ada orang yang suka membuat lawak sebegini tanpa memikirkan perasaan orang lain,” ujar Faizah.

Fifi Ibrahim, 22, pelajar tahun dua Penyiaran Sarjana Muda Komunikasi Massa berkata bahawa salah satu cara masyarakat menghukum seseorang adalah melalui rupa fizikal.

“Pada pendapat saya, tidak betul cara orang untuk mengutuk fizikal seseorang walaupun mereka mempunyai rekod jenayah, tetapi fizikal adalah salah satu perkara yang orang akan sentuh dahulu.

“Ia juga salah satu cara masyarakat berbalas terhadap perbuatan seseorang itu,” Fifi meluahkan semasa temubual bersama Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Di Malaysia, perbuatan menghina fizikal seseorang adalah salah satu kesalahan jenayah yang boleh dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Menurut laporan oleh Sinar Harian, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid berkata, untuk menangani kesalahan jenayah ini, Malaysia menggunakan undang-undang di bawah Seksyen 233(1)(a)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Walaupun lawak yang berunsurkan body shaming itu ditujukan kepada orang yang mempunyai rekod jenayah, namun masyarakat harus berhati-hati dalam percakapan dan juga perkongsian di media sosial kerana ia dapat melukakan hati orang lain.

Like the article? Share it now!