CITY

BLACKBOX INDUSTRIES & DARTLIZTAILOR: DUA ANAK JATI SHAH ALAM TEMBUS PASARAN PAKAIAN SUKAN BERCETAK


Rabu, 9 Jun 2021
Oleh Syukri Ariffin

Atif Shahadat mewakili Blackbox menyerahkan jersi kepada penunggang MotoGp Malaysia, Hafizh Syahrin.
(Sumber: Blvckbox)

SHAH ALAM Blackbox Industries Sdn Bhd (BISB) dan DARTLIZTAILOR antara syarikat pembekal pakaian sukan tempatan yang berjaya menembusi pasaran besar kerana mendapat permintaan yang tinggi daripada masyarakat tempatan.


Sifat persahabatan yang utuh dan erat sejak zaman persekolahan antara Asyraf Iskandar, 30, yang merupakan pemilik BISB dan Atif Shahadat, 30, pemilik kepada syarikat DARTLIZTAILOR, telah sebulat suara untuk berjalan seiring dan bekerjasama bagi meningkatkan kapasiti penghasilan pakaian sukan di bawah satu bumbung yang sama.


BISB adalah sebuah syarikat pembekal dan pencetak pakaian sukan yang ditubuhkan pada dua tahun lepas. Syarikat ini memainkan peranan sebagai syarikat induk yang mempunyai anak syarikat iaitu Blackbox Printing Studio yang telah mula beroperasi sejak pada Mac 2017.


Hanya bermula dengan tiga orang pekerja pada empat tahun yang lepas, kini beliau telah berjaya mengembangkan perusahaan dengan menambah lapan orang pekerja dan dengan jayanya telah menghasilkan sebanyak 65,000 helai pakaian sukan dan korporat dari 1,500 pelanggannya.


Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan menerima jersi bagi Istana Selangor Football Team.
(Sumber: Blvckbox)

Siapa sangka seorang bekas graduan pereka grafik yang bercita-cita tinggi dan bersemangat darah muda yang membuak-buak mampu untuk mengubah fiksyen ke realiti dengan mempunyai syarikat milik sendiri pada umur 30-an.

“Asyraf merupakan salah seorang usahawan muda tempatan yang berjaya membuka kilang pencetak and pembekal pakaian sukan yang terbesar di Shah Alam.

“Kejayaan Asyraf sering menjadi bualan di bibir-bibir masyarakat khususnya usahawan tempatan dan ia telah mendapat perhatian daripada salah seorang ahli lembaga syarikat pakaian sukan yang terkemuka untuk menjadi salah sebuah pembekal pakaian sukan ternama itu,” kata Atif ketika ditemu ramah secara bersemuka oleh Berita DIMENSi baru-baru ini.

Tukang jahit sedang menjahit kolar jersi.
(Sumber: Berita DIMENSi / Syukri Ariffin)

Bagi melengkapi kitaran proses penghasilan pakaian sukan ini, ia memerlukan beberapa proses seperti percetakan, pemanasan, menjahit serta pembungkusan.

Pekerja sedang menyiapkan tempahan pakaian sukan.
(Sumber: Berita DIMENSi / Syukri Ariffin)

“Saya sendiri suka bermain bola sepak dan mempunyai pengalaman bekerja dengan Blackbox serta dapat melihat dengan lebih terperinci bagaimana sehelai pakaian sukan dihasilkan, oleh sebab itu, saya terus berhasrat untuk membuka syarikat menjahit dan membina jenama saya sendiri iaitu DARTLIZTAILOR,” katanya lagi.

Beliau hanya bermodalkan RM40,000 bagi kos permulaan perniagaan ini dan menggunakan mesin jahitan yang terpakai dek kerana kondisi mesin yang baik serta tahan lasak.

Walaupun syarikat menjahit ini masih baru dalam arena pembekal pakaian sukan, naik turun bagi sesebuah perniagaan adalah lumrah bagi setiap usahawan. Bagi Atif, dugaan yang dihadapinya adalah ketika kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua.

Beliau terpaksa membuang tiga orang penjahit ketika itu bagi mengurangkan kos kerugian yang akan ditanggung. Namun hanya berbaki tiga hingga empat orang tukang jahit, syarikat beliau mampu untuk menghasilkan 250 hingga 300 helai baju sehari.

“Untuk memenuhi pencetak pakaian sukan bagi pembekal syarikat terkemuka itu, saya sekurang-kurangnya perlu tiga kumpulan yang terdiri daripada 12 tukang jahit untuk menghasilkan lebih kurang 30,00 hingga 60,000 helai baju.

“Sekarang saya ingin menambah tukang jahit bagi melebarkan sayap untuk terbang lagi jauh dan Insyaallah selepas raya saya mungkin melancar kurta jenama saya sendiri,” tambahnya.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!