FOCUS

BIASISWA ATAU PINJAMAN PELAJARAN, MANAKAH LEBIH BAIK?

Rabu, 16 November 2022
Oleh Najihah Razak

Kos sara hidup yang semakin meningkat menyebabkan terdapat individu yang kurang berkemampuan tetapi berkeinginan meneruskan pengajian perlu bergantung kepada biasiswa atau pinjaman pendidikan sebagai bantuan kewangan.


Antara biasiswa popular yang menjadi idaman mahasiswa adalah biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA), namun, oleh kerana kuota yang terhad, hanya mahasiswa berkelayakan sahaja yang terpilih. 


Bagi pinjaman pendidikan pula, terdapat pelbagai jenis pembiayaan yang tersedia dan antara yang paling sesuai dengan kadar faedah yang paling rendah adalah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).


Timbalan Pengarah Hal Ehwal Akademik Kolej Kemahiran Tinggi MARA Rembau, Negeri Sembilan, Rohayu Daud, berkata, institusi MARA juga menyediakan Program Pinjaman Pelajaran Tertiari (TESP) kepada mahasiswalepasan SPM, STPM, Diploma dan setaraf yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma atau Ijazah Pertama.


Menurutnya, pinjaman ini berkonsepkan pinjaman boleh ubah, di mana jumlah pinjaman pendidikan yang diterima boleh dipertimbangkan pengurangan dengan bayaran balik berdasarkan prestasi akademik mahasiswa selepas tamat pengajian, tertakluk kepada polisi yang ditetapkan.

Puan Rohayu Daud ketika memberi taklimat tentang “Ekosistem MARA - Manfaat dan Kaedah” di KKTM Rembau

(Sumber: Facebook/@KKTM Rembau)

“Secara amnya, agensi kerajaan seperti MARA, JPA, dan PTPTN akan menetapkan tempoh pembayaran balik dengan pelbagai pelan dan tempoh pembayaran bermula selepas tamat pengajian, sama ada serta-merta atau sehingga enam bulan selepas tamat pengajian.


“Bagaimanapun, sekiranya graduan sukar mencari kerja sehingga menyukarkan pembayaran balik, graduan boleh mengemukakan permohonan rasmi untuk menangguhkan pembayaran balik untuk beberapa bulan lagi,” jelasnya.

Perbandingan antara biasiwa, dermasiswa, dan pinjaman.

(Sumber: afterschool.my)

Tambah Rohayu, terdapat kelebihan dan kekurangan bagi mahasiswa yang ingin memohon pinjaman pelajaran atau biasiswa, dan sekiranya mahasiswa itu ditaja oleh biasiswa, mereka sering terikat dengan syarat graduan bekerja untuk institusi atau syarikat selama beberapa tahun.

“Untuk mahasiswa yang memohon pinjaman pelajaran, ada institusi yang mengenakan bayaran perkhidmatan dan sebagainya yang menyebabkan graduan membayar lebih daripada jumlah pinjaman awal,” ujarnya.

Bagaimanapun, Muhammad Adham Fendi, 22, yang memohon pinjaman pendidikan daripada PTPTN menjelaskan, sekiranya mahasiswa menamatkan kursus dengan ijazah sarjana muda kelas pertama pada akhir pengajian dan memohon ke Bahagian Penguatkuasaan Dan Kutipan Balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)  sejurus selepas menerima sijil tamat pengajian, pinjaman boleh ditukar kepada biasiswa.

Adham berpendapat ramai mahasiswa terlalu memikirkan tentang kos bayaran balik tanpa mengenalpasti dahulu kebaikan memohon pembiayaan pelajaran.

“Mahasiswa yang tidak memperoleh ijazah kelas pertama perlu membayar balik pinjaman sepenuhnya dan membayar sama ada ujrah (caj perkhidmatan) 1 peratus atau caj konvensional 3 peratus hingga 5 peratus,”katanya.

Manakala, Puteri Nur Mashitah, 22, mahasiswa yang menerima pinjaman TESP menjelaskan MARA turut memberi pilihan kepada graduan untuk membayar balik pinjaman atau bekerja dengan institusi mereka sekiranya peminjam tidak berhasrat untuk membayar balik pinjaman.

Mashitah berkongsi kelebihan menjadi mahasiswa tajaan MARA.

“Jika anda ingin menjalani kehidupan tanpa hutang selepas tamat pengajian, anda boleh membuat pertimbangan untuk memohon pinjaman boleh ubah daripada MARA, yang bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan selepas tamat pengajian, malah mungkin menjamin pekerjaan yang baik dengan tawaran kerja daripada MARA sendiri,” jelasnya.

Mahasiswa dan bakal penuntut universiti boleh memilih dan membezakan antara pilihan bantuan kewangan biasiswa atau pinjaman pelajaran, berdasarkan perspektif dan pilihan mereka sendiri, kerana kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri. 

Like the article? Share it now!