STATE

BABY HATCH: PELINDUNG KEBAJIKAN BAYI

Isnin, 6 Disember 2021
Oleh Nurul Izzati Zaidi

‘Baby Hatch’ mempunyai sistem yang lengkap seperti penyaman udara serta penggera kecemasan agar bayi yang ditinggalkan kekal selamat dalam peti tersebut.

(Sumber: OrphanCare Foundation)

PETALING JAYA: Beroperasi sebanyak sepuluh baby hatch di seluruh Malaysia, bakul pelindung bayi ini berjaya menyelamatkan ramai bayi daripada dibuang dan diabaikan.

Yayasan OrphanCare yang telah beroperasi selama lebih 10 tahun menyatakan misi mereka ialah deinstitutionalization di mana mereka cuba untuk mengurangkan kemasukan bayi ke rumah anak yatim.

Sejajar dengan misi dan slogan mereka iaitu Every Child Needs a Family, pusat ini mendukung idea institusi kekeluargaan apabila bayi yang ditinggalkan di baby hatch tersebut dijadikan anak angkat sekaligus memberi sinar dan nafas baharu kepada mereka.

Pegawai Advokasi dan Komunikasi, Riza Alwi berkata, bayi yang ditinggalkan di situ dikira sebagai kes kecemasan.

“Bakul pelindung bayi yang dilengkapi penyaman udara dan keselamatan itu akan membunyikan penggera lalu bayi tersebut akan dibawa ke hospital berhampiran bagi tujuan pemeriksaan.

“Setelah pemeriksaan lengkap, pihak kami akan menjaga bayi tersebut selama tujuh hingga 11 hari kerana kami bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam pengurusan hal pengambilan anak angkat kepada pasangan yang berhasrat.

“Kami juga sudah pun memiliki senarai menunggu,” ujar Riza lagi.

Bagaimanapun, baby hatch ini merupakan pilihan terakhir yang boleh dipilih oleh wanita mengandung atau melahirkan dan berasa tidak mampu untuk menjaga bayi tersebut maka, mereka boleh pertimbangkan alternatif ini.

“Wanita-wanita yang meninggalkan bayi di baby hatch ini tidak perlu merasa risau akan keselamatan mereka kerana mereka hanya perlu meletakkan bayi dan pulang tanpa disoal siasat oleh sesiapa pun,” katanya kepada Berita DIMENSi.

Dengan itu, bayi tersebut dapat diselamatkan dan mampu menjanjikan masa depan yang cerah kepada bayi tersebut jika dibesarkan dalam institusi kekeluargaan yang sempurna.

Dalam pada itu, salah faham konsep baby hatch merupakan perkara biasa dalam kalangan masyarakat yang menganggap baby hatch ini menggalakkan zina dan pembuangan bayi.

Menurut Riza, baby hatch ini bukanlah untuk golongan yang melakukan kesilapan semata-mata tetapi juga untuk mangsa rogol atau ibu-ibu yang tidak mampu membesarkan anak mereka.

Baby hatch ini bukan tempat buang bayi tapi tempat untuk menyelamatkan bayi.

“Jadi, kita tidak boleh meletakkan idea baby hatch itu menggalakkan zina kerana semua yang minta pertolongan kita itu bukan wanita yang melakukan kesilapan sahaja,” katanya.

Sesiapa sahaja boleh meninggalkan bayi di mana-mana ‘Baby Hatch’ berhampiran tanpa unsur diskriminasi oleh sebarang pihak.

(Sumber: OrphanCare Foundation)

Tambahnya lagi, bayi-bayi yang ditinggalkan di baby hatch itu datang dalam pelbagai keadaan.

“Ada daripada bayi itu diletakkan dalam keadaan berpakaian penuh, berbalut dengan kain batik dan ada juga yang masih berdarah,” ujar beliau.

Riza berkata, apabila bayi diletakkan di baby hatch, bayi itu tidak diketahui bangsa dan agamanya melainkan ibu kandung meninggalkan pesanan seperti surat.

“Jika kami tidak tahu asal usul bayi tersebut, kami akan ikut undang-undang negara.

“Bayi akan beragama Islam kerana bila mereka diletakkan di baby hatch, ianya seperti kosong dan tidak tahu keturunan, asal usul mahupun agama,” tambah Riza.

Dalam pada itu, Yayasan OrphanCare turut menyediakan khidmat kaunseling psikologi kepada pasangan yang berhasrat untuk mengambil anak angkat melalui pusat mereka.

“Oleh itu, kami berikan pasangan ini kaunseling dan sesi latihan sekiranya mereka ingin mengambil anak angkat kerana mereka perlu faham tentang bayi di baby hatch ini dan terima bayi ini seadanya,” katanya.

Bayi-bayi yang diambil oleh pasangan yang inginkan anak angkat akan dipantau oleh pekerja sosial Yayasan Orphancare selama dua tahun bagi mengikuti perkembangan bayi-bayi tersebut.

Katanya, Yayasan OrphanCare turut berhasrat untuk mewujudkan baby hatch lain terutama sekali di hospital kerajaan.

“Setakat ini kami bekerjasama dengan hospital swasta sahaja iaitu KPJ dan kami berhasrat untuk menempatkan baby hatch di hospital kerajaan dan kawasan pedalaman.

Yayasan OrphanCare merupakan pusat perlindungan bayi dan wanita-wanita yang memerlukan bantuan boleh dapatkan khidmat kaunseling di talian 03-7770 1900.

(Sumber: OrphanCare Foundation)

“Tetapi semua ini memerlukan kos yang tinggi kerana buat masa kini, kami hanya beroperasi dari rumah dan memerlukan pekerja yang boleh duduk di sini 24 jam.

“Kami bertugas untuk memantau baby hatch yang turut memerlukan kos tinggi kerana kelengkapan sistem yang dibuat,” katanya.

Menurutnya lagi, Yayasan Orphancare telah menyelamatkan sebanyak 453 kes bayi yang tidak diingini atau dirancang.

Sebanyak 279 daripada nilai itu dijadikan anak angkat di mana bayi-bayi yang tidak bersalah itu layak dibesarkan dalam institusi kekeluargaan yang sempurna dan harmoni.

Like the article? Share it now!