FOCUS

AKTA BODY SHAMING, MEMBENDUNG BUDAYA PERLEKEH FIZIKAL

Isnin, 20 Jun 2022
Oleh Nur Ain

Perbuatan body shaming adalah satu kesalahan jenayah dan pelaku boleh dikenakan tindakan.

(Sumber: Getty/Siphotography)

Budaya body shaming kerap dianggap sebagai gurauan semata-mata tetapi ia sebenarnya kesalahan dari segi undang-undang jika didakwa dan disabitkan kesalahan.

Malangnya kini platform media sosial banyak digunakan untuk mengecam dan memperlekehkan fizikal sesorang.

Pelajar jurusan undang-undang, Jovita Julius, 21, berkata, Seksyen 233 (1) (b) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman bagi kesalahan body shaming yang dilakukan secara dalam talian.

Berdasarkan akta tersebut, jika didapati bersalah, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

“Seksyen 233 sangat membantu kerana masyarakat kini dilihat terlalu selesa dengan media sosial sehingga mula membuli dengan memperlekeh fizikal dan rupa paras orang lain,” kata Jovita menerusi temu bual bersama Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Tidak terkecuali daripada menjadi mangsa body shaming, dia turut menceritakan pengalamannya ketika diejek kerana berbadan besar oleh pelajar lelaki di sekolah sehingga membuatnya berasa sangat sedih.

Menurutnya, perbuatan tersebut tidak boleh dianggap sebagai gurauan walaupun pelaku berkenaan menganggap hal tersebut sekadar gurauan.

“Saya juga pernah dikritik oleh salah seorang daripada ahli keluarga dimana saya perlu menurunkan berat badan terlebih dahulu supaya kelihatan lebih cantik menerusi gambar yang dikongsi di halaman Facebook.

“Bila ada akta mengenai body shaming ini, ia boleh memberi kesedaran kepada orang ramai supaya mereka tidak menghina fizikal orang lain sesuka hati kerana mereka boleh didenda atau dipenjarakan,” tambahnya lagi.

Najihah Mokhtar, 21, pelajar jurusan Undang-undang Universiti Malaya, turut berpendapat bahawa akta yang telah digubal dapat membantu untuk menghukum pelaku dan hukuman yang diberikan juga setimpal.

“Budaya body shaming sememangnya susah untuk dikawal terutamanya di media sosial, namun sekurang-kurangnya dengan adanya akta, mangsa dapat memperoleh keadilan.

"Mangsa body shaming perlu membuat laporan untuk memanfaatkan akta yang ada supaya dapat menjadi pengajaran kepada orang lain juga,” kata Najihah menerusi temu bual bersama Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Individu yang menjadi mangsa body shaming boleh membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

(Sumber: Utusantv)

Menurut Sinar Harian, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, individu yang menjadi mangsa kepada perbuatan menghina, mengecam atau mencaci bentuk tubuh seseorang, boleh membuat laporan polis sebelum merujuk kepada SKKM.

Mangsa perlu mengumpulkan bukti terlebih dahulu sebelum bertindak melaporkan perbuatan tersebut kepada pihak berkuasa.

Antara tindakan yang dapat dilakukan adalah mereka perlu menyimpan semua cacian dan hinaan berkenaan fizikal yang diterima di media sosial dengan melampirkan tangkap layar yang dimuat naik oleh pelaku.

Selain daripada Akta Komunikasi dan Multimedia, antara undang-undang lain yang boleh digunakan dalam isu body shaming adalah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Seksyen 509 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman denda atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali dan denda tidak lebih RM100 bagi Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Akta body shaming yang diperuntukkan oleh pihak kerajaan dilihat sebagai satu inisiatif yang baik dalam usaha mengurangkan budaya body shaming.

Jovita dan Najihah turut berpendapat bahawa pihak kerajaan perlu menambah baik akta sedia ada dan mewujudkan undang-undang khas bagi perbuatan tersebut.

Hal ini secara tidak langsung dapat membantu membendung budaya body shaming, sekali gus memberi kesedaran kepada orang ramai.

Like the article? Share it now!