state

ADAKAH PELAKSANAAN PKP 3.0 AKAN BERKESAN?


Jumaat, 11 Jun 2021
Oleh Aqilah Safari

PKP 3.0 harus diperketat bagi mengurangkan kadar jangkitan COVID-19.

(Sumber: Kosmo)

KUALA LUMPUR – Kes harian COVID-19 yang mencatatkan kadar peningkatan drastik hari demi hari agak membimbangkan sehingga ada pihak yang mempertikaikan keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan baru-baru ini.


Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi PKP 3.0 yang agak longgar membuatkan sesetengah pihak lantang bersuara akan isu ini kerana khuatir pelaksanaan PKP 3.0 yang tidak mampu membendung peningkatan kadar jangkitan COVID-19 setakat ini.


Sebagai seorang rakyat, Bahirah Basyar, 27, turut menyatakan pandangan beliau berkaitan dengan keberkesanan pelaksanaan PKP 3.0 ketika ditemu ramah oleh Berita DIMENSi menerusi aplikasi WhatsApp.


“Bagi saya, PKP 3.0 ini tiada bezanya dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana rakyat masih lagi bebas walaupun SOP baharu telah ditetapkan.


“Malah, apa yang merisaukan adalah SOP yang ditetapkan sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan semasa COVID-19 yang memeningkan serta tidak membantu dalam mengurangkan kadar jangkitan.


“Walau bagaimanapun sebagai rakyat, kita tetap kena patuh biarpun SOP tidak seperti PKP 1.0 kerana tiada guna peraturan yang telah ditetapkan itu jika masih ada individu yang ingkar SOP.


“Lebih-lebih lagi isu yang selalu didengar seperti isu rentas negeri dan daerah yang dilakukan oleh sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab,” kata Bahirah.


Bahirah juga menyatakan rasa bimbang dengan varian COVID-19 baharu yang dikatakan lebih agresif dan berbahaya yang mampu tersebar dengan lebih pantas sekiranya ada pihak yang masih mengambil enteng dengan arahan PKP 3.0.


“Varian baharu yang tular di Malaysia juga buat saya bimbang kerana ianya lebih pantas untuk merebak, di rumah pula ada orang tua, golongan berisiko, ini membuatkan saya semakin risau.


“Kalau boleh semua kena berganding bahu dalam mematuhi SOP kali ini agar PKP 3.0 akan berkesan,” katanya lagi.


Seorang pekerja di kompleks membeli-belah, Muhammad Haris Adnan, 22, turut bersetuju sekiranya perlaksanaan PKP diperketatkan melalui satu temu bual dari aplikasi Whatsapp.


“Saya bersetuju dengan perlaksanaan PKP 3.0 dperketatkan dalam situasi sulit yang kita hadapi iaitu pada waktu kes sedang melonjak naik yang disebabkan oleh kluster COVID-19.


“Saya difahamkan bahawa keputusan Yang Amat Berhormat adalah relevan untuk situasi yang kita hadapi dari pelbagai aspek iaitu dari sektor ekonomi kita yang agak membimbangkan,” jelas Haris.


Beliau juga berharap agar tindakan tersebut akan membawa kepada penurunan kes COVID-19 di Malaysia.


Sidang media Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri.
(Sumber:
The Star)

Namun begitu, penetapan SOP baharu yang diumumkan oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri melalui sidang media khas baru-baru ini dikatakan telah diperketatkan dan berkuatkuasa bermula 25 Mei sehingga 7 Jun 2021.


“Waktu operasi bagi sektor perniagaan seperti pusat membeli-belah, gerai, dobi, kedai serbaneka dan stesen minyak akan dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam, manakala pasar malam dibenarkan beroperasi bermula pada pukul 4 petang sehingga 8 malam.


"Kedai farmasi dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 10 malam,” ujarnya melalui sidang media tersebut.


Selain itu, 80% penjawat awam juga dikehendaki bekerja dari rumah dan ia turut dilaksanakan membabitkan 40% pekerja sektor swasta.


Bagi pengangkutan awam pula, kapasiti penumpang hanyalah 50% sahaja yang dibenarkan seperti yang pernah ditetapkan ketika PKP 1.0.


Jumlah sekatan jalan raya juga akan dipergiatkan bagi menghadkan pergerakan ketika PKP 3.0 berlangsung.


Beliau juga memahami akan permintaan orang ramai berkaitan dengan pelaksanaan PKP 3.0 secara penuh berikutan dengan catatan kes yang menunjukkan kadar peningkatan yang merisaukan. Namun, beliau bimbang sekiranya pelaksanaan itu akan menjejaskan ekonomi peniaga-peniaga kecil serta penutupan banyak syarikat.


Oleh itu, orang ramai seharusnya berganding bahu dalam mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi melandaikan kadar jangkitan COVID-19 tidak kira daripada golongan marhaen mahupun kayangan agar PKP 3.0 berjalan dengan lancar.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!