SPECIAL REPORT

Wi-Fi PERLAHAN JEJAS AKTIVITI DIGITAL WARGA UiTM

SHAH ALAM: Masalah ketersambungan internet di sekitar kawasan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menyebabkan warga UiTM mengalami kesulitan untuk melakukan tugasan secara atas talian.

Isu tersebut adalah berpunca daripada tahap jaringan yang kurang memberangsangkan oleh kebanyakan alat penghala jaringan Internet atau router.

Memetik dari UiTM News Hub, purata liputan Wi-Fi pada masa kini telah mencapai sebanyak 60% untuk keseluruhan kampus UiTM.

Namun, peningkatan keperluan terutamanya di kawasan kolej-kolej kediaman setelah peristiwa pandemik telah sedikit sebanyak menjejaskan perancangan penambahbaikan liputan Wi-Fi UiTM.

Purata liputan Wi-fi di seluruh kampus UiTM

(Sumber: UiTM News Hub)

Pegawai Teknologi Maklumat Kanan F44 (Ketua Unit) Bahagian Rangkaian, Pejabat Pembangunan Infrastruktur & Infostruktur (PPII) UiTM, Suraya Che Kamal berkata masalah Wi-Fi yang seharusnya menjadi keperluan asas mahasiswa UiTM menjadi semakin serius semenjak dari awal pandemik berlaku dan masih berterusan hingga sekarang. 

“Apabila pihak kami telah menerima aduan, biasanya kami akan semak sama ada lokasi yang diterima aduan itu telah termasuk dalam rancangan penambahbaikan atau tidak.

“Jika tidak ada, kami akan mengenalpasti lokasi aduan tersebut yang mana mungkin kami terlepas pandang kemudian barulah kesemua aduan tersebut dikumpulkan untuk keperluan projek seterusnya,” katanya. 

Suraya menegaskan bahawa penyediaan jaringan Internet yang baik sentiasa menjadi keutamaan pihaknya.

Beliau mengatakan bahawa pemasangan router Wi-Fi kini lebih ditumpukan di kawasan kolej kediaman bagi mengutamakan kebajikan mereka selain kekangan dana yang telah diperuntukkan oleh pihak kerajaan.

Tambahnya lagi, pihaknya kini sedang dalam peringkat perbincangan untuk menyediakan data pelan mudah alih yang terbaik kepada pelajar. 

“Setakat ini, terdapat penawaran dari syarikat Celcom untuk menyediakan Pelan Bantuan Data Internet EL30 namun masih lagi dalam pertimbangan pihak Unit Rangkaian,” tambahnya.

Bagi Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam, Yusuf Hassan, isu tersebut telah menjadi isu hangat dan isu yang mencabar, bukan sahaja untuk barisan MPP pada kali ini , bahkan untuk barisan MPP sebelum ini juga.

Katanya lagi, MPP telah menerima aduan yang sama berkali-kali daripada mahasiswa dimana alat peranti mereka dapat disambungkan ke Wi-Fi, namun tahap jaringan masih pada tahap yang kurang memberangsangkan. 

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Shah Alam, Yusuf Hassan.

“Pada pandangan saya, terdapat tiga langkah yang boleh diketengahkan pihak pengurusan iaitu menambah bilangan router di sekitar kawasan kampus, melakukan penyelenggaraan berkala dan menambahbaik kelajuan Mbps Wi-Fi supaya kekal berada di atas 25 Mbps.

“Selain Exco Aduan Am MPP sebagai medium aduan pelajar, badan seperti Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) dan persatuan-persatuan dalaman yang lain juga boleh menjadi medium untuk pelajar mengenengahkan aduan mereka,” ujarnya.

Beliau juga percaya bahawa pihak pengurusan akan melakukan yang terbaik dari segi pengagihan dana bagi menambahbaik dan menyelesaikan kemelut ini kerana ia adalah sebuah keperluan mahasiswa dan bukannya kehendak. 

Artikel  Malaysia Post  melaporkan bahawa Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, KKD akan mengadakan mesyuarat bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mencari jalan penyelesaian kepada kemelut capaian liputan internet di kawasan kampus.

Jelasnya lagi, KKD juga akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi memastikan tahap perkhidmatan rangkaian di kesemua IPT negara ini berada di tahap yang paling baik.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!