LAPORAN KHAS
VAKSIN COVID-19: USAHA NEGARA DALAM MENCAPAI IMUNITI KELOMPOK


Usaha awal sebelum mencapai imuniti kelompok.
(Sumber: mypositiveparenting)

Imuniti kelompok dalam populasi sesebuah negara itu boleh dicapai sekiranya 70 hingga 80 peratus daripada mereka memiliki imunisasi terhadap suatu virus, iaitu dengan mendapatkan vaksinasi.


Vaksinasi ini membantu dalam mengurangkan penyebaran wabak khususnya virus COVID-19 yang semakin meningkat bagi melindungi masyarakat setempat.


Dr. Habib Bakri sewaktu menerima dos suntikan vaksin yang pertama.
(Sumber: Instagram / @drhbakri)

Menurut Dr. Habib Bakri, 33, seorang doktor perubatan di Klinik Rakan Medik, Sungai Besi, ketika ditemu bual oleh Berita DIMENSi melalui platform Google Meet, terdapat golongan yang tidak dibenarkan untuk mengambil vaksin.


Antaranya ialah golongan yang mempunyai alahan sehingga perlu bergantung kepada bantuan pernafasan kerana tiada kajian menyeluruh mengenai kesan sampingan yang bakal mereka lalui sekiranya menerima vaksin.


Terbaharu, kerajaan telah meluluskan vaksin Comirnaty keluaran syarikat Pfizer-BioNTech bagi individu berumur 12 tahun ke atas.


Justeru itu, mereka yang tidak tergolong dalam kategori ini bertanggungjawab dalam melindungi kelompok tersebut dengan mendapatkan vaksin sekali gus mencapai imuniti kelompok agar mereka bebas daripada jangkitan virus korona atau lebih dikenali sebagai COVID-19.


Virus korona ialah sejenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan. Terdapat beberapa jenis virus korona iaitu Middle East Respiratory Syndrome-related Coronavirus (MERS-CoV) serta Severe Acute Respiratory Syndrome Coronavirus (SARS).


Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak COVID-19 mula dikenal pasti pada pertengahan Disember 2019 di bandaraya Wuhan dan Hubei, China.


Pada 11 Mac 2020, wabak ini telah diiktiraf sebagai pandemik oleh organisasi tersebut. Sehingga kini, terdapat lebih 652,000 kes di Malaysia dan lebih 4,200 kematian telah direkodkan.


Virus ini tersebar daripada seorang individu ke individu yang lain seperti penyakit influenza, iaitu menerusi titik pernafasan yang diperoleh daripada batuk, bersin dan sentuhan.


Pesakit yang mempunyai simptom tersebut boleh menyebabkan transmisi zarah mudah berlaku apabila mulut dan hidung mereka terdedah ketika berada dalam jarak yang dekat.


Batuk kering, demam dan keletihan merupakan antara gejala seseorang itu dijangkiti virus COVID-19. Simptom yang lebih serius adalah seperti sakit dada, sukar bernafas atau nafas pendek serta pergerakan yang terhad.


Individu yang mempunyai risiko tinggi dan lebih mudah dijangkiti wabak COVID-19 ialah kanak-kanak, warga emas dan penghidap penyakit kritikal seperti masalah jantung, kencing manis, kanser dan masalah pernafasan yang kronik.


Kekhuatiran terhadap virus COVID-19 sedikit sebanyak mengajar kita dengan memberi pendedahan tentang vaksin yang perlu diambil oleh segenap masyarakat dalam mencapai imuniti kelompok.


Vaksin terhasil daripada kandungan antigen, yang boleh didapati daripada struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan mahupun dilemahkan.


Antigen dalam vaksin berfungsi untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan atau kata mudahnya, sistem imuniti tubuh. Hal ini adalah bertujuan untuk membentuk imuniti terhadap jangkitan sesuatu penyakit.


Pelbagai jenis vaksin telah diperkenalkan untuk mencegah COVID-19. Di Malaysia, terdapat tiga jenis vaksin yang sedang berada dalam pasaran negara, antaranya Pfizer-BioNTech, Sinovac serta Astrazeneca.


Pfizer-BioNTech atau Comirnaty @ BNT16262 merupakan vaksin COVID-19 pertama yang diluluskan oleh WHO telah tiba di Malaysia dan dirasmikan dalam Pelan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).


Vaksin jenis ini mempunyai kadar keberkesanan tertinggi yang memerlukan kaedah logistik ‘cold chain’ serta perlu disimpan dalam peti sejuk beku dengan suhu negatif 70 darjah Celsius.


Tahap keberkesanan ini merupakan usaha gabungan dua buah syarikat terkemuka di dunia iaitu Pfizer, sebuah firma bertaraf antarabangsa dan juga BioNTech yang mempunyai kepakaran khusus dalam bidang pembangunan vaksin teknologi baru jenis messenger Ribonicleic Acid (mRNA).


Kemudian, Sinovac atau nama lainnya, CoronaVac dihasilkan oleh syarikat Sinovac. Syarikat yang bertempat di Beijing ini terkenal dengan kejayaannya menghasilkan calon vaksin SARS ketika dunia diserang wabak tersebut pada sekitar 2002 hingga 2004.


Kejayaan China dalam penghasilan vaksin itu memberi kelebihan kepada mereka untuk menghasilkan vaksin COVID-19 dengan mudah dan cepat kerana kedua-dua virus ini merupakan virus daripada induk yang sama.


Syarikat Sinovac ini terkenal dengan sifat keterbukaan mereka dalam menjalin kerjasama dengan negara lain. Syarikat tempatan Malaysia iaitu Pharmaniaga juga tidak ketinggalan untuk berkolaborasi dengan Sinovac setelah mendapat kelulusan daripada Lembaga Farmasi Malaysia.


Vaksin jenis inactivated virus ini telah tiba di Malaysia pada Februari 2021 yang lalu. Meskipun mempunyai kadar efikasi yang berbeza, namun sangat memuaskan dan boleh disimpan di dalam peti sejuk konvensional.


Berbeza pula dengan vaksin jenis AstraZeneca atau nama lainnya, Covishield @ AZD 1222. Vaksin ini merupakan hasil kerjasama antara Universiti Oxford bersama syarikat terkenal AstraZeneca yang ditubuhkan pada tahun 1999. Kolaborasi ini telah menghasilkan vaksin melalui teknologi kontemporari, iaitu vaksin Adenovirus Vector.


AstraZeneca merupakan vaksin yang termurah di pasaran ketika ini kerana kedua-dua organisasi telah berikrar untuk tidak mengambil sebarang keuntungan daripada vaksin yang dihasilkan.


Vaksin tersebut masih memerlukan pemantauan atau penyelarasan serta kajian akhir daripada WHO dan Kesatuan Eropah untuk menjamin keberkesanan vaksin berada pada tahap terbaik.


Perdana Menteri Malaysia menerima suntikan vaksin COVID-19 pertama.
(Sumber: Berita Harian)

“Setiap vaksin mempunyai kaedah yang berbeza tetapi tetap menghasilkan kesan yang sama. Sama ada seseorang itu mengambil suntikan Pfizer, Sinovac atau AstraZeneca, ia masih menghasilkan antibodi kepada virus yang sama iaitu virus COVID-19,” ulas Dr. Habib.


Mengikut data yang dikeluarkan oleh WHO, negara yang mencapai tahap imunisasi lebih 50 peratus daripada populasinya telah menunjukkan pengurangan kes COVID-19 yang ketara. Perkara ini jelas membuktikan bahawa kes COVID-19 di Malaysia boleh menurun dengan cara pemvaksinan.


Infografik: Panduan mendaftar vaksin melalui MySejahtera.

Infografik: Panduan mendaftar vaksin melalui MySejahtera.

Namun, apakah usaha terbaik yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan bagi mempercepatkan proses pemvaksinan kepada seluruh rakyat agar imuniti kelompok dapat dicapai?


Walaupun kesedaran tentang COVID-19 dan kepentingan mendapat vaksin telah diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), masih ada golongan masyarakat khususnya warga emas dan orang asli yang ketinggalan dalam mendapatkan maklumat tersebut.


Seterusnya, pihak kerajaan boleh mewujudkan kerjasama dengan beberapa buah badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama turun padang secara lokaliti dalam pemberian maklumat mengenai vaksin.


Melalui inisiatif ini, setiap maklumat dapat disampaikan kepada seluruh rakyat dengan lebih terperinci. Jika mengharapkan sepenuhnya kepada pihak KKM sahaja dalam menyampaikan maklumat, hal ini akan melambatkan proses pemvaksinan di negara kita dek kekurangan kakitangan.


Selain itu, langkah yang paling efektif untuk mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok di negara ini adalah dengan mewajibkan penerimaan vaksin kepada setiap rakyat.


Jika perkara ini dilaksanakan, isu rakyat yang tidak mahu menerima vaksin atas alasan takut dan sebagainya dapat dibendung.


Dalam ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai perkembangan PICK di Facebook, unit vaksinasi bergerak telah dilancarkan untuk memudahkan proses vaksinasi khususnya di kawasan kampung dan pedalaman.


Usaha yang boleh ditambah baik daripada inisiatif ini adalah pihak kerajaan boleh memperbanyakkan unit vaksinasi bergerak untuk ke setiap daerah di setiap negeri agar proses vaksinasi itu dapat dilakukan dengan pantas.


Namun, setiap gerak kerja kerajaan dalam melakukan sesuatu demi kebaikan rakyat, pasti ada cabarannya.


Tidak dapat dinafikan bahawa ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang menolak vaksin, golongan ini dikenali sebagai antivaksin.


Selain antivaksin, terdapat juga pihak yang suka menyebarkan berita palsu yang mengatakan bahawa cara tradisional boleh membantu dalam mencegah atau merawat COVID-19.


Baru-baru ini, tular di media sosial bahawa penggunaan asap wap bunga cengkih dapat mencegah dan merawat COVID-19.


Dalam temu bual bersama Dr. Habib, beliau mendedahkan bahawa kaedah menyedut wap bunga cengkih ini kebiasaannya digunakan pada zaman dahulu, tetapi hanya sekadar melegakan pernafasan sahaja dan bergantung kepada tahap-tahap gejala tersebut. Ternyata, menyedut wap cengkih yang dipercayai dapat merawat COVID-19 adalah karut sama sekali.


Bagi golongan antivaksin pula, Dr. Habib berkata, mereka sudah pun mempunyai pemikiran dan pendirian tetap sebelum melemparkan pandangan atau buah fikiran mereka sendiri tentang vaksin. Apa-apa pun yang telah mereka lakukan, mereka memutuskan untuk tidak mahu menerima vaksin.


“Setakat ini, saya sudah berhadapan dan berurusan beberapa kali dengan golongan antivaksin ini, majoritinya kita tidak boleh ubah pemikiran mereka yang sudah sedia ada. Tetapi, ada sebahagian yang menerima pendapat dan berfikir dengan rasional dan terbuka untuk menerima vaksin,” tambah beliau.


Bagi menyelesaikan masalah yang melibatkan antivaksin ini, selain dari mewajibkan pengambilan vaksin, tindakan yang tegas perlu dikenakan terhadap mereka yang bertindak untuk menolak vaksin.


“Mereka ini (golongan antivaksin) tidak mempunyai fakta atau hasil kajian yang berpihak kepada antivaksin. Kebanyakan mereka hanya melakukan pembacaan di Google dan berpegang terus pada pendapat atau hasil tulisan yang tidak berlandaskan fakta.


“Jadi, mereka akan memutar belit cerita sahaja demi membuktikan hujah mereka,” kata Dr. Habib sebelum menamatkan sesi temu bual bersama pihak Berita DIMENSi.


Tuntasnya, semua pihak sewajarnya memainkan peranan penting dalam mencapai visi dan misi negara buat masa ini, iaitu untuk mencapai imuniti kelompok.


Rakyat Malaysia juga tidak terkecuali untuk sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Like the article? Share it now!