LAPORAN KHAS

SI PENIRU FESYEN VS SI APRESIASI SENI

Sebut sahaja tentang fesyen, perkara yang akan sentiasa dibualkan pastilah mengenai rekaan dan kreativiti penggiat seni reka dalam mencari kepelbagaian namun tidak pernah terlepas juga dalam mendepani isu yang sering menimbulkan kontroversi iaitu ‘golongan pencuri idea’.

Fesyen merupakan lambang kemegahan bagi mereka yang cintakan bidang seni namun telah pun dirobek oleh penggiatnya sendiri akibat kurangnya kesedaran mengenai apresiasi terhadap seni fesyen.

Terutamanya, mengenai isu peniru fesyen atau dikenali sebagai copycat yang tidak pernah berkesudahan. Perbalahan persepsi semestinya berlaku apabila ada yang mengatakan mereka bukannya hendak meniru tetapi hanya untuk mengambil inspirasi.

Kebanyakan jenama-jenama terkemuka yang bertaraf antarabangsa termasuk dalam negara kita sendiri telah banyak bersuara mengenai isu ini dan tidak kira juga ada yang berani mengambil tindakan ekoran terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab dengan meniru fesyen rekaan mereka.

Fesyen tempatan seperti Batik dan Songket yang masih mengekalkan tradisi namun mengadaptasi corak moden

(Sumber: Berita DIMENSi)

Dahulu perkembangan fesyen ini hanya banyak diikuti dalam majalah fesyen terkemuka seperti Vogue, Harper’s Bazaar mahupun Glam. Namun semenjak kehadiran teknologi yang kini hanya di hujung jari sahaja, peminat fesyen boleh melontarkan idea mereka pada bila-bila masa.

Baru-baru ini, laporan The Vocket, sebuah jenama tersohor dunia telah mencuri rekaan pereka fesyen Malaysia, Zang Toi dengan menggayakan busana tersebut di karpet merah Met Gala telah mencuri perhatian umum kerana melibatkan dua nama besar dalam industri fesyen.

Zang Toi merupakan anak kelahiran Kelantan, menempa nama di persada antarabangsa dari 1989.

(Sumber: Gildshire Magazines )

Ekoran itu, timbul satu persoalan sama ada kesenian yang dipamerkan melalui fesyen tidak berkembang berikutan isu ini yang tidak pernah mencapai titik noktahnya?

Peniruan Fesyen

Dalam dunia fesyen, peniruan fesyen secara amnya merujuk kepada unsur peniruan atau plagiat dalam rekaan berlaku apabila berlakunya pertindihan idea dan inspirasi oleh pereka fesyen.

Pensyarah kursus reka bentuk fesyen, Zulina Kamarulzaman, 41, berkongsi mengenai peniruan rekaan daripada pereka fesyen lain adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali dalam industri fesyen.

“Satu perkara yang perlu kita semua fahami, fesyen adalah mengenai cetusan idea melalui inspirasi, gaya dan trend terkini, namun kita juga boleh menggunakan apa yang ada dari masa lalu dan menggabungkannya dalam reka bentuk baharu.

“Namun, berbeza dengan usahawan fesyen yang kebanyakannya tidak mempunyai ilmu asas dalam rekaan fesyen yang lebih cenderung kepada mendapatkan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan prinsip rekaan yang penting,” kongsi Zulina dalam satu temu bual bersama Berita Dimensi melalui emel.

Zulina ketika berada di Istanbul untuk menghadiri Lifestyle Turkey 2020.

(Sumber: Zulina Kamarulzaman)

Pada setiap reka bentuk yang dihasilkan, penyelidikan secara menyeluruh akan dilakukan oleh pereka bagi mendapatkan idea untuk setiap rekaan supaya ia kekal relevan dan mengikuti trend terkini.

“Saya mendapati bahawa beberapa pereka fesyen tempatan mempunyai idea yang unik dan kreatif untuk reka bentuk fesyen yang boleh dikenal pasti dengan mudah.

“Contohnya, Cassey Gan, kekuatannya adalah pada percetakan fabrik yang menunjukkan kombinasi warna dan rekaan cetakan yang cantik. Begitu juga dengan pereka lain seperti Salikin Sidek dan Radzwan Radziwill, rekaan mereka banyak dipengaruhi dengan unsur pakaian tradisional Melayu.

“Kita juga memiliki Dato’ Sri Bernard Chandran sebagai Raja Fesyen Malaysia yang sentiasa mengagumkan kita dengan koleksi rekaannya yang sentiasa mendapat perhatian keluarga Diraja Brunei,” katanya.

Zulina juga menekankan walaupun inspirasi diambil dari rekaan yang berlainan, peniruan reka bentuk adalah tidak wajar dan setiap pereka perlu mempunyai identiti mereka yang tersendiri supaya keaslian rekaan mereka dapat dipelihara.

“Kajian rekaan secara berterusan dilakukan, ia menuntut perahan idea dan penggunaan masa yang banyak demi mendapatkan rekaan yang benar-benar asli dan tepat dengan cita rasa pereka fesyen.

“Daripada ilham, kebiasaannya, pereka fesyen akan mula membuat lakaran untuk mendapatkan rekaan akhir untuk koleksi tersebut serta diikuti dengan pemilihan fabrik, perhiasan dan aksesori yang sesuai untuk rekaan,” kongsi Zulina yang mempunyai pengalaman luas sebagai pereka kostum di dalam bidang filem dan juga teater.

Proses rekaan sesebuah pakaian yang memerlukan penelitian dan perancangan yang rapi

(Sumber: Berita Dimensi)

Apresiasi terhadap fesyen dan seni dalam selok-belok perniagaan perlulah dijaga oleh semua pereka fesyen agar isu peniruan fesyen ini tidak terus terulang sekaligus dapat mengekalkan keaslian reka bentuk tersendiri.

“Jika isu peniruan ini tidak ditangani, maka ianya akan menjadi seperti barah dalam industri fesyen,” tambah Zulina yang kini sedang menjalankan kajian mengenai Isu Fesyen dan Keusahawan di peringkat ijazah kedoktoran di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau turut berkongsi bahawa pereka fesyen boleh mendaftarkan hak intelek reka bentuk mereka supaya mendapat hak penuh terhadap rekaan yang dihasilkan, namun kos tinggi yang diperlukan menyebabkan ramai di antara mereka enggan berbuat demikian.

Sementara itu, pereka fesyen dan juga pemilik Butik Perancang Perkahwinan di Pulau Pinang, Tri Siswanto Maulana, 28, berkongsi bahawa dia pernah mengalami situasi reka bentuk baju yang dihasilkannya telah diciplak.

“Terdapat beberapa hasil rekaan saya yang menjadi ikutan rapat oleh usahawan perancang perkahwinan yang lain, tetapi jika ciptaan saya telah ditiru, ia menunjukkan bahawa reka bentuk saya sangat disukai dan diterima oleh orang lain.

“Tidak dinafikan lagi sukar untuk mencari idea yang baharu, segar, dan yang penting mengikuti trend terkini. Namun pereka fesyen selalunya sudah tahu apa yang mereka hendak hasilkan dengan melakukan banyak rujukan,” ujarnya semasa di temubual bersama Berita Dimensi melalui WhatsApp.

Tri Siswanto pernah memperagakan rekaanya di pelbagai Pertandingan Ratu Cantik di serata dunia.

(Sumber: Tri Siswanto)


“Saya pasti berasa sedih apabila seseorang mencuri idea reka bentuk saya kerana sesetengah daripada mereka hanya mengambil jalan mudah tanpa berusaha menjana idea dalam rekaan fesyen.

“Walaubagaimanapun, fesyen adalah segala-galanya buat saya, faktor negatif sebegini tidak akan melemahkan semangat saya dalam usaha untuk menghasilkan reka bentuk fesyen yang berkualiti,” kongsi Tri Siswanto yang mula berjinak-jinak dalam industri fesyen selepas hasil rekaanya tular di laman media sosial.

Dia juga menegaskan bahawa kewujudan Akta Hak Cipta Perlindungan dalam industri fesyen perlu dikuatkuasakan kerana isu pelanggaran hak cipta dalam industri reka bentuk fesyen ini sudah berlaku sejak beberapa dekad yang lalu.

“Mencari idea dan inspirasi bukanlah sesuatu perkara yang mudah kerana ianya melibatkan hasil keringat pereka fesyen itu sendiri, jadi perlindungan hak cipta untuk pereka fesyen amatlah penting agar dapat mengekalkan nilai eksklusif reka bentuk tersebut,” tambah Tri Siswanto, bekas graduan Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah menempa nama dalam pentas fesyen antarabangsa.

Nabil Khairul, 23, peminat fesyen yang juga mengikuti perkembangan semasa dunia fesyen melahirkan rasa sedikit kecewa apabila sesetengah jenama lokal yang kini sedang hangat menjadi perbualan di Twitter dikatakan cuba meniru hasil reka bentuk dan karya jenama lain.

Nabil yang telah mula mengikuti trend semasa fesyen dengan melanggan majalah-majalah fesyen semenjak berumur 11 tahun lagi, bersetuju terdapat jenama yang cuba untuk mengambil inspirasi daripada jenama lain.

“Namun, saya merasakan ada juga pereka fesyen yang cuba untuk menghasilkan reka bentuk yang baharu untuk menonjolkan keaslian rekaannya tetapi bagi saya, jika ada yang meniru idea atau hasil karya jenama lain bulat-bulat, itu dikira murah.

“Ini kerana ada di antara mereka yang memasuki industri fesyen bukan kerana minat, tetapi hanya mengikuti trend semasa untuk mengaut keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kepayahan sesebuah jenama dalam menghasilkan sesebuah karya seni,” katanya semasa di temu ramah oleh Berita Dimensi secara bersemuka.

Daripada kaca mata seorang peminat fesyen, Nabil berpendapat mereka lebih menggemari jenama yang mengekalkan asas dan identiti jenama mereka tanpa perlu untuk meniru jenama yang lain.

“Terdapat jurang yang kecil di antara meniru atau mengambil inspirasi daripada fesyen tetapi mereka yang mempunyai kredibiliti dalam bidang ini bakal memberi penghargaan kepada pereka fesyen yang memberikan inspirasi kepada mereka,” tegas Nabil dalam ulasannya.

Nilai seni yang dipamerkan dalam setiap rekaan fesyen pastinya mempunyai nilai estetika yang tersendiri dan keaslian bagi setiap idea yang di curah perlulah dititik beratkan oleh pereka fesyen itu sendiri.

Isu peniruan idea di antara pereka perlu dielakkan kerana mereka berada dalam bidang industri yang sama dan menjadi satu keperluan bagi meraikan serta menghormati idea kreatif pereka lain dalam dunia seni tanpa menjatuhkan kreativiti orang lain.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!