LAPORAN KHAS

SENI KRAFTANGAN WARISAN SEPANJANG ZAMAN

Industri seni kraftangan semakin mendapat tempat di hati masyarakat setempat di Malaysia dan tidak lupa di luar negara terutamanya bagi yang meminati hasil seni halus ini.


Buktinya, ada yang sanggup berbelanja lebih untuk membeli barangan kraftangan kerana jatuh cinta akan nilai kreativiti dalam sesuatu produk yang dihasilkan.


Penghasilan produk kraftangan ini memiliki keunikannya yang tersendiri dan juga nilai estetika yang berkaitan dengan warisan dan tradisi budaya kaum di Malaysia.


Antara negeri yang terkenal dengan penghasilan kraftangan ini adalah di Perak dengan penghasilan labu sayong, anyaman rotan di Melaka, seni kraf wau dan patung wayang kulit di Kelantan, serta Sabah dan Sarawak yang terkenal dengan hasil tenunan pua kumbu.

Antara kraftangan yang dihasilkan di Malaysia.

(Sumber: Bandar Aktiviti Seni Kuala Lumpur)

Barangan kraftangan merupakan suatu produk kegunaan atau perhiasan yang dihasilkan menggunakan tangan atau peralatan ringan secara perseorangan atau dalam kumpulan kecil.

Penghasilan kraftangan umumnya diinspirasikan dari sudut kebudayaan dan tradisi secara turun temurun atau dipengaruhi oleh sejarah di kawasan tersebut.

“Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”, begitulah perumpamaan yang sesuai digambarkan bagi kraftangan di seluruh pelusuk Malaysia yang semakin mengikuti citarasa semasa sambil mengekalkan sisi keasliannya melalui proses penghasilan yang begitu kreatif dan teliti.

Ini bagi mengubah persepsi sesetengah masyarakat bahawa industri seni kraftangan negara masih berada di takuk lama sedangkan industri ini sering mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa yang bukan sahaja menyumbang pelbagai jenis anugerah namun turut meningkatkan tahap ekonomi import dan eksport negara.


Kompleks Kraftangan Melaka

Paparan pintu utama Kompleks Kraf Melaka

(Sumber: Facebook Kompleks Kraf Melaka)

Kompleks Melaka Kraf adalah pusat kraf tempatan yang terletak di Ayer Keroh, Melaka. Kompleks ini telah beroperasi sejak Oktober 2013. Lokasinya terletak sekitar dua kilometer dari Jalan Tol Ayer Keroh dan berdekatan dengan Hotel Seri Malaysia, Taman Malaysia dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Kompleks Melaka Kraf turut menampung Galeri Kraf, yang mempamerkan aneka produk kraf lokal dari seluruh Malaysia. Jenis kraftangan yang terdapat di sini ialah kraf tradisional seperti tenunan, anyaman rotan, kasut manik nyonya, barangan seramik, batik, songket, labu sayong, perhiasaan diri dan rantai kunci.

Pameran Produk Kraf Baru dan Pameran Kraf Warisan Melaka kedua-duanya diadakan di sini setiap tahun. Pengunjung juga dapat membeli ole-ole atau cenderamata di Pusat Jualan Kraf yang menawarkan kraf unik dan tulen serta produk ikonik dari Melaka.

Pengunjung dapat mengikuti kegiatan interaktif kraf sambil belajar dan merasai sendiri proses pembuatan produk kraf. Khidmat Iring Berkumpulan disediakan secara percuma oleh pihak kompleks kepada semua pengunjung.

Bukan sahaja menawarkan jualan kraf, namun pengunjung turut berpeluang menimba pengalaman pendidikan dan pendedahan terhadap demonstrasi kraf kepada pengunjung. Kompleks Kraf Melaka adalah tempat yang berbaloi untuk dikunjungi seiring dengan tujuan utama Melaka sebagai pusat tarikan utama pelancongan di Melaka.


Kemahiran dan Latihan

Institut Kraf Negara (IKN) adalah salah satu inisiatif untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir teknologi kini, usahawan kraf dan sebagai pusat rujukan serta pemuliharaan warisan negara.

Berperanan sebagai institusi pendidikan yang bakal menggilap bakat dan memberi pengiktirafan kepada pelajar-pelajar yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam seni kraftangan.

Menurut Puan Harnanie, penubuhan IKN juga memberikan peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berminat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma dalam jurusan kemahiran kraf selama dua tahun.

“Selepas sahaja pelajar menamatkan pengajian, mereka akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), di mana sijil ini amat berguna untuk memohon pekerjaan dalam sektor kerajaan mahupun swasta,” katanya dalam sesi temubual bersama Berita Dimensi di Pusat Kraftangan Melaka.

SKM menawarkan pelbagai kelebihan dan peluang pekerjaan yang boleh diceburi kerana sijil berkenaan diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Antara pekerjaan yang boleh diceburi adalah sebagai pembantu bahagian operasi, pegawai latihan vokasional, bekerja bebas dan juga boleh membuka perniagaan sendiri atau lebih dikenali sebagai ‘Usahawan Kraf’.

Pelajar lepasan IKN yang kini telah menjadi salah seorang usahawan kraf.

(Sumber: Berita DIMENSi)

Kraf tangan semestinya bukan suatu yang asing bagi rakyat Malaysia namun tidak semua mengenali bakat-bakat yang ada di dalam bidang seni warisan ini.

Setiap negeri lain hasil seninya, dengan tindakan bijak negara kita yang telah menubuhkan beberapa Kompleks Kraf di bandar seperti Melaka, Langkawi, Johor Bahru dan Kuala Lumpur.


Seni Kraftangan Rotan

Mutiara negara yang mengusahakan kraf tangan di Melaka ialah Ishak Kassim, 63, yang telah mengabdikan dirinya dalam bidang anyaman rotan selama hampir 40 tahun.

Di tengah bandar Melaka yang bersejarah, terdapat Bukit Piatu, dan di situ terletaknya bengkel yang telah menjadi tempat hakiki bagi Ishak atau lebih mesra dikenali sebagai Encik Nan yang mengusahakan ribuan produk berasaskan rotan.

Beliau mula menceburi bidang anyaman hanya dengan membantu adiknya dalam menyiapkan perabot anyaman, dan apabila beliau menyertai kursus jangka pendek yang dianjurkan oleh IKN selama 2 minggu, jalan buatnya semakin jelas untuk mengajar.

“Dalam kursus itu, peserta ada 20 orang, jadi pihak kami ni wakil dua orang, dan dalam kursus itu hanya ada seorang lelaki sahaja iaitu saya, yang lain semua perempuan. Jadi ia satu cabaran dan tamparan bagi diri saya,” kata Ishak dalam temubual bersama Berita Dimensi di bengkelnya.

Ishak sewaktu di temubual mengenai pengalamannya dalam bidang rotan.

(Sumber: Berita DIMENSi)

Meskipun, menjadi kelaziman bagi pihak wanita untuk menghalusi bidang anyaman rotan, namun bagi Encik Nan perkara tersebut menjadi pembakar semangat buat dirinya untuk lebih memajukan diri sehingga diangkat menjadi ‘Adi Guru’ bagi Kompleks Kraf Melaka.


Seni Kraftangan Manik

Seorang lagi permata pengusaha Kraf yang tersorok, Jurinawati Kassim, 35, atau lebih dikenali sebagai Ina Borneo, pada mulanya hanya ingin mengembangkan minatnya berniaga produk berasaskan manik secara kecil-kecilan tetapi kini telah menjadi pendapatan tambahan buat keluarganya.

Dengan minatnya yang mendalam, usahanya telah membuahkan hasil sehingga beliau telah diberi kepercayaan untuk mengadakan demonstrasi pembuatan produk bagi pihak kraftangan Malaysia.

Pelbagai jenis manik dan batu yang ditunjukkan oleh Jurinawati.

(Sumber: Berita DIMENSi)


Daripada manik kini beransur kepada mutiara sabah, pelbagai produk telah dihasilkannya daripada sekecil-kecil kerongsang sehingga sebesar-besar rantai.

“Produk yang menjadi tarikan utama adalah mutiara dan batu jed, kebanyakannya kaum Cina dan India akan cari mereka. Kerana seperti batu jed kan dia ada serinya tersendiri,” terang Jurinawati dalam temubual bersama Berita Dimensi.

Menurutnya lagi, kualiti dan modal bahan mentah juga menjadi penentu kepada harga pasaran yang diletakkan pada sesuatu perhiasan itu.

Hampir 10 tahun dalam bidang ini telah menjadikan beliau orang yang tinggi ilmu mengenai bahan mentah yang digunakannya, seperti batu jed yang dikatakan tidak akan terhakis dari segi warnanya dan berubah mengikut aura badan pemakainya.


Seni Kraftangan Seramik

Berita Dimensi turut menjejaki pengusaha kraftangan seramik iaitu Leong Chee Hsiung, 59, yang telah mengusahakan ‘The Clay House’ bersama pasangannya sejak dari tahun 1995 lagi.

Leong yang memperoleh bekalan tanah liat daripada Kuala Kangsar, Perak ini menyatakan bahawa masa yang diambil paling cepat bagi seseorang menyiapkan seramik bagi yang baru belajar adalah selama satu jam.

Beliau berkata pelbagai teknik boleh diaplikasikan untuk membentuk produk seramik ini seperti coiling dan slabing yang bakal menghasilkan bentuk dan jenis produk seramik yang berbeza.

Leong sedang menunjukkan salah satu teknik yang digunakan bagi penghasilan produk seramik.

(Sumber: Berita DIMENSi)

“Harga kaca dan seramik sememangnya berbeza, kerana seramik mempunyai harga yang lebih tinggi kerana ia adalah buatan tangan.

“Istimewanya seramik adalah bentuk, warna serta corak, kerana itu lebih ramai yang tertarik untuk menghasilkan seramik berbanding kaca terutamanya golongan muda,” tambahnya lagi dalam temubual bersama Berita Dimensi di kedai perusahaannya.

Menurut beliau, setelah hampir 30 tahun menceburi bidang seramik, membuat Leong berani menyatakan bahawa teknik coiling lebih menarik golongan muda ataupun murid sekolah.

Golongan yang berumur gemar menggunakan mesin untuk menghasilkan produk seramik kerana ianya lebih mudah bagi mereka, katanya sewaktu ditemui oleh Berita Dimensi di kedai miliknya.


Apresiasi Seni Kraftangan

Keindahan seni kraftangan tradisional hanya dapat dicapai dengan kemahiran para kraf yang telah mempelajari seni dari nenek moyang mereka. Kemahiran, sumbangan, dan inspirasi mereka semua berperanan dalam mengangkat seni kraftangan warisan.

Kebanyakkan anak muda dari luar bandar tidak berminat untuk meneruskan legasi perniagaan kraftangan mahupun dalam menukang hasil kraf. Ada juga kalangan remaja yang berminat tetapi tidak tahu dimana untuk mereka pelajari ilmu kraf tersebut.

Oleh itu, pelaksanaan IKN lantas membantu dan menyediakan platform untuk memupuk asas kemahiran serta menggilap bakat yang ada dalam kalangan remaja, bukan sahaja mendapat sijil yang diiktiraf malah bakal menjadi penyambung legasi warisan seni kraftangan tanah air.

Pusat Kraf juga menyediakan inisiatif lain dengan menganjurkan kempen-kempen bagi menarik minat generasi muda pada masa kini.

Contohnya, Hari Kraf Kebangsaan (HKK) yang diadakan setiap tahun dimana hampir semua usahawan kraf dari setiap pelusuk negeri hadir untuk memasar dan mempamerkan hasil karya kraf mereka dengan pelbagai corak rekaan baharu.

Penganjuran HKK ini secara tidak langsung dapat membantu para usahawan kraf untuk mereka menjana pendapatan sendiri sekaligus menarik minat golongan muda untuk hadir serta mengenali seni kraftangan Malaysia.

Perkara ini akan menjadi salah satu inisiatif untuk negara mengekalkan industri kraf agar dikenali dalam kalangan generasi muda pada masa kini dan tidak hanyut ditelan arus pemodenan.

Laporan Khas:

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!