LAPORAN KHAS

PROGRAM KEEPERKU TARIK MINAT SUKARELAWAN MUDA

KUALA LUMPUR - Program sukarelawan anjuran Zoo Negara di bawah Jabatan Pendidikan Zoo Negara yang dikenali sebagai Program KeeperKu telah berjaya menarik minat golongan muda untuk bersama-sama menyertai dan menjayakan program tersebut.

Pelekat yang akan di berikan kepada para sukarelawan program KeeperKu sepanjang menjalankan tugas di Zoo Negara.

(Sumber: Berita DIMENSi/Haifaa Halim)

Menariknya, perkataan KeeperKu itu juga diambil untuk mendekatkan golongan sukarelawan ini kepada penjaga-penjaga haiwan di Zoo Negara.

Program ini juga dibuka khususnya kepada para pelajar samada dari peringkat sekolah menengah sehingga universiti.

Ketua Pegawai Jabatan Pendidikan Zoo Negara, Junaidi Omar, 43, menyatakan program ini mula diperkenalkan untuk menggalakkan pelajar merasai pengalaman sebagai penjaga haiwan.

Program ini turut menawarkan sukarelawan untuk mendalami ilmu tentang kesukaran dan cabaran yang dihadapi oleh penjaga haiwan sepanjang menjalankan tugas menjaga haiwan-haiwan liar.

“Dalam program ini, kita mahu masyarakat luar terutama golongan muda untuk sama-sama belajar dan menyayangi haiwan.

“Apabila kita faham tentang bagaimana susah dan mencabarnya menjaga haiwan, secara tidak langsung timbul rasa kasih sayang terhadap haiwan itu,” kata Junaidi ketika ditemu bual oleh Berita DIMENSi secara bersemuka.

Berita DIMENSi sewaktu menemu bual Encik Junaidi di pejabat Zoology Education yang terletak di kawasan Zoo Negara.

(Sumber: Berita DIMENSi/Nurul Emalin)

Program sukarelawan ini juga berbeza dengan yang lain kerana inisiatif baharu ini memerlukan sukarelawan untuk membayar yuran penyertaan.

Menurut Junaidi, konsep ini sama seperti pembayaran tiket masuk ke Zoo Negara yang menjadi sumber pendapatan yang di panggil gate collection bagi menampung kos pengoperasian di zoo.

“Bayaran yuran penyertaan sebanyak RM35 bagi program ini juga akan menjadi sumber pendapatan Zoo Negara.

“Hal ini kerana ia diambil kira sebagai salah satu sumbangan daripada para peserta bagi menampung kos kebajikan haiwan di sini,” jelas Junaidi yang telah berkhidmat selama 18 tahun di Zoo Negara itu.

Tambah beliau lagi, yuran penyertaan ini tidaklah semahal yang disangka malah ia lebih berbaloi berbanding harga tiket masuk ke Zoo Negara itu sendiri.

Selepas menyelesaikan segala tugasan yang diberi, para sukarelawan juga ditawarkan akses percuma untuk melawat di sekitar Zoo Negara seperti Giant Panda Conservation Centre, Rimba Reptilia dan Zoo Negara Show Amphitheatre.

Zoo Negara Show Amphitheatre menampilkan gelagat singa laut yang sedang membuat isyarat hormat kepada para pengunjung.

Sumber: Berita DIMENSi/(Qirana Nabilla)

Kegemilangan era teknologi tidak dapat disangkal lagi kemajuannya terutama dari sektor pemasaran.

Zoo Negara juga tidak melepaskan peluang menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan program sukarelawan ini.

Meskipun masih menggunakan laman sesawang rasmi Zoo Negara sebagai medium utama, namun Junaidi menjelaskan bahawa pihak mereka sedang memperbaiki sistem pendaftaran dan promosi mereka ke arah paperless bagi memudahkan semua pihak yang terlibat.

“Selain itu, secara tidak langsung, para sukarelawan yang terlibat juga turut membantu menguar-uarkan atau mempromosikan program tersebut kepada orang ramai termasuk rakan-rakan mereka yang berada di kolej atau di universiti lain,” tambahnya lagi.

Namun, terdapat segelintir masyarakat yang kurang mendapat pendedahan tentang program sukarelawan ini terutamanya golongan yang lebih berumur.

Mariana Ishak, 57, salah seorang pengunjung Zoo Negara berkongsi, walaupun kali pertama mendengar kewujudan program sukarelawan tersebut program ini perlu diteruskan kerana ia merupakan satu kebajikan dan satu peluang yang baik buat anak-anak muda.

Meskipun Program KeeperKu ini kurang dikenali, Izzat Ikhwan, 24, turut bersetuju untuk menyertai program ini jika berkesempatan kerana minatnya terhadap haiwan yang sangat mendalam.

“Saya pernah menyertai program sukarelawan sebelum ini namun ianya tidak melibatkan haiwan.

“Jadi, jika diberi peluang saya mahu menyertai apa jua program dengan Zoo Negara ini kerana saya memang minat dengan haiwan,” kata Izzat semasa berkunjung ke Zoo Negara baru-baru ini.


Kelebihan Menyertai Program Sukarelawan KeeperKu

Program KeeperKu ini turut membuka peluang kepada para sukarelawan untuk mendalami proses di belakang tabir di mana mereka akan ke back house area untuk melihat dan mengalami sendiri proses mengurus dan menjaga haiwan-haiwan tersebut.

“Ini secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada mereka untuk membantu zookeepers sebelum waktu operasi dan dapat memberika pengalaman yang baru buat mereka.

“Para sukarelawan juga dapat bersama-sama beramah mesra dengan zookeeper untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkongsian maklumat dan pengalaman daripada mereka,” kata Junaidi.

Para sukarelawan yang bertungkus lumus membersihkan kawasan kolam selepas persembahan untuk mengekalkan kebersihan persekitaran zoo.

(Sumber: Berita DIMENSi/Hamizah Gunawan)

Nabilah Farah, 25, salah seorang sukarelawan yang bertugas di Zoo Negara turut berkongsi perasaan beliau menyertai program ini dapat mendekatkan dirinya dengan alam semulajadi dan berinteraksi bersama haiwan.

“Bagi saya, yang membezakan program ini dengan program sukarelawan yang lain adalah berkaitan back to nature, ia juga boleh menghilangkan tekanan lagi-lagi selepas penat belajar,” katanya ketika ditemu bual oleh Berita DIMENSi.

Bagi Zuraini Che Muhammad, 29, penyertaannya dalam Program KeeperKu buat kali kedua ini memberi pengalaman yang bermakna sekali lagi kerana dapat menimba ilmu tentang menjaga kebajikan haiwan-haiwan di zoo.

“Keistimewaan program ni berbanding dengan program sukarelawan yang lain adalah kita boleh hands on. Contohnya, saya ditugaskan untuk menjaga di bahagian persembahan.

“Jadi selepas briefing terus pergi ke back area untuk bersihkan kandang singa laut sebelum show bermula jadi dari situ kita boleh tahu keluasannya dan apa yang perlu dibuat,” kata Zuraini dalam temubual bersama Berita DIMENSi.


Program Keeperku Sinar Baharu Kepada Zoo Negara

Ketika di awal peningkatan kes COVID-19 yang saban hari semakin membimbangkan telah memaksa pihak Zoo Negara untuk menghentikan operasinya buat sementara waktu sehingga mengalami masalah kekurangan dana.

Notis penutupan Zoo Negara menyebabkan para pengunjung terpaksa menundakan kunjungan mereka.

(Sumber: Facebook /Zoo Negara Malaysia)

Menurut artikel Sinar Harian, penutupan Zoo Negara ini sangat memberikan kesan yang besar oleh kerana pendapatan mereka yang bergantung sepenuhnya kepada penjualan tiket masuk, tajaan syarikat, tempat sewaan acara serta sumbangan orang awam.

Sepanjang penutupan Zoo Negara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka terpaksa bergantung kepada tabung kecemasan bagi membiayai segala kos operasi seperti pembiayaan makanan haiwan, pembayaran gaji pekerja serta kos penyelenggaraan.

Setelah pelbagai kesukaran dan cabaran yang dihadapi oleh Zoo Negara, akhirnya pembukaan Zoo Negara kini menjadi satu permulaan baru sekaligus memberi peluang kepada para pengunjung untuk melepaskan rindu kepada haiwan yang berada di zoo.

Pelbagai inisiatif telah diambil untuk menampung kos haiwan termasuk melaksanakan salah satu program yang dikenali sebagai program pengambilan haiwan angkat yang turut dipromosikan di laman media sosial Facebook dan Instagram rasmi Zoo Negara.

Poster pengambilan haiwan angkat yang dianjurkan oleh Zoo Negara yang masih lagi dibuka untuk penyertaan di laman sesawang.

(Sumber: locco.com.my)

Bagi membantu kestabilan ekonomi Zoo Negara, terdapat juga program menarik lain yang boleh disertai oleh masyarakat selain Program Sukarelawan KeeperKu seperti program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).


Program Keeperku Perlu Diperluas

Farah juga berpendapat jika Program KeeperKu boleh diperluaskan lagi penyertaannya untuk orang awam, ia mungkin dapat menggalakkan mereka untuk menyertai program sukarelawan ini.

Ini sekaligus memberi kesedaran tentang pentingnya untuk manusia dan haiwan berinteraksi antara satu sama lain.

Pihak Zoo Negara juga berharap agar lebih ramai sukarelawan akan menyertai Program KeeperKu ini kerana pastinya mereka pulang dengan pengetahuan dan pengalaman yang tidak mampu dijual beli.

Pada masa yang sama, usaha untuk memperbaiki program sukarelawan ini sentiasa dalam perancangan pihak Zoo Negara agar ianya kekal relevan pada generasi akan datang. Bak kata pepatah Melayu, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!