LAPORAN KHAS

PRODUK TIMBANG KILO: MENCANTIKKAN ATAU MEMUDARATKAN?

Produk timbang kilo antara lokal produk yang menjadi kegilaan remaja kini.

(Sumber: elle)

Setiap orang pasti ada keinginan untuk kelihatan cantik dan menawan di khalayak ramai, sesetengah daripada mereka juga ada yang mengambil keputusan untuk mengamalkan produk ‘timbang kilo’ yang murah dan menjanjikan hasil yang pantas, namun persoalannya, adakah ia mencantikkan atau memudaratkan kepada pengguna?

Produk kosmetik ‘timbang kilo’, perkara yang bukanlah asing dalam kalangan rakyat Malaysia, namun masih ramai tidak mengendahkan nasihat daripada pakar kerana terlalu taksub untuk kelihatan cantik dan menawan dalam jangka masa yang singkat.

Doktor Pakar Kulit, Estetik, dan Anti-Penuaan Radiant Klinik, Dr. Syairah Nadia Ahmad berkata, masih ramai yang degil dan tetap menggunakannya walaupun sedar akan risiko dan kesannya jika mereka terus menggunakan produk timbang kilo ini.

Bahan Terlarang Yang Digunakan Dan Kesan-Kesannya.

Penggunaan bahan terlarang dalam produk kosmetik dan kecantikan ini mampu merosakkan keadaan kulit serta memberi impak kepada kesihatan pengguna dalam jangka masa lama.

Antara bahan terlarang yang biasa digunakan bagi tujuan memutihkan kulit adalah merkuri kerana ia mudah untuk didapati di pasaran.

Menurut Doktor Syairah, merkuri adalah bahan mentah yang murah, kosnya rendah, dan memberikan hasil yang cepat pada kulit serta menjanjikan kesan seawal tiga hari.


Beliau turut menambah, terdapat dua jenis merkuri, iaitu merkuri tidak organik (inorganic mercury) dan merkuri organik (organic mercury). Walaupun merkuri merupakan bahan tidak sah, namun terdapat kelebihannya jika digunakan dalam peratusan yang rendah.


Inorganic mercury boleh dijumpai dalam krim atau sabun manakala organic mercury digunakan sebagai bahan pengawet dalam peratusan yang rendah pada produk pencuci bahan mekap dan tidak bahaya untuk digunakan.


Organic mercury ini bahaya kerana boleh meresap ke dalam kulit seterusnya ke dalam saluran darah, lalu merosakkan ginjal dan seterusnya mampu merebak ke seluruh badan,” katanya.


Selain daripada itu, produk kosmetik dan kecantikan yang tidak bertauliah ini turut menggunakan bahan terlarang seperti tretinoin, hydroquinone dan betamethasone di mana ketiga-tiga ini merupakan ubat ataupun jadual beracun yang memerlukan preskripsi daripada doktor.


“Bahan-bahan ini merupakan ubat dan tidak sepatutnya digunakan dalam produk kosmetik dan hanya boleh digunakan atas nasihat doktor.


Hydroquinone ini pula jika digunakan dalam jangka masa yang lama, pengguna akan dapat komplikasi kulit yang dipanggil sebagai ochronosis di mana kulit muka menjadi hitam hitam kelabu,” ujar beliau.

Masalah kulit dalam saintifiknya ialah ochronosis.

(Sumber: nunii-laboratoire)

Tambahnya lagi, pembeli yang mempunyai obsesi untuk memiliki kulit yang putih telah dikaburkan dengan testimoni daripada orang ramai tentang produk kecantikan tersebut dibandingkan dengan bahan terlarang yang digunakan secara berlebihan oleh pengasas.

Siti Zulaikha Abdul Rahman, 22, salah seorang pengguna produk timbang kilo yang telah menggunakan produk itu selama dua tahun sebelum berhenti pada tahun 2018. Walaupun produk tersebut agak mahal namun disebabkan terpengaruh dengan testimoni yang menunjukkan kesan yang cepat sangat mempengaruhi beliau.

“Sebaik sahaja saya berhenti menggunakan produk tersebut, kulit menjadi sangat sensitif terhadap matahari dan mulai dipenuhi jerawat terutama di bahagian muka,” kata beliau ketika ditemu bual menerusi aplikasi WhatsApp.

Selepas berhenti menggunakan produk merkuri, wajah Zulaikha mulai dipenuhi dengan jerawat besar sebelum sembuh sepenuhnya.

(Sumber: Berita DIMENSi / Nur Alwani)

Kebanyakan produk kecantikan yang bertujuan untuk memutihkan kulit telah dicampurkan dengan bahan merkuri dan steroid untuk mengurangkan tindak balas alergi yang akan dialami oleh pengguna ketika mereka menggunakan produk tersebut.


“Disebabkan oleh itu, penggunaan produk timbang kilo dalam jangka masa yang sangat lama, mampu mengakibatkan kulit muka menipis sehingga kulit muka menjadi memerah ketika berada di bawah pancaran matahari walaupun sekejap,” kata Syairah.


Cara Mengenal Pasti Bahan Timbang Kilo

Sebelum menggunakan sesuatu produk, seseorang itu perlulah ada pengetahuan untuk mengenal pasti sama ada produk yang digunakan mereka merupakan produk bahan timbang kilo ataupun sebaliknya.

Doktor Syairah berkata, produk timbang kilo kebanyakannya tidak mendedahkan senarai bahan atau label pada produk tersebut dan pengguna boleh merasakan melalui tekstur dan bau itu sendiri.

“Tekstur krim produk timbang kilo ini jenis melekit dan mempunyai bau yang sangat wangi kerana ingin menutup bau metalik pada produk.

“Produk ini juga dikeluarkan dalam bentuk warna-warni seperti warna kuning kerana ingin menghilangkan warna keperakan merkuri tersebut,” katanya.

Contoh krim merkuri yang dikeluarkan dengan pelbagai warna.

(Sumber: wanista)

Produk timbang kilo ini juga tidak dapat dijumpai di mana-mana farmasi mahupun Watsons dan hanya akan dijumpai di kedai jamu kerana produk ini tidak dapat menembusi pasaran farmasi yang amat menitikberatkan kualiti produk.

Menurut beliau lagi, penjual yang mengeluarkan produk timbang kilo mendapatkan bahan mentah mereka daripada pembekal dari negara-negara luar seperti Indonesia, Thailand dan India, serta mempunyai bahan-bahan terlarang yang menyalahi undang-undang.

“Penjual akan membeli secara pukal, dan terdapat plastik besar dengan pelbagai krim di dalamnya. Penjual membungkusnya semula dengan label untuk meletakkan jenama mereka sendiri, serta pembungkusan yang kelihatan murah dan tidak eksklusif.

“Krim yang dibeli dari luar negara biasanya dibungkus semula secara 3 dalam 1, seperti krim malam, krim siang dan toner. Penjual kerap menjualnya sebagai set lengkap, manakala produk halal dengan kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) biasanya tidak menjual produk 3 dalam 1,” katanya.

Penjual juga tidak menjalankan penyelidikan yang mencukupi, dan tidak menyedari kesannya pada kulit kerana mereka hanya ingin mengaut keuntungan yang besar sahaja.

Kesedaran Mengenai Produk Timbang Kilo Kepada Pengguna

Namun, kesedaran mengenai produk timbang kilo kepada pengguna produk penjagaan muka juga kini semakin mendapat perhatian orang ramai terutamanya kepada pengguna produk penjagaan muka.

Beliau berkata, sebagai pengguna produk penjagaan muka perlulah mengambil tahu dan cakna mengenai fungsi bahan-bahan yang digunakan pada permukaan kulit muka kita.

Terdapat banyak jenama produk penjagaan muka tempatan lain yang selamat digunakan serta tiada bahan-bahan terlarang yang dipilih untuk mencipta sesuatu produk penjagaan muka seperti pencuci muka, pelembab muka dan sebagainya.

“Bukan semua jenama produk tempatan adalah tidak bagus, yang membezakan dengan produk timbang kilo ialah produk timbang kilo tidak menjalani proses pengilangan yang betul dan sebagainya,” kata Doktor Syairah.

Terdapat beberapa jenama produk penjagaan muka tempatan yang selamat digunakan seperti ZarZou Beauty, Kayman Beauty, Bougas Beauty, serta Jelita.KL dan telah memberi kesan yang baik kepada kebanyakkan pengguna produk tempatan ini.

Kesemua jenama-jenama tempatan ini menggunakan bahan-bahan yang selamat serta menjalani penyelidikan (R&D) bersama ahli kimia yang disahkan berdaftar dengan KKM untuk setiap produk-produk yang mereka hasilkan.

Bahan-bahan yang selamat adalah digunakan untuk menghasilkan produk kecantikan tersebut seperti Niacinamide, Centella Asiatica (Centella) Leaf Extract, Licorice dan sebagainya.

Produk penjagaan muka jenama tempatan, Kayman Beauty

(Sumber: Kayman Beauty )

Dalam pada itu, produk kecantikan tanpa merkuri seperti Mary Kay, salah satu produk kecantikan yang halal, mendapat kelulusan KKM dan selamat digunakan tanpa rasa sangsi.

Menurut perunding kecantikan Mary Kay, Nur Aisyah Junaidi, semasa di temu bual melalui Facetime, menyatakan bahawa terdapat pelbagai perbezaan dari segi penyelidikan dan pembangunan, kandungan merkuri, kos, pembungkusan produk, serta keberkesanan produk.

“Produk Mary Kay mengambil masa yang lama untuk kelihatan cantik, dan jika seseorang menggunakan produk timbang kilo sebelumnya, ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk memulihkan kulit wajah mereka kepada kulit asal,” katanya.

Beliau juga menasihati untuk mengelak daripada mencuba atau membeli sebarang produk merkuri, walaupun ketika tidak mempunyai bajet atau wang.

“Pengguna lebih baik membeli produk kosmetik atau penjagaan kulit dari farmasi seperti Watson atau Guardian kerana kesemua produk tersebut telah mendapat kelulusan KKM dan halal,” kata Aisyah.

Syairah juga menekankan, orang ramai perlu sentiasa memeriksa portal laman web rasmi KKM untuk mengetahui produk yang dilarang untuk dijuall dan berbahaya untuk digunakan kerana masih ramai yang tidak tahu dan sedar jika samaada produk yang mereka gunakan memudaratkan atau tidak untuk kulit mereka.


“Sangat penting untuk kita periksa di laman sesawang KKM dan juga di National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA), senarai produk yang sudah diharamkan penggunaan atau penjualannya di Malaysia.


“Ini kerana kita mahu orang ramai sentiasa berwaspada dan berhati-hati sebelum menggunakan sesuatu produk kerana ia akan memberi kesan yang buruk dan memudaratkan kesihatan untuk jangka masa yang lama jika kita salah dalam memilih menggunakan sesuatu produk,” tambah beliau lagi.

Like the article? Share it now!