LAPORAN KHAS

PERINTAH GAJI MINIMUM: APA KATA MASYARAKAT?

Pekerja di sektor perkilangan antara sektor yang menerima perintah gaji minimum yang baharu.

(Sumber: Suara Merdeka)

Isu gaji minimum di Malaysia seringkali diperdebatkan kerana terdapat pelbagai pendapat mengenai jumlah gaji yang telah ditetapkan. Ada yang beranggapan bahawa jumlah RM 1,200 itu tidak selari dengan kos sara hidup pada masa kini.

Menurut Bernama, kerajaan telah melaksanakan perintah gaji minimum yang baharu melalui Warta Kerajaan Persekutuan iaitu peningkatan daripada RM 1,200 kepada RM 1,500 yang berkuatkuasa pada 1 Mei 2022.

Berdasarkan Akhbar Utusan, pewartaan tersebut telah dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 27 April 2022 namun perintah ini tidak tertakluk kepada semua sektor kerana situasi ekonomi pada masa kini yang tidak begitu baik dan sesuai.

Sektor-sektor utama seperti perkilangan, perkhidmatan dan sebagainya telah diarahkan untuk menaikkan gaji minimum pekerja mereka supaya selari dengan warta tersebut.

Namun, segelintir pihak berpendapat peningkatan gaji minimum yang baharu ini masih tidak dapat menampung kos sara hidup dan harga barang yang semakin meningkat hari demi hari.

Isu ini pastinya akan menimbulkan kebimbangan mereka yang bakal dibuang kerja kerana syarikat tidak mampu untuk membayar gaji minimum yang baharu.

Dalam laporan Berita Harian, Jabatan Perangkaan Malaysia telah berpendapat bahawa gaji minimum ini masih perlu dinaikkan kerana Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Malaysia adalah RM 2,028.

Jika situasi ini berlanjutan, akan timbul masalah dimana jumlah kemiskinan di Malaysia akan semakin meningkat.

Pewartaan ini juga dijalankan demi menjaga kebajikan graduan yang baru sahaja menamatkan pelajaran di peringkat universiti.

Menurut Sinar Harian, kerajaan sedia maklum akan keluh-kesah yang diutarakan oleh para graduan mengenai ketiadaan peluang pekerjaan dalam bidang yang diceburi oleh mereka.

Perintah gaji minimum ini dilihat sebagai langkah untuk memastikan graduan mempunyai pekerjaan yang setimpal dengan ilmu dan pengalaman yang telah mereka pelajari semasa di universiti dahulu.


Gaji Minimum Baharu Tidak Mencukupi

Perintah gaji minimum yang baharu iaitu sebanyak RM 1,500 dilihat masih tidak mampu untuk memenuhi perbelanjaan harian dan bulanan terutama sekali bagi yang sudah berkeluarga dan menetap di bandar.

Menurut Abdul Karim Mansor, 34, pekerja sebuah kilang di Shah Alam menyatakan bahawa jumlah gaji sebelum ini juga setakat nyawa-nyawa ikan sahaja berikutan daripada kos hidup yang semakin tinggi walaupun dia dan isteri sama-sama bekerja untuk menampung kehidupan seharian.

“Saya mempunyai empat orang anak dan semuanya masih bersekolah rendah. Kos sara hidup di sini bukanlah murah, pengangkutan ke sekolah dan perbelanjaan harian hanya cukup-cukup makan sahaja,” kata Karim dalam temu bual bersama Berita DIMENSi di Seksyen 7, Shah Alam.

Karim berpendapat gaji yang baharu ini sememangnya sedikit sebanyak dapat meringankan bebannya sebagai ketua keluarga.

Namun, tidak dinafikan gaji minimum ini masih tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup terutama sekali bagi yang hidup di bandar.

Bagi Nurul Zahirah Ariffin, 24, pekerja di sebuah francais makanan segera, menyatakan walaupun dia berstatus bujang, namun kos untuk tinggal di Shah Alam sememangnya tidak setimpal dengan gaji yang diterima.

Tambahnya, walaupun sudah bekerja hampir tiga tahun disini, namun syarikatnya sukar untuk menaikkan gaji pekerja kerana bagi mereka, gaji minimum RM 1,200 itu sudah memadai dan mencukupi.

“Saya baru sahaja menamatkan ijazah sarjana muda dua tahun lepas namun ketiadaan peluang pekerjaan dalam bidang ini telah mendesak saya untuk bekerja apa sahaja asalkan dapat membayar sewa dan perbelanjaan harian di sini,” katanya ketika ditemu ramah bersama Berita DIMENSi.

Beliau berharap peningkatan gaji minimum yang dilaksanakan ini dapat membantunya untuk menghantar wang saku kepada keluarganya di kampung halaman.

Zahirah turut menyatakan gajinya sebelum ini sememangnya tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidupnya di bandar, namun dia tetap bersyukur dengan peningkatan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan.

Perintah gaji minimum diterima baik oleh semua pekerja di pelbagai sektor.

(Sumber: Berita DIMENSi/Anisha Alieah)

Kesan Peningkatan Gaji Minimum Kepada Syarikat

Menurut Kosmo, walaupun perintah gaji minimum ini diterima baik oleh hampir semua pekerja namun terdapat juga syarikat yang terkesan akibat daripada perintah gaji minimum ini.

Hal ini kerana situasi ekonomi masih berada dalam keadaan tidak stabil kesan daripada COVID-19.

Kerugian semasa tempoh COVID-19 tersebut masih belum dapat digantikan sepenuhnya lagi dan syarikat ini semakin terbeban kerana perlu menaikkan kos upah kerja kesan daripada pewartaan ini.

Namun tidak dinafikan, ada syarikat yang menerima untung besar semasa tempoh COVID-19, contohnya menurut artikel Freemalaysiatoday, sektor perkhidmatan seperti makanan dan penghantaran. Oleh itu, peningkatan ini tidak menjadi masalah untuk mereka menaikkan kos membayar upah.

Bagi syarikat kecil seperti Gloria Jeans, pemilik kafe tersebut, Ahmad Nazri Salleh, 32, menyatakan bahawa pewartaan ini sememangnya membebankan pengeluaran syarikatnya kerana sepanjang tempoh COVID-19, dia perlu menutup perniagaannya akibat ketiadaan pelanggan.

“Peningkatan gaji minimum ini telah mendesak saya untuk memberhentikan beberapa pekerja kerana tidak mampu untuk membayar mereka kerana pulangan yang diterima tidak setimpal dengan kos yang perlu dikeluarkan,” katanya ketika ditemu bual bersama Berita DIMENSi di UiTM Shah Alam.

Tambah Nazri, dia berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula perintah ini atau melakukannya secara berperingkat kerana jika dilakukan secara menyeluruh, sudah pasti banyak syarikat kecil akan ‘gulung tikar’ dan kehilangan punca pendapatan.

Kadar pengiraan gaji minimum yang telah dicadangkan

(Sumber: Warta Kerajaan Persekutuan)

Menurut pegawai di Jabatan Tenaga Kerja Negeri Selangor, Fazli Ahmad Jailani, 41, kenaikan gaji minimum ini sememangnya selari dengan kos sara hidup di Malaysia. Kerajaan bukanlah sengaja hendak membebankan pihak syarikat dalam kiraan kos upah.

Ini kerana setiap dua tahun sekali, isu gaji minimum perlu dibincangkan kerana kita sedia maklum akan peningkatan harga barang dan kuasa beli pengguna yang semakin mengecil.

Kos sara hidup yang semakin meningkat juga perlu diambil kira supaya pekerja dapat hidup dalam keadaan yang selesa dan mencukupi.

“Jika kita lihat dari tahun 2019 sehingga tahun 2020, gaji minimum hanya ditambah sebanyak RM 150 sahaja iaitu dari RM 1,050 kepada RM 1,200,” katanya ketika ditemu bual bersama Berita DIMENSi melalui panggilan telefon.

Tambahnya lagi, kos sara hidup di bandar, tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan terutama sekali bagi golongan yang berpendapatan rendah (B40).

“Sudah pasti ia tidak mencukupi kerana bayaran sewa sahaja sudah separuh daripada gaji bulanan tidak termasuk bil utiliti dan sebagainya. Jadi, peningkatan gaji minimum ini wajar dijalankan untuk menjaga kebajikan pekerja,” kata Fazli.

Fazli menyatakan pewartaan ini telah menerima persetujuan sekelompok dan bukannya keputusan kerajaan semata tanpa mengira kesan jangka masa panjang.

Katanya lagi, jika ada majikan atau syarikat yang enggan meningkatkan gaji, pekerja boleh melaporkan kepada pejabat buruh.

“Jangan takut untuk membuat laporan kerana kami di jabatan sememangnya mengutamakan kebajikan dan keselamatan pekerja di tempat kerja.

“Kami juga memastikan syarikat tersebut mematuhi apa yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan dan tindakan akan diambil jika gagal untuk mengikuti arahan yang telah dikeluarkan,” tambah Fazli.


Kuasa Beli Masyarakat akan Meningkat

Kuasa beli masyarakat akan bertambah kesan daripada perintah gaji minimum.

(Sumber: Berita DIMENSi/Amira Hedzer)

Jika peningkatan gaji minimum ini dilihat dari kesan positif, sudah pastinya kuasa beli masyarakat akan meningkat kerana jumlah wang yang dimiliki oleh masyarakat bertambah dan ia dapat memberi impak yang positif kepada pengeluar.

Menurut Shafinaz Samad, 34, pekerja di sektor kerajaan menyatakan dia akan dapat merancang perbelanjaan sedikit bebas dan teratur kesan daripada peningkatan ini. Jika dibandingkan dengan dahulu, dia perlu berhati-hati dalam berbelanja dan perlu mengutamakan keperluan.

“Peningkatan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan kos walaupun saya tinggal di Ipoh. Kos sara hidup disini boleh dikatakan setanding dengan kos sara hidup di Kuala Lumpur,” kata Shafinaz ketika ditemu ramah oleh Berita DIMENSi.

Walaupun terdapat pelbagai desas-desus mengatakan perintah gaji minimum ini akan ditangguhkan. Menurut MalaysiaKini, pihak kerajaan telah mengambil inisiatif untuk memulakan perwataan ini secara berperingkat mengikut kesesuaian.

Ini kerana terdapat syarikat yang mengeluh dan bimbang perniagaan mereka tidak dapat bertahan lama jika mengeluarkan kos yang besar tanpa pulangan kesan daripada situasi ekonomi pada masa kini.

Masyarakat pastinya mengharapkan kebajikan mereka terjamin dengan adanya pewartaan ini dan pada masa yang sama, syarikat, sektor pengeluaran serta ekonomi negara dapat meningkatkan tahap produktiviti mereka dan memperbaiki situasi ekonomi negara.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!