SPECIAL REPORT

IMPAK SATIRA POLITIK DI MALAYSIA


Salah satu poster yang berkaitan dengan satira politik.
(Sumber: Zunar)

Satira politik bukanlah satu fenomena yang baru di negara ini, namun ia juga memberi impak yang besar kepada perjalanan politik Malaysia. Persoalannya, apakah tujuan satira politik ini dilakukan dan impaknya terhadap negara?


Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), satira membawa maksud karya puisi atau prosa yang menyindir atau mempersendakan orang lain.

Satira politik pula merujuk kepada sindiran atau luahan tidak puas hati terhadap sistem politik negara yang dilakukan oleh mana-mana pihak, seperti yang dinyatakan oleh Afifah Tahir melalui artikel beliau di mykampusradio.com.


Sebelum adanya teknologi maklumat, masyarakat mendapatkan informasi politik melalui ceramah ahli politik di dewan orang ramai, radio, lukisan karikatur pada poster dan surat khabar. Fenomena ini berubah sejajar dengan kehadiran teknologi yang semakin canggih saban hari.


Unsur-unsur satira ini juga sering kali dilihat digunakan melalui karya sastera tradisional Melayu. Bahkan bukan sahaja diadaptasi dalam bentuk seloka atau puisi, malah diterapkan juga dalam dunia perfileman misalnya pada era kegemilangan seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.


Berdasarkan artikel Azura Halid dalam laman sesawang Astro AWANI, P. Ramlee telah berjaya mempersembahkan dialog-dialog yang berunsur kiasan untuk mengutuk atau menegur masyarakat, negara dan pemimpin-pemimpin sewaktu era beliau dan karya beliau masih relevan sehingga ke hari ini.


Antara filem P. Ramlee yang banyak menyelitkan dialog-dialog yang berupa kiasan adalah filem Ali Baba Bujang Lapok yang popular pada tahun 1961. Petikan dialognya berbunyi “Jual candu ada lesen, jual ganja ada lesen, jual belacan tak ada lesen. Saya ‘smuggle’ dari Malaya.”


Dialog tersebut mempunyai teguran yang sinis terhadap sesebuah negara yang menyelenggara undang-undang secara tidak telus dan tidak adil sesama masyarakat.


Menurut Felo Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd Faizal Musa melalui artikel di Berita Harian, terdapat sebuah novel yang berjudul Shit, dikarang oleh Sasterawan Negara (SN) Prof. Emeritus Datuk Shahnon Ahmad pada satu ketika dahulu.


Novel tersebut dikatakan menggunakan gaya penulisan yang agak agresif dan menyentuh isu politik tetapi tidak dijumpai sebarang nama ahli politik dalam kandungan karya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa isi dalam novel tersebut hanyalah sindiran terhadap dunia politik pada masa itu.


Berdasarkan penulisan Liam Kennedy daripada laman sesawang The Conversation, hal ini bukan sahaja berlaku di negara kita, malah menjadi kebiasaan di negara luar seperti Amerika Syarikat yang terkenal dengan kebebasan bersuara dan kebebasan media.


Satira politik kerap dimainkan terutamanya ketika musim pilihan raya untuk memilih presiden baharu. Daripada kempen politik ke media sosial seperti Podcast, Facebook, Instagram dan Twitter, tidak semua orang bersetuju dengan satira politik ataupun troll oleh kerana impaknya mampu mempengaruhi orang ramai.


Justeru, satira atau satire bukan sesuatu yang baru diguna pakai oleh masyarakat, malah telah digunakan di seluruh dunia.


Pada mulanya, satira politik yang dimainkan di Malaysia tidak diterima oleh masyarakat umum kerana poster-poster satira ini berunsur fitnah terhadap pemimpin negara. Hal ini juga turut dikecam hebat oleh beberapa ahli politik sepanjang tahun.


Akaun Facebook yang menjadi laman satira politik popular di Malaysia.
(Sumber: Facebook / Tentera Troll Kebangsaan Malaysia)

Dipetik daripada artikel Root Of Science yang ditulis oleh Ts. Irma Syarlina Che Ilias, akaun cybertroopers ialah sebuah akaun yang menggunakan data besar dengan menggodam maklumat peribadi masyarakat dan menyebarkan maklumat yang berat sebelah atau tidak sahih untuk memanipulasikan minda mereka. Akaun sebegini kebiasaannya menggunakan aplikasi Facebook.


Aplikasi media sosial tersebut menjadi satu medium untuk berkongsi hasil kerja mereka. Salah satu akaun yang mempunyai hampir 600 ribu pengikut di Facebook iaitu Tentera Troll Kebangsaan Malaysia (TTKM) telah menjadi laman satira politik yang semakin popular.


Akaun media sosial yang direka ini mendapat sambutan yang tinggi kerana mereka telah membuat satu tindakan yang berani dalam mendedahkan perihal ahli politik tanah air kita. Ini merupakan salah satu taktik baru untuk mengetengahkan satira politik dengan menggunakan medium dalam talian.


TTKM itu sendiri tertubuh berikutan Episod Langkah Kajang ciptaan Anwar Ibrahim dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Pada tahun 2014, sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikorbankan semata-mata untuk memenuhi pelan politik Anwar Ibrahim.


10 Mei 2018 pula merupakan hari yang bersejarah bagi penyokong-penyokong parti politik Pakatan Harapan (PH) kerana berjaya meraih majoriti 121 daripada 222 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum Malaysia (PRU) yang ke-14.


Namun begitu, selepas beberapa bulan pemerintahan PH yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad, hal ini turut menjadi satira yang berunsurkan politik oleh TTKM kerana PH didakwa tidak menunaikan janji manifesto mereka.


Menurut Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), turut menyatakan budaya satira politik bukanlah satu perkara yang baharu di Malaysia.


Hal ini kerana pada awalnya, satira merupakan satu bentuk jenaka yang disampaikan melalui pantun, teka-teki, peribahasa dan juga lukisan atau karikatur.


“Tujuan utama satira ini bukanlah untuk merendahkan mahupun menghina, tetapi untuk memberi nasihat serta pengetahuan dengan kaedah yang santai. Namun, seiring dengan perkembangan teknologi yang berlaku, satira ini juga mengalami perubahan,” kata beliau ketika ditemu bual oleh Berita DIMENSi menerusi aplikasi Google Meet.


“Satira yang dahulunya merupakan satu bentuk komunikasi santai tapi sinis telah berubah menjadi satu bentuk provokasi yang mampu menjatuhkan maruah individu serta menghangatkan sesuatu isu.


“Apabila bercakap mengenai komunikasi politik, ia sebenarnya adalah berbentuk komparatif dimana sepatutnya ia adalah suatu perkara yang positif namun disebabkan persekitaran dan juga penterjemahan berkaitan politik, maka ia lebih cenderung untuk ke arah negatif,” ujar beliau.


Seterusnya, Berita DIMENSi menemu bual seorang Pegawai Sumber Manusia di SENSATA Technologies, Noorul Amanda Auleya Mohamed Zulkaernain, 27, untuk mendapatkan pendapat beliau mengenai satira politik.


Beliau berkata, satira politik merupakan cara untuk menyindir dan menjadikan ahli politik sebagai bahan jenaka dalam bentuk seni lukis. Beliau juga tidak bersetuju dengan aktiviti satira kerana karya seni ini adalah sejenis sindiran yang sinis dan boleh menyakitkan hati pelbagai pihak.


“Malah, agama Islam tidak pernah mengajar kita untuk menyindir seseorang secara sinis. Jika mahu tegur seseorang, (agama) Islam sudah menetapkan cara yang sangat baik dalam menegur. Jadi, tidak salah kalau kita tegur cara baik,” ujar beliau.


Berita DIMENSi juga bertanya tentang kesan satira politik ini terhadap masyarakat.


“Impaknya mungkin lebih kepada kesan negatif yang mendalam kepada masyarakat, terutamanya dalam kalangan orang muda kerana mereka lebih cenderung untuk percaya bulat-bulat apa yang “dipersembahkan” di media sosial berbanding membuat sedikit kajian mengenai perkara tersebut.


“Saya sangat setuju sekiranya satira politik ini didedahkan secara umum kepada masyarakat. Seeloknya, biarlah didedahkan seawal peringkat sekolah menengah di mana mereka akan belajar mengenai sejarah politik di Malaysia,” tambah beliau.


Berbeza pula dengan pendapat seorang pelajar Universiti Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah, Muhammad Mukhlis Kuzhori, 23, ketika di temu bual melalui panggilan telefon.


“Tidak salah jika media menggunakan kuasa mereka untuk memperkenalkan satira politik dengan lebih mendalam kepada orang ramai. Perkara ini bukan satu perkara yang salah selagi tidak melanggar undang-undang,” kata Mukhlis.


“Kadangkala, perkara seperti ini perlu dilakukan untuk memastikan pemimpin mahupun parti politik sedar akan kesalahan yang mereka lakukan dan berusaha untuk menjadi yang lebih baik.


“Satira politik ini juga patut diperkenalkan kerana masih ramai yang tidak tahu tentang frasa 'satira' itu sendiri. Orang awam hanya tahu apa itu troll tetapi tidak tahu tujuan sebenar perkara tersebut dilakukan,” tambah beliau.


Malah terdapat sebuah akaun persendirian yang mempunyai objektif yang sama dalam menyuarakan pendapat, hasrat dan keluhan dari masyarakat iaitu Fahmi Reza, 44, seorang pereka grafik yang sangat aktif di aplikasi Twitter.


Beliau menyuarakan keluhan sebagai rakyat Malaysia melalui bakatnya dalam menghasilkan seni visual dan grafik yang berkaitan dengan satira politik.


Antara seni visual dan grafik yang dihasilkan oleh Fahmi Reza.

(Sumber: Twitter / @kuasasiswa)


Akan tetapi pada bulan April yang lalu, beliau telah ditahan di kediamannya di Taman Seputeh, Kuala Lumpur kerana telah memuat naik satu senarai main di aplikasi Spotify yang bertajuk This Is Dengki Ke.


Susulan hantaran yang dibuatnya mempunyai kaitan dengan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajjah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan menurut Agenda Daily, Fahmi Reza telah memuat naik senarai main tersebut dengan lebih 100 buah lagu yang berkaitan hasad dengki.


Dipetik daripada penulisan Malaysia Kini, peguam Fahmi Reza, Yohendra Nadarajan berkata, beliau ditangkap oleh pihak polis kira-kira jam 7 petang pada 23 April yang lalu dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.


Menurut Yohendra, seramai tujuh anggota polis ditugaskan untuk membuat tangkapan ke atas Fahmi Reza dan mereka telah memecahkan pintu rumah beliau kerana difahamkan beliau enggan membuka pintu sehingga peguamnya tiba.


Fahmi Reza berdepan dengan peruntukan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain disiasat mengikut Akta Hasutan.


Berdasarkan artikel GETARAN, Fahmi Reza dibebaskan setelah direman selama sehari dengan jaminan polis pada jam 5 petang, 24 April yang lalu.

Menurut Yohendra lagi, arahan reman selama sehari tersebut dikeluarkan di IPD Dang Wangi oleh Majistret Nitra Ravindran.


Fahmi Reza ketika dibebaskan dari IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur.

(Sumber: Twitter / @mzulkifli)

Menurut Raja Nur Afiqah Raja Zulkifli melalui jurnal beliau Impak Satira Politik Terhadap Internet Trolling di Malaysia, walaupun Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai hak kebebasan media yang lebih baik jika dibandingkan dengan negara jiran, satira politik ini masih tidak mampu untuk menggoncangkan kedudukan para pemimpin di negara ini.


Malahan, satira dan trolling terhadap politik ini digunakan oleh masyarakat sebagai satu langkah untuk menyatakan dan meluahkan pandangan mereka terhadap politik semasa.


Tambah Raja Nur Afiqah lagi, rakyat menggunakan media sosial ini sebagai salah satu medium untuk perbincangan atau perbahasan mengenai politik.


Like the article? Share it now!