LAPORAN KHAS
DIMANAKAH EMPATI SEORANG PENGAJAR?


Sifat segelintir pendidik yang tiada belas kasihan telah menjadi satu cabaran bagi pelajar yang menghadapi pembelajaran dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).


Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) semenjak Malaysia dilanda wabak COVID-19 tahun lalu, merupakan satu cabaran besar buat para guru kerana kaedah pengajaran mereka sewaktu di sekolah dan di luar sekolah adalah bagai langit dengan bumi.


Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), PdPR ialah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di rumah ataupun mana-mana lokasi bersesuaian secara dalam talian, luar talian ataupun off-site dengan berstruktur dan terancang.


PdPR ini dilaksanakan dalam tempoh tertentu disebabkan oleh keberadaan bencana ataupun wabak dalam negara.


Antara masalah utama PdPR yang dihadapi oleh ibu bapa dan pelajar ialah tidak mempunyai capaian internet yang baik dan ketiadaan peranti untuk mengikuti kelas dalam talian seperti komputer riba serta sibuk bekerja.


Namun, ada juga dalam kalangan pelajar yang berhadapan dengan warga pendidik yang kurang berempati sehingga tidak mengambil berat tentang kebajikan mereka.


Sikap tersebut menyebabkan pelajar tertekan sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan gred yang cemerlang dalam mana-mana subjek yang mereka ambil.


Ciapan milik Akif Basri sewaktu banjir berlaku di Pahang pada awal tahun ini.
(Sumber: Twitter / @akif_basri)

Oleh itu, Berita DIMENSi telah menemu bual beberapa pendidik dan pelajar daripada pelbagai institusi untuk mengupas lebih lanjut tentang isu ini.


Kaedah Pembelajaran yang Digunakan


Seperti pembelajaran di sekolah harian, pembelajaran dalam talian juga memerlukan komunikasi dua hala antara tenaga pengajar dan pelajar.


Akan tetapi, proses pembelajaran ini melibatkan pertemuan di ruang maya di mana penilaian dan pemantauan oleh pihak pendidik dilakukan seperti pembelajaran harian.


Persoalannya, adakah semua pelajar mampu mengekalkan momentum yang sama sehingga ke hujung pembelajaran?


Bukan sahaja menjadi tanggungjawab pelajar, malah para guru dan pensyarah juga berperanan dalam memastikan pelajar hadir ke kelas dan menerima input yang ingin disampaikan.


Bagi Nurul Nisha Mohd Shah, pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Rembau, Negeri Sembilan, beliau menggunakan kaedah pembelajaran melalui dua cara iaitu segerak (synchronous) dan tak segerak (asynchronous), yang mana interaksi pembelajaran dalam talian berlaku secara tak serentak atau melalui video pra rakaman.


“Saya sudah menitikberatkan isu ini kerana saya faham akan situasi kebanyakan pelajar yang tidak berkemampuan dan perlu membayar satu amaun yang banyak untuk internet dan sebagainya.


“Walau bagaimanapun, pengajaran masih lagi berjalan lancar dengan menggunakan pelbagai kaedah,” kata beliau ketika ditemu ramah oleh Berita DIMENSi melalui aplikasi Microsoft Teams.


Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jalil, Nor Asiah Muhamad berkata, di sekolah, walaupun ada yang menghadapi masalah dari segi penggunaan teknologi maklumat (IT) terutama bagi guru yang berusia, para guru akan sentiasa mempelajari kaedah penyampaian yang lebih menarik.


“Tetapi kalau dilihat dari segi penglibatan murid, kurang berjalan dengan lancar terutamanya murid-murid yang berada di ‘kelas belakang’,” katanya dalam satu temu bual bersama Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp.


Dr. Norhakimah Khaiessa Ahmad, Pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA) pula berkongsi bahawa beliau perlu mencari cara untuk meraih perhatian para pelajar bagi melancarkan lagi proses komunikasi.


“Bukan saja saya memendekkan waktu pembelajaran, saya juga mengendalikan kelas dengan menggunakan pelbagai aplikasi seperti Zoom, Hangout, Google Meet dan Microsoft Teams. Apabila saya menukar cara berkomunikasi bersama pelajar, mereka amat menyukainya.


“Saya juga ada menggunakan komunikasi interaktif seperti Jamboard dan SlideShare, di mana apabila saya bertanyakan soalan, pelajar ini akan memberi maklum balas,” tambah beliau sewaktu temu bual bersama Berita DIMENSi melalui Google Meet.


Wajarkah Pengajar Menggunakan Waktu di Luar Kuliah?


Menurut Nurul Nisha, sikap hormat-menghormati serta mempunyai persefahaman dengan pelajar adalah sangat penting. Pengajar seharusnya bertanya akan kesesuaian waktu pelajar sebelum membuat suatu keputusan.


“Mereka juga perlu meletakkan diri mereka di tempat pelajar sekiranya anak murid tidak dapat hadir ke kelas kerana mempunyai masalah yang tidak dapat dielakkan.


“Saya selalu berpesan kepada pelajar saya jika ada masalah, sila beritahu saya supaya kita dapat berkomunikasi dan menyelesaikannya bersama-sama,” kata beliau.


Tambah beliau lagi, punca segelintir pensyarah mengambil masa pelajar secara berlebihan adalah kerana mereka tidak tahu cara pengurusan masa yang baik. Sebelum pandemik, pensyarah mampu menggunakan waktu dengan secukupnya untuk mengajar di dalam kelas.


“Kini, kebanyakan kelas dalam talian terpaksa dipendekkan kerana faktor kekangan pembelajaran jarak jauh itu sendiri. Pensyarah yang tidak pandai menguruskan masa akan mencampur adukkan urusan peribadi dengan kerja sehingga mengganggu waktu pelajar,” ulas beliau.


Menurut Ahamad Zaidi Bahari, pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), beliau tidak bersetuju dengan pendekatan pengajar yang menggunakan waktu lapang atau hujung minggu pelajar untuk tujuan perkuliahan serta urusan akademik yang lain seperti peperiksaan, kuliah ganti ataupun kerja berkumpulan.


Baginya, pelajar berhak untuk berehat selepas mengikuti sesi perkuliahan.


“Dalam memastikan pelajar mendapat rehat yang secukupnya, saya akan tekankan kepada pelajar supaya menghantar kerja kursus mereka pada setiap hari terakhir minggu perkuliahan agar mereka boleh fokus kepada urusan lain selain akademik pada hari minggu,” kata pensyarah itu semasa dihubungi oleh Berita DIMENSi melalui WhatsApp.


Jelas beliau lagi, perkara yang biasanya dikongsikan kepada pelajar melalui platform komunikasi seperti e-mel, Whatsapp atau Telegram di luar waktu perkuliahan, adalah berbentuk makluman atau perkongsian bahan dan bukannya arahan kerja dan tugasan baharu.


Walau bagaimanapun, Dr. Norhakimah pula berpendapat, melakukan kelas tambahan adalah satu kemestian terutamanya jika pelajar perlu siapkan projek tahun akhir mereka. Namun begitu, pengajar tidak akan mengganggu pelajar ketika mereka di dalam kuliah.


Ketika bertanya tentang pendidik yang kurang empati terhadap pelajar kurang bernasib baik, beliau berkata, pengajar tersebut boleh dikatakan tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif dengan keadaan pelajar.


“Pengajar itu mungkin tidak berminat untuk mengambil tahu atas sebab tertentu, seperti tidak pernah mengalami situasi yang sukar misalnya banjir dan internet yang kurang memuaskan,” jelas beliau.


Cabaran Pelajar Mengikuti Kelas dalam Talian


Susulan penularan wabak COVID-19 yang bagai tiada penghujung, pembelajaran dalam talian masih diteruskan untuk menggantikan kelas secara fizikal.


Sejajar dengan perkembangan internet, pelbagai kaedah telah diterokai oleh para pendidik yang tidak berputus asa untuk mencurahkan ilmu dan memastikan sesi pembelajaran diteruskan seperti mana sesi sekolah harian sebelum wabak ini menjelma.


Namun begitu, praktis ini tidak semudah yang disangkakan. Sama ada bagi pelajar mahupun pendidik, pelbagai rintangan yang perlu diharungi bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berjalan dengan lancar.


Menurut Nurul Asyiqin Mohad Ismail, 20, pelajar Kolej Antarabangsa YPC, Cheras, beliau sukar untuk untuk memberikan tumpuan yang sepenuhnya kepada pembelajaran atas talian kerana persekitaran yang tidak sesuai serta menghadapi banyak gangguan yang lain.


“Namun begitu, apa jua keadaan pun, saya dapat menempuhi cabaran ini dengan baik sahaja kerana saya merupakan seorang pelajar yang aktif. Jika saya tidak faham akan sesuatu perkara, saya akan belajar sendiri dan cuba menyelesaikan masalah itu,” katanya ketika ditemu bual oleh Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp.


Sementara itu, Nurhafizah Salleh, 23, mahasiswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, masalah rangkaian internet daripada kedua-dua pihak pengajar dan pelajar selalunya mengganggu proses pembelajaran.


“Bukan sahaja masalah internet, malah suasana di rumah dan bilik yang kurang kondusif juga mempengaruhi perjalanan pembelajaran dalam talian, hal ini membuatkan saya hilang tumpuan untuk belajar. Lebih-lebih lagi jika suasana rumah yang bising, keadaan bilik yang panas dan lain-lain lagi,” jelasnya ketika ditemu bual melalui aplikasi WhatsApp bersama Berita DIMENSi.


Raihanah Safiyya Roslan, 17, pelajar tingkatan lima SMK Tun Mamat ketika ditemu bual melalui aplikasi Twitter, turut bersetuju bahawa antara kekangan PdPR yang dihadapi beliau ialah memiliki capaian internet yang kurang baik, sekali gus menjadikan proses pembelajaran terganggu dan tidak lancar.


Berdasarkan laporan buletin bulanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Malaysia mencatatkan kelajuan purata muat turun sebanyak 24.44 megabits per second pada jalur lebar mudah alih justeru meletakkan malaysia di tangga ke-enam di kalangan Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan tangga ke-41 di peringkat dunia.


Ini membuktikan kenyataan para pelajar yang menghadapi pembelajaran dalam talian mengenai tahap capaian internet di Malaysia lemah dan perlu dinaik taraf.


Ketiadaan Sifat Empati Seorang Pendidik


Nurul Asyiqin memberitahu Berita DIMENSi bahawa ada segelintir rakan-rakannya terpaksa berhadapan dengan pengajar yang tidak mempunyai sikap empati apabila pengajar sering menggunakan masa terluang pelajar untuk mengadakan kelas sesuka hati.


Mereka terpaksa akur dengan arahan tersebut walaupun sudah penat menghadiri kelas dan belajar dari jam 8 pagi hingga 6 petang, ditambah pula dengan tanggungjawab yang harus dilakukan di rumah.


Bagi Nurhafizah pula, beliau dan rakan-rakan cuba berbincang bersama pendidik untuk mengurangkan tugasan, dan ada sesetengah mereka mempertimbangkan perkara tersebut.


“Namun, terdapat juga pengajar yang tidak mahu bertolak ansur dengan pelajar dan tetap dengan pendirian beliau untuk tidak mengurangkan tugasan yang diberikan.


“Malahan menambah lagi tugasan sekali gus akan memberi tekanan kepada pelajar,” tambah beliau yang menetap di Beaufort, Sabah.


Ramai yang tertekan dengan lambakan tugasan yang diberikan oleh warga pendidik.

Pelajar universiti awam jurusan Pentadbiran Perniagaan, Alya Mohd, 22, meluahkan rasa ketidakpuasan hati apabila pensyarahnya pernah memberikan tugasan baharu secara mendadak kepada pelajar pada hujung semester.


“Pensyarah itu hanya menghantar senarai tugasan dan tarikh penyerahan tugas tersebut di WhatsApp kelas ketika kami semua sedang mengulang kaji untuk peperiksaan akhir semester.


“Saya berasa sangat tertekan kerana minggu ulang kaji itu digunakan untuk menyiapkan tugasan yang diberi serta amat kesal dengan sikap pengajar yang tidak mempunyai sifat simpati kepada para pelajar,” katanya ketika ditemu bual melalui aplikasi WhatsApp bersama Berita DIMENSi.


Tekanan Pelajar yang Mempunyai Komitmen Lain


Tekanan yang berpanjangan akan membawa kepada masalah kesihatan mental.
(Sumber: Unsplash / Elisa Ventur)

Seperti yang diketahui umum, pandemik COVID-19 telah mengubah cara pembelajaran seorang pelajar dari menghadiri kelas fizikal kepada pembelajaran dalam talian.


Susulan hal ini telah menyebabkan segelintir pelajar berasa lebih tertekan apabila ada dalam kalangan pengajar tidak menjalankan tanggungjawab dengan betul seperti menambah tugasan, membuat kelas tambahan, tidak mengajar mengikut waktu dan sebagainya.


Nurjihan Nisrina Zaid, 24, seorang mahasiswi Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkongsi kesukaran yang dihadapinya sepanjang sesi pembelajaran dalam talian berlangsung.


“Saya amat tertekan apabila ada pengajar yang mengajar tidak mengikuti waktu yang telah ditetapkan kerana ia seolah-olah telah mengambil masa saya yang lapang di mana saya membuat perancangan untuk melakukan pelbagai tugasan pada waktu tersebut dan akhirnya perancangan itu terbantut.


“Saya merasakan bahawa ia tidak adil untuk para pelajar kerana saya percaya, waktu lapang yang kami perolehi merupakan waktu untuk kami membuat segala tugasan yang ada.


“Jadi apabila perkara sebegitu berlaku, sedikit sebanyak telah mengganggu jadual kami serta banyak perancangan tidak dapat diteruskan,” kata Nurjihan ketika ditemu ramah secara bersemuka bersama Berita DIMENSi.


Mahasiswi UMP tersebut berpendapat, perkara seperti ini seharusnya tidak berlaku kerana boleh menyebabkan pelajar berasa lebih tertekan sekali gus menjejaskan kesihatan mental dan membawa kepada kemurungan.


Selain tertekan dengan pengajar yang tidak bertanggungjawab, komitmen lain yang perlu digalas juga merupakan salah satu punca pelajar berasa demikian, antaranya ialah menjaga orang sakit di rumah, bekerja, menjaga adik-adik dan sebagainya.


Menurut Nurjihan, beliau perlu menjaga adik-beradik ketika ketiadaan ibu bapa di rumah kerana bekerja. Beliau berpendapat bahawa komitmen ini juga punca tambahan beliau berasa tertekan ketika pembelajaran atas talian.


“Kadang-kala, saya tidak sempat untuk menghadiri kuliah kerana melakukan tanggungjawab seorang kakak untuk menjaga adik-adik semasa ketiadaan ibu bapa. Saya mempunyai ramai adik kecil maka saya harus menjaga adik-adik saya selalu.


“Walaupun perkara ini nampak kecil dan remeh, namun perkara ini juga menyumbang kepada punca saya berasa tertekan. Saya merasakan bahawa saya tidak dapat fokus kepada tanggungjawab sebenar, iaitu sebagai seorang pelajar,” ulas Nurjihan.


Cadangan Penambahbaikan


Kedua-dua pihak pelajar dan guru perlulah mencapai satu persefahaman agar matlamat dan objektif masing-masing tercapai. Tanpa persetujuan dan perbincangan, tidak mustahillah sekiranya salah satu daripada mereka tertekan atas sebab yang sia-sia.


Pensyarah IPKGBA, Dr. Norhakimah berkongsi bahawa semasa beliau mengajar, beliau seperti hanya bercakap di hadapan skrin dan bukannya dengan pelajar kerana mereka tidak membuka kamera sewaktu di dalam kelas. Perkara ini menyebabkan beliau berasa jengkel ibarat beliau bercakap dengan dinding.


Oleh itu, para pelajar mestilah membuka kamera semasa di dalam kelas supaya konsentrasi mereka meningkat di samping memberikan kepercayaan kepada pendidik bahawa mereka sememangnya mengikuti kelas yang telah diatur.


Kemudian, para pendidik pula perlulah bertolak ansur dan memahami situasi pelajar yang kurang bernasib baik, lebih-lebih lagi apabila mereka ditimpa musibah seperti banjir, rumah terbakar, kemalangan, menghidap penyakit kronik serta dijangkiti virus COVID-19.


Sikap empati ini bukan sahaja memudahkan pelajar untuk mengikuti kelas berdasarkan kemampuan mereka, malah mereka tidak perlu risau sekiranya mereka ketinggalan dalam pelajaran kerana terdapatnya warga pendidik yang sudi membantu dan menghulurkan bantuan.


Akhir sekali, adalah lebih baik sekiranya pendidik dan anak murid hanya berurusan ketika waktu pejabat supaya tidak mengganggu komitmen mereka yang lain seperti memasak, menguruskan keluarga dan bekerja.


Andai kata perlu mengikuti kelas di luar waktu kuliah, kedua-dua pihak dinasihati untuk mencari satu waktu yang bersesuaian dengan masa lapang mereka.


Sekiranya terdapat warga pendidik yang tidak amanah dalam menjalankan tanggungjawab mereka, para pelajar dan pihak yang berkaitan mestilah membuat laporan kepada saluran yang berkenaan supaya tindakan lanjut boleh diambil dengan segera.

Like the article? Share it now!