LAPORAN KHAS

COVID-19 PENGHALANG KERJAYA GRADUAN


Wabak Covid-19 punca masalah pengangguran graduan yang semakin meningkat.

(Sumber: MMU Malaysia)

Isu pengangguran yang dialami Malaysia pada masa kini menjadi suatu kemelut apabila jumlah peningkatan para graduan semakin meningkat dari semasa ke semasa atas beberapa faktor yang tidak dapat dibendung.

Pengangguran menyebabkan kehilangan modal insan yang kekal, sekali gus merendahkan harapan pertumbuhan jangka panjang anak muda. Hal ini memberi impak besar kepada kesihatan serta mengurangkan kesejahteraan masyarakat.


Graduan muda, khususnya, mengalami kesukaran dalam mendapatkan pekerjaan tetap mereka dan sebahagian besar graduan memegang jawatan pekerjaan yang tidak setaraf dengan pendidikan dan harapan mereka.


Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, melalui langkah-langkah pembendungan COVID-19 terkini, mereka menjangkakan sektor ekonomi serta kadar pengangguran di Malaysia akan menghadapi rintangan dalam melestarikan momentum penyembuhan mereka.


Kadar pengangguran di Malaysia mengakibatkan lebih daripada 100 ahli perniagaan dan perdagangan hilang pendapatan atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.


Persoalannya, apakah punca utama kenaikan kadar pengangguran yang berlaku di Malaysia?

Rajah menunjukkan kadar pengangguran dari Januari 2020 hingga Oktober 2021

(Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia)

Jumlah pengangguran mula meningkat dalam 100 ribu orang setiap bulan pada suku pertama 2020 akibat penularan wabak COVID-19.

Kadar pengangguran yang direkodkan paling tinggi sebanyak 5.3 peratus bersamaan dengan 826.1 ribu orang pada Mei 2020 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula diumumkan.

Bilangan peratus pengangguran kekal 4.7 peratus dalam lingkungan 740 ribu orang lebih pada awal suku kedua 2020 apabila kerajaan mengumumkan pelonggaran tatacara pengendalian piawai (TTP atau SOP).

Kadar pengangguran meningkat kembali antara November 2020 hingga Januari 2021 sebanyak 0.1 peratus setiap bulan.

PKP dilanjutkan lagi dari Mei hingga Jun 2021 menyebabkan peratus pengangguran meningkat pada Julai sebanyak 0.3 peratus dengan tambahan 50.1 ribu orang hilang kerja berbanding bulan sebelumnya akibat kemelesetan ekonomi.

Meskipun Jabatan Perangkaan Malaysia telah mencatatkan bahawa kadar pengangguran menunjukkan penurun dari Januari 2021 hingga Oktober 2021, namun para graduan masih tetap akan menghadapi persaingan yang sengit sesama mereka.

Menurut Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, melalui artikel di Berita Harian, peluang pekerjaan graduan terhad adalah sangat terhad.

“Ini kerana ketidakseimbangan di antara jumlah graduan keluaran Institut Pengajian Tinggi (IPT) dengan jumlah pekerjaan ditawarkan industri kerana ingin mengurangkan kos pengeluaran serta operasi,” kata Dr Mohd Yusof.

Rentetan daripada itu, para graduan berkongsi keluhan hati mereka tentang cabaran dan rintangan yang ditempuh demi mencapai kerjaya impian masing-masing.


Graduan anggap rezeki tidak menyebelahi

Norshazwani, 27, seorang pembantu tukang masak di sebuah kedai makan, Paka, Terengganu, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada September 2020.

“Walaupun mendapat kerja dengan gaji yang tidak setimpal, saya tetap bersyukur kerana dengan gaji yang ada ini sekurang-kurangnya saya dapat menampung perbelanjaan harian buat keluarga saya,” kata Norshazwani.

Anak kedua daripada enam orang adik-beradik itu mengambil alih sebagai ketua keluarga dengan gaji sebanyak RM1,200 sebulan sahaja. Menurut Norshazwani, bapanya Zainuddin Rahman sudah lama meninggal dunia ketika dia masih di sekolah menengah lagi.

“Bukan saya tidak pernah mencuba untuk memohon kerja yang berkaitan dengan bidang pengajian saya, malahan saya juga pernah menghantar permohonan di banyak syarikat termasuklah di laman Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), namun rezeki tidak menyebelahi saya,” tambahnya lagi.

Menurutnya lagi, dia pernah melayari laman sesawang iklan jawatan kosong mengikut bidang pengajiannya, namun, gaji permulaan yang ditawarkan agak rendah dan tempat kerja pula jauh dari kediaman keluarganya.

Disebabkan faktor PKP, Norshazwani mengambil keputusan untuk tinggal bersama keluarganya sahaja dan bekerja berdekatan dengan tempat tinggalnya.


Kesan PKP mengakibatkan kelangsungan hidup graduan terjejas

Kesan daripada PKP telah menyebabkan banyak syarikat mengambil inisiatif untuk membuang beberapa orang pekerja akibat tidak mampu untuk menampung jumlah gaji yang perlu dibayar kepada para pekerja.

Nur Fatin Alia Arjuna, 23, seorang graduan dalam bidang grafik berasa sangat terkilan apabila dia di antara yang terpilih untuk dilepaskan oleh majikan dalam masa yang mencabar sebegini.

“Agak sedih apabila mendapat tahu bahawa saya telah diberhentikan kerja. Pada waktu pandemik ini, saya perlu menggunakan duit yang banyak untuk menampung kehidupan seharian bersama ibu saya sejak pemergian ayah,” kata Fatin.

Menurut Nur Fatin Alia, dia ada cuba untuk mohon kerja di syarikat lain, namun kebanyakkan syarikat telah meletakkan had pengambilan pekerja, menyebabkan dia sukar untuk mendapatkan pekerjaan.

“Buat masa ini, saya bekerja sebagai ‘freelancer’ bagi sesiapa yang memerlukan perkhidmatan grafik untuk isi duit poket.

“Tidak kira berapa jumlah yang diberi, asalkan dapat bayar apa yang patut demi kelangsungan hidup,” ujar Fatin ketika ditemubual bersama Berita DIMENSi.

Infografik kesan Covid-19 terhadap para graduan.

(Sumber: Berita DIMENSi)

Tidak dinafikan, wabak COVID-19 adalah salah satu punca utama gaji siswazah yang rendah. Keadaan ekonomi negara sekarang menunjukkan penurunan dalam aktiviti ekonomi dan perniagaan.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sebahagian besar graduan yang datang daripada keluarga B40 menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian. Jika masalah ini berterusan, graduan mungkin akan mengalami kemiskinan pada masa hadapan.

Kadar pengangguran menunjukkan penurunan daripada 15.3 juta pekerja kepada 15.29 juta dalam jangka masa sebulan antara bulan Jun ke Julai yang meliputi semua sektor kecuali sektor perkhidmatan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pelaksanaan penuh PKP pada Jun tahun lepas meningkatkan jumlah pengangguran sementara sebanyak 661,400 orang kepada 801,100 orang, meningkat daripada 139,600 pada Mei 2021.

Hal ini bukan sahaja menyebabkan pengangguran meningkat, bahkan turut mewujudkan inflasi negatif. Upah atau gaji adalah penting dalam kehidupan seharian bagi mana-mana pekerjaan, dan ianya adalah perkara asas yang menghubungkan pekerja dan majikan.

Beban kerja yang tidak setimpal dengan jumlah gaji yang sedikit untuk meneruskan kelangsungan hidup menyebabkan graduan jadi memilih untuk mencari kerja yang sesuai dengan pengetahuan dan kebolehan mereka.

Kesan pengangguran graduan membawa kepada ketidakcekapan dalam penggunaan sumber. Jika graduan bekerja dalam pekerjaan yang tidak sesuai dengan bakat mereka, sekali gus meninggalkan kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!