LAPORAN KHAS

AMALAN MAKAN MENGGUNAKAN TANGAN

Budaya makan menggunakan tangan sudah menjadi topik perbualan hangat antara masyarakat di dalam mahupun luar negara.

Amalan pemakanan seperti ini dikategorikan sebagai stigma yang dianggap tidak bersih dalam budaya masyarakat barat.

Kenyataan ini turut disokong pakar peradaban barat, Grant Harrold atau lebih dikenali dengan nama The Royal Butler di aplikasi Twitter miliknya.

Beliau membuat satu kiriman yang menyatakan, “Tuan-tuan dan puan-puan, ingat kita selalu menggunakan pisau dan garfu atau penyepit untuk makan nasi! Kami tidak menggunakan tangan atau jari kami!”

Salah satu kiriman yang dimuat naik di aplikasi Twitter milik Grant Harrold.

(Sumber: The Royal Butler)

Kenyataan ini disangkal oleh beberapa orang tukang masak terkemuka di Amerika Syarikat iaitu Julie Sahni dan Roy Choi.

Julie Sahni merupakan tukang masak dari India pertama memegang jawatan ketua tukang masak di New York. Beliau mengatakan bahawa makan menggunakan tangan dapat memberi satu kepuasan ketika menikmati apa-apa jenis juadah makanan.

Jelas dengan latar belakangnya yang merupakan seorang warganegara India, Julie menyatakan bahawa makan menggunakan peralatan makanan adalah seperti melawan hukum etika pemakanan di negara tempat kelahirannya.

“Kebanyakan restoran masakan India di Amerika Syarikat juga lebih menggalakkan pelanggannya untuk makan menggunakan tangan, agar mereka dapat merasai sendiri nikmat makanan tersebut dengan cara India,” kata Julie dalam temu bual bersama New York Times.

Kenyataan dari Julie Sahni ini juga disambut baik oleh Roy Choi, seorang tukang masak dari Korea Selatan yang turut menggalakkan pelanggan di restorannya untuk makan menggunakan tangan.

Memetik kata-kata beliau dari temu ramah bersama New York Times, “saya pernah melihat pelanggan cuba memotong tulang rusuk seperti memotong stik, dan saya tidak suka akan bunyi geselan alatan makanan tersebut yang sangat mengilukan.”

Roy Choi juga menganggap bahawa kita tidak semestinya melawan etika pemakanan sekiranya kita makan menggunakan tangan.

Satu per tiga populasi dunia mengamalkan makan menggunakan tangan.

(Sumber: Delightedcooking)

Akhbar digital Sinar Harian turut menyatakan sudut pandangan Islam dimana makan menggunakan tangan tutut digalakkan dalam agama tersebut kerana amalan ini merupakan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Rasulullah SAW pernah bersabda: “Jika seseorang di antara kalian makan, maka hendaklah dia makan menggunakan tangan kanannya. Jika minum, maka hendaklah juga minum dengan tangan kanannya, kerana syaitan makan dengan tangan kirinya lalu minum dengan tangan kirinya pula.” (Sahih Muslim).

Bagi sesetengah individu yang tidak membesar dengan cara menggunakan tangan untuk makan, rata-rata bersetuju dengan stigma budaya barat bahawa makan menggunakan tangan ini tidak bersih dan tidak patut dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

Terdapat pelbagai manfaat dan kebaikan makan menggunakan tangan melalui aspek saintifik.

Ainin Sofiya merupakan penasihat kesihatan di klinik kesihatan terkemuka di Malaysia.

(Sumber: Ainin Sofiya Ahmad Sirfan)

Ainin Sofiya Ahmad Sirfan, 27, berpendapat bahawa ia bergantung kepada kehendak seseorang sama ada mereka ingin menggunakan tangan atau peralatan ketika makan.

Beliau mengakui makan menggunakan tangan dapat memberikan hasil yang positif kepada seseorang.

“Dari sudut sains, makan menggunakan tangan dapat merangsang penghadaman yang lebih baik.

“Apabila jari kita menyentuh makanan, urat saraf akan menghantar signal ke perut untuk beritahu yang kita akan makan justeru perut akan bersedia untuk proses penghadaman dengan merembeskan jus gastrik serta enzim-enzim yang berkaitan,” kata Ainin semasa ditemu bual bersama Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Beliau juga menambah bahawa tangan kita mempunyai enzim baik yang mampu untuk melindungi dari mikro berbahaya di sekeliling.

Kenyataan Ainin ini sejajar dengan portal kesihatan Indonesia YesDok, di mana enzim RNase merupakan salah satu enzim yang terdapat pada tangan di mana ia dapat dihasilkan ketika bercampur dengan bakteria yang terdapat pada makanan.

Enzim tersebut mampu mendepolarisasikan asid nukleik (bakteria pada makanan) yang boleh membantu melancarkan penghadaman dalam usus.

Menurut Ainin lagi, apabila makan menggunakan tangan, bakteria baik akan ditelan sekali. Hal ini baik untuk pelbagai anggota badan yang lain seperti mulut, tekak dan usus, malah dapat mengekalkan usus yang sihat dan berfungsi dengan baik.

Persepsi bahawa makan menggunakan tangan adalah kotor turut dinafikan olehnya. Tanggapan yang tidak berasas ini dianggap tidak relevan dengan kajian saintifik berkenaan makan menggunakan tangan.

Amat disarankan untuk kita membersihkan tangan dengan sebaiknya sebelum menjamah makanan dengan merujuk kepada lapan langkah dalam membasuh tangan dengan betul.

Tidak semestinya makan menggunakan alatan seperti sudu, garfu dan sebagainya lebih bersih berbanding tangan.

Jika alat yang digunakan tidak dicuci atau dijaga dengan bersih, tetap sahaja makanan yang dimakan akan dicemari dan memberi kesan buruk.

Artikel YesDok turut menerangkan bahawa makan menggunakan sudu boleh menjadi punca kepada gangguan deria rasa pada lidah kerana mereka tidak menyedari suhu makanan tersebut.

Wan Sofia Wan Azmi, 22, pelajar tahun tiga di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh menyatakan bahawa penggunaan tangan ketika makan adalah tidak salah kerana ia merupakan satu adat atau sunnah agama.

Wan Sofia Wan Azmi ketika bergambar di tempat pengajiannya di UiTM Sungai Buloh.

(Sumber: Wan Sofia Wan Azmi)

Sofia yang merupakan pelajar jurusan perubatan turut menyatakan bahawa mengikut pembacaannya, terdapat banyak kebaikan dalam makan menggunakan tangan termasuk dapat menyihatkan pencernaan, meningkatkan sirkulasi darah, mengawal proporsi makanan dan juga berkemungkinan dapat mengurangkan risiko diabetes.

Beliau juga setuju dengan kenyataan bahawa tangan kita mempunyai bakteria yang baik namun tidak dinafikan tangan juga merupakan anggota badan yang paling banyak membiakkan bakteria tidak kira baik atau tidak.

“Apa yang penting sebelum makan ialah kita perlu membasuh tangan dengan betul,” pesannya ketika ditemu bual oleh Berita DIMENSi melalui aplikasi WhatsApp.

Sebagai seorang pelajar perubatan, dia tidak pernah menghalang sesiapa untuk makan menggunakan tangan mahupun memaksa mereka kerana, hal ini mengikut keselesaan setiap individu.

“Saya hanya memberi kesedaran kepada umum tentang pemahaman makan menggunakan tangan serta kebaikan mengamalkannya,” tambahnya lagi.

Sofia berpendapat bahawa kebimbangan sesetengah masyarakat mengenai budaya ini adalah kerana mereka hanya mengetahui bahawa tangan adalah anggota badan yang paling berisiko untuk mengumpul bakteria.

Beliau juga yakin apabila pengetahuan mengenai kebaikan dan kelebihan budaya makanan ini diterapkan secara lebih mendalam dan terperinci kepada masyarakat.

Oleh itu, segala stigma negatif yang dilemparkan oleh masyarakat terhadap budaya makan menggunakan tangan dapat dibendung.

Hal ini perlu dikukuhkan lagi dengan hasil-hasil kajian lepas yang menyatakan kebaikan makan menggunakan tangan agar setiap orang akan lebih yakin jika wujud bukti yang jelas.

Sofia juga menyatakan bahawa kaedah makan menggunakan tangan kiri atau kanan tidak mempunyai sebarang perbezaan dan kesan, tetapi seseorang individu itu perlu kerap membasuh tangan terutamanya sebelum makan.

Beliau menegaskan bahawa masyarakat perlu lebih terbuka kepada ilmu dan adat istiadat masing-masing.

Penerangan dan kajian tentang makan menggunakan tangan serta tatacaranya mungkin boleh mengubah persepsi masyarakat yang tidak menyokong untuk makan menggunakan tangan.

Berita DIMENSi telah melakukan tinjauan di aplikasi Instagram mengenai penggunaan tangan ketika makan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Rajah di bawah membuktikan bahawa kaedah pemakanan tidak bergantung kepada agama dan bangsa.

Tinjauan yang dilakukan di aplikasi Instagram wartawan Berita DIMENSi untuk melihat kadar penggunaan kaedah pemakanan dalam kalangan pengguna sosial media.

(Sumber: Berita DIMENSi/Izzati Rahman)

Daripada 121 orang yang membantu dalam tinjauan tersebut, 111 orang telah memilih kaedah menggunakan tangan untuk makan.

81 daripada undian tersebut datang daripada mereka yang berbangsa Melayu dan 30 daripada undian tersebut datang daripada individu yang berbangsa India dan Cina.

Manakala bagi 10 lagi undi mengundi kaedah penggunaan sudu dan garfu sebagai kaedah pemakanan harian mereka. Lima daripada undi tersebut berbangsa Cina, tiga berbangsa India dan dua lagi berbangsa Melayu.

Menurut World Population Prospects, negara India mempunyai purata tertinggi untuk makan menggunakan tangan diikuti Amerika Syarikat dan Jepun.

(Sumber: World Population Aspects)

Penggunaan tangan tidak bergantung kepada agama dan bangsa sesuatu individu tersebut, malah ianya terletak kepada keinginan seseorang itu dan juga budaya yang telah dipraktikkan oleh keluarga mereka dari sejak mereka lahir lagi.

Kita tidak perlu sentiasa mendongak tinggi akan budaya masyarakat barat yang sering memandang rendah akan penggunaan tangan ketika makan.

Kita perlu lebih menghargai dan menghormati budaya kita yang mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri.

Stigma makan menggunakan tangan menurut masyarakat barat perlu dihentikan dan kita haruslah sentiasa mengingati kebaikan dan manfaat menggunakan tangan ketika makan.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!