INTERACTIVE

MAKHLUK MISTIK DI PULAU DAYANG BUNTING


Pulau Dayang Bunting merupakan pulau kedua terbesar di Langkawi, Kedah.
(Sumber: Nabil Razin)

Pulau Dayang Bunting yang terletak di Langkawi, Kedah terkenal kerana dikhabarkan ada makhluk mistik yang menetap dan akan memakbulkan segala permintaan manusia terutamanya pasangan yang menginginkan anak.


Ia dianggap antara lokasi tarikan utama pelancongan di Langkawi, dipercayai pulau lagenda tersebut banyak menyimpan rahsia serta mitos tersendiri yang sehingga kini masih tersimpan rapi. Hanya pelancong yang bertuah akan dapat merasakan keajaiban pulau tersebut.


Lagenda Pulau Dayang Bunting ini dikatakan bermula pada ratusan tahun dahulu. Mat Teja yang merupakan seorang jin telah jatuh hati kepada Mambang Sari seorang jin yang sering turun bermain bersama-sama dayang-dayangnya di Pasir Telok Ayer Tahun.


Mat Teja dan Mambang Sari akhirnya jatuh cinta apabila seorang lelaki tua bernama “Tuk Diang” memberikan Mat Teja petua-petua yang membolehkan Mambang Sari jatuh cinta kepadanya.


Setelah sekian lama berkongsi kasih akhirnya Mambang Sari membuntingkan anak Mat Teja dan dikhabarkan Mambang Sari pulang ke sebuah tempat yang dipanggil Dayang Beranak untuk melahirkan anaknya.


Namun, malang tidak berbau apabila lagenda mengatakan bahawa anak Mambang Sari meninggal dunia dan dia mencampakkan anaknya ke dalam sebuah tasik dan kini tasik itu dikenali sebagai Tasik Dayang Bunting.


Pulau Dayang Bunting yang merupakan pulau kedua terbesar di Langkawi mempunyai pemandangan gunung-ganang di sekitar tasik itu yang menyerupai sosok badan seorang wanita yang sedang berbaring dengan bentuk kepala, dada dan perut yang sedang bunting.


“Antara mitos tentang Pulau Dayang Bunting adalah pulau tersebut boleh memberi zuriat kepada pasangan yang mandul. Caranya adalah dengan berendam di tasik tersebut.


“Selain daripada mitos, terdapat banyak juga kes orang mati lemas dan bunuh diri di tempat tersebut. Jadi, kepada pengunjung yang ingin ke sana haruslah sentiasa berhati-hati apabila bercakap dan jangan cakap besar,’’ kata Nabil Razin Arifin, 22, melalui temu bual bersama Berita DIMENSi menerusi WhatsApp.


Misteri disebalik Pulau Dayang Bunting Langkawi, Kedah.
(Sumber: Nabil Razin)

Pemandangan itu dapat dilihat di sepanjang perjalanan ketika menaiki bot dari Pulau Langkawi ke Pulau Dayang Bunting yang mengambil masa kira-kira 15 minit. Tarikan utama di pulau ini semestinya tasiknya yang seluas hampir tiga padang bola sepak dan mempamerkan panorama yang indah.


Bukan sahaja keindahan alam semula jadi yang dapat menarik perhatian setiap pengunjung malahan mereka juga dapat merasai sendiri keunikan yang ada di pulau tersebut.


Selain itu, mitos mengenai Pulau Dayang Bunting juga dikatakan mempunyai dua penunggu yang dikenali sebagai buaya putih.


Antara versi mitos yang terkenal menceritakan bahawa anak yang dilahirkan oleh Mambang Sari telah meninggal dunia dan dikebumi di Pulau tersebut. Lalu Mambang Sari bertukar menjadi seekor buaya diikuti oleh suaminya.


Menerusi temubual bersama Berita DIMENSi melalui WhatsApp bersama Syirain Hariza Mohd Radzi, 23, berkata terdapat mitos yang mengatakan pulau tersebut mempunyai penunggu iaitu seekor buaya putih yang menjaga keamanan dan kebersihan kawasan pulau tersebut. Menurutnya, buaya putih itu hanya naik ke permukaan darat apabila tiada manusia.


“Saya tahu tetapi tidak terlalu mendalam. Di tasik ini dikatakan tidak boleh membawa apa-apa minuman keras atau membawa makanan berunsurkan daging babi ke pulau ini.


"Pernah ada pelancong yang datang dalam keadaan mabuk. Sudahnya pelancong itu ditemui mati lemas dengan keadaan kepalanya tersungkur ke dalam tanah di dalam tasik tersebut.


"Kemudian seperti biasa, kawasan itu adalah kawasan hutan yang mempunyai ‘penduduk tetap’ jadi kita harus menjaga kebersihan, menjaga percakapan dan pastikan tidak membawa balik apa-apa sahaja yang ada di pulau dan tasik tersebut,” katanya apabila disoal mengenai pantang larang di pulau berkenaan.


Kesimpulannya, pelbagai versi cerita ataupun mitos mengenai makhluk mistik di pulau tersebut telah disebarkan tetapi kesahihan mengenai mitos ini masih lagi menjadi tanda tanya kepada masyarakat sehingga ke hari ini.



Jawab kuiz dibawah untuk mengetahui makhluk mitos anda!


Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!