INTERACTIVE

LUCID DREAM PUNCA MIMPI NGERI

Gambaran seseorang yang sedang mengalami lucid dream.

(Sumber: Free Vector)

Menyedari diri anda berada di dalam mimpi, merupakan situasi yang menakutkan untuk dialami seseorang.

Kejadian ini sering digelar sebagai out of body experience oleh mereka yang mengalaminya tetapi perkara ini lebih dikenali sebagai lucid dream.

Dalam situasi ini, anda mengalami keadaan di mana mimpi yang dialami ketika tidur kelihatan sangat nyata walaupun tidak benar.

Kamilia Ali Amran, 22, salah seorang yang pernah mengalami lucid dream menceritakan pengalamannya sebelum benar-benar kembali ke dunia realiti.

“Sebelum itu, saya akan berada dalam keadaan yang sangat penat kemudian rasa seperti otak sedang kosong dan ketika mengelamun boleh terjadi lucid dream juga,” katanya dalam satu temubual bersama Berita DIMENSi menerusi aplikasi Whatsapp.

Tambahnya lagi, keletihan yang melampau sehingga minda tidak mampu untuk berfungsi dengan baik merupakan tanda-tanda sebelum berlaku lucid dream ke atas dirinya.

Kamilia juga menjelaskan bahawa dia bebas untuk bergerak ke mana sahaja dan merasakan badannya amat ringan ketika mengalami mimpi tersebut tetapi nafasnya sentiasa sesak.

Ketika terjaga dari mimpi, dia akan merasa keletihan yang melampau seperti baru sahaja selesai berlari dan diikuti dengan rasa sesak nafas.


Lucid Dream, Gangguan Kesihatan Mental

Memetik laporan dari Laman Web Perubatan WebMD, gangguan kesihatan mental tertentu berupaya untuk menghasilkan situasi mimpi yang mengaburkan garis antara perkara sebenar dan apa yang dibayangkan sehingga terasa benar oleh individu yang mengalaminya.

Menurut kajian Abigail Stocks dan rakan pengkaji psikologinya di Eropah, lucid dream mempunyai nilai positif dan boleh membawa kepada peningkatan mood selepas bangun dari tidur.

Memetik laporan kertas kajian Dreaming, Lucid Dreaming and Personality oleh Evelyn Doll di Austria pula menyatakan bahawa situasi tersebut boleh menyumbang kepada kesejahteraan dan pertumbuhan peribadi individu yang mengalaminya.

Kesan lucid dream yang boleh menyebabkan seseorang terjaga dari tidur dalam keadaan resah.

(Sumber: Freepik)

Kajian My Dream, My Rules: Can Lucid Dreaming Treat Nightmares? oleh pakar Brazil pula mendedahkan lucid dream dapat digunakan sebagai salah satu rawatan psikoterapi untuk kegelisahan bagi mengurangkan mimpi buruk.

Lucid dream ini jelas mempunyai kesan baik dan buruknya dari segi saintifik apabila ia juga terjadi disebabkan oleh kegagalan individu untuk mengekalkan amalan tidur yang baik demi kesihatan mereka.

Orang ramai dinasihatkan untuk menjaga waktu tidur bagi mengelakkan situasi seperti ini berlaku dan menjejaskan kesihatan mental dan fizikal mereka pada masa akan datang.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!