INTERACTIVE

KEUNIKAN VARIASI LAKSA DI MALAYSIA

Terdapat pelbagai jenis laksa mengikut negeri, menjadikan laksa sejenis makanan yang amat digemari dan popular di Malaysia.

(Sumber: Rasa.my)

Di Malaysia, pelbagai variasi laksa ada di setiap negeri dan kesemuanya mempunyai keunikannya tersendiri.

Laksa merupakan antara makanan yang menjadi pilihan utama masyarakat Malaysia sebagai sajian harian tidak kira buat keluarga atau tetamu yang datang ke rumah.

Menurut The Patriots, makanan ini juga mendapat sambutan yang hangat daripada masyarakat luar negara walaupun sering tercetus salah faham berkenaan bahan yang digunakan dalam sajian tersebut.

Laksa yang berasal dari negeri yang berlainan ini, menggunakan bahan yang berbeza sehingga menjadi suatu kekeliruan kepada masyarakat kerana ada laksa yang kelihatan serupa tetapi rasanya tidak sama.

Bahan yang amat sinonim dengan laksa ialah ikan namun setiap laksa menggunakan ikan yang berlainan, sebagai contohnya ikan kembung, ikan parang dan ada juga yang tidak menggunakan ikan sama sekali.

Noriah Zainuddin, 60, yang berasal dari Kedah dan sering menyajikan keluarganya laksa Penang berkata, ikan yang hendak digunakan mestilah ikan yang segar dan bukan ikan yang sudah lama kerana bimbang kuah laksa akan rosak dalam masa yang singkat.

“Cili kering, daun kesum dan bunga kantan dikisar dan akan dimasukkan ke dalam laksa supaya lebih wangi.

“Kalau tidak menggunakan semua bahan tersebut pun tiada masalah, yang penting ialah ikan yang segar,” katanya dalam temubual bersama Berita DIMENSi melalui Google Meet.

Menurut artikel oleh soscili.my, rata-rata masyarakat menyangka bahawa laksa merupakan makanan yang berasal daripada masyarakat Melayu. Namun hakikatnya, sajian tersebut merupakan inovasi daripada isteri-isteri pedagang dari China yang datang ke Malaysia.

Mereka merupakan antara masyarakat terawal yang mencipta resepi laksa dengan menggunakan pelbagai resepi tradisi sendiri sehingga resepi tersebut tidak lagi diperbaharui oleh masyarakat yang seterusnya sehingga kini.

Tidak dapat dinafikan bahawa laksa Penang menjadi pilihan utama kebanyakan masyarakat pada hari ini tetapi ada juga di antara masyarakat kita yang lebih meminati laksa dari negeri yang lain.

Laksa Johor merupakan laksa yang unik kerana menggunakan spageti.

(Sumber: Asian Inspirations)

Nurulain Ahmad, 36, yang berkebolehan membuat pelbagai jenis laksa seperti laksa Siam, laksa Penang, dan juga laksa Johor memilih menggunakan ikan selayang dalam hidangan laksanya kerana lebih murah dan manis.

“Perbezaan laksa di setiap negeri ini bukan sahaja berkaitan ikan yang digunakan, namun termasuk cara memasaknya. Contohnya, ada yang perlu ditumis dan ada yang tidak perlu.

“Sama juga dengan mi, ada yang menggunakan spageti dan ada yang menggunakan laksa beras,” katanya dalam temubual bersama Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Beralih kepada laksa Penang dan laksa Kedah pula, kemungkinan besar kita yang menggemari laksa menganggap rasa dan resepi kedua-dua jenis laksa ini sama, walhal ada kelainan yang menjadikan kedua-dua laksa tersebut berbeza.

Artikel daripada Sinar Harian menyatakan bahawa kuah laksa Kedah menggunakan isi ikan yang telah hancur ditumbuk sehingga sebati serta menggunakan asam keping.

Kuah laksa Penang pula menggunakan isi ikan yang dicarik kecil-kecilan dan menggunakan air asam jawa yang menjadikan kuahnya lebih masam.


Pelbagai Kebaikan Laksa

Penggunaan kuantiti ikan yang banyak dalam penghasilan kuah laksa mewujudkan sebuah sistem pemakanan yang seimbang dimana kuah laksa mengandungi kandungan Omega-3 yang tinggi daripada ikan yang digunakan.

Ikan merupakan bahan asas kuah laksa yang memberikan banyak kebaikan kepada mereka yang menjamahnya.

(Sumber: Vitdaily)

Menurut Portal Rasmi MyHEALTH, kandungan Omega-3 ini mampu memberi banyak kebaikan antaranya dapat mengurangkan risiko sakit jantung, mengukuhkan sistem imun, serta membantu otak berfungsi dengan lebih baik.

Penyediaan laksa disaji dengan pelbagai jenis ulaman menjadikan sajian tersebut makanan yang seimbang daripada segi protein dan khasiat yang ada padanya.

Noriah juga sering menyajikan keluarganya laksa Penang kerana laksa merupakan antara makanan rendah kalori dan digemari oleh mereka sekeluarga.

“Disebabkan tidak menggunakan banyak minyak, laksa ini adalah satu makanan yang sihat. Ia juga sesuai untuk orang yang hendak diet kerana tidak berlemak,” katanya dalam temubual bersama Berita DIMENSi melalui Google Meet.

Laksa sememangnya satu jenis makanan yang penuh dengan kepelbagaian dan faktor ini yang menjadikan laksa masih bertahan sampai ke hari ini selain khasiatnya kepada tubuh badan.

Like the article? Share it now!