CAMPUS

SEGELINTIR MAHASISWA TERPAKSA BEKERJA DEMI SARA HIDUP

Ahad, 11 Disember 2022
Oleh Puteri Syafeeqa

SHAH ALAM: Kos sara hidup yang semakin meningkat mendorong segelintir mahasiswa untuk bekerja sambilan bagi menampung perbelanjaan harian mereka.

Namun begitu, tekanan bekerja sambil belajar boleh mempengaruhi kesejahteraan fizikal serta mental dan boleh menjejaskan prestasi akademik seorang mahasiswa.

Mahasiswa universiti awam, Nur Fatihah Abdul Manap, 22, yang bekerja sambilan di sebuah restoran makanan segera mengakui amat sukar baginya untuk membahagikan masa antara bekerja dan belajar.  

Nur Fatihah Abdul Manap
(Sumber: Nur Fatihah Abdul Manap)

“Kadangkala saya tertidur di dalam kelas kerana terlalu penat bekerja. Namun begitu, jika saya tidak bekerja,saya tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli makanan dan keperluan lain.

“Saya banyak mengambil minuman berkafein untuk memastikan dia tidak mengantuk ketika bekerja,” jelasnya.

Bagi Fatihah, pelajaran merupakan perkara yang sangat penting jadi amat sukar baginya untuk berhenti belajar dan fokus terhadap pekerjaannya sahaja.

Manakala, mahasiswa universiti swasta, Asyraf Rahmat, 23, yang bekerja sambilan di premis makanan segera juga mengambil keputusan untuk bekerja kerana ingin meringankan beban kedua ibu bapanya.

“Saya berasa penat akibat bekerja sehingga tidak pergi ke kelas dan sering ditegur pensyarah kerana kehadiran saya yang semakin merosot.

Asyraf Rahmat
(Sumber: Asyraf Rahmat)

“Jika saya perlu bekerja pada syif malam, saya berkemungkinan terlepas kelas pagi pada keesokan hari, sebaliknya, jika saya tidak bekerja, saya tidak mempunyai wang untuk menampung kehidupan saya,” katanya.

Menurut Asyraf, walaupun menghadapi kesukaran untuk mengimbangi masa antara belajar dan bekerja, beliau percaya bekerja ketika belajar ini dapat menyiapkan dirinya ketika melangkah ke alam pekerjaan pada masa hadapan.

Sementara itu, menurut Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia (OUM), Dr Amiraa Ali Mansor, ramai mahasiswa memilih untuk bekerja ketika sedang belajar kerana mereka tidak mahu mengharapkan wang daripada ibu bapa mereka.

Menurutnya, mahasiswa tidak sepatutnya membuat kerja sambilan terutamanya mereka yang sedang belajar dalam mod sepenuh masa.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia (OUM), Dr Amiraa Ali Mansor
(Sumber: Inspired Open University Malaysia)


“Setiap satu kursus yang berdaftar memerlukan tumpuan untuk menghadiri kelas, membuat tugasan, perbincangan bersama ahli kumpulan yang memerlukan kerjasama, komitmen dan akan memakan masa,” jelasnya.

Selain itu, terdapat juga segelintir mahasiswa yang membuat banyak kerja sampingan untuk mendapatkan wang sehingga keletihan akibat beban berlebihan. 

Amiraa berpendapat, keadaan tersebut berlaku kerana faktor kewangan seperti tidak menerima sebarang penajaan atau ibu bapa yang berpendapatan rendah.

Menurut beliau lagi, mahasiswa yang gagal mengimbangi waktu belajar, bekerja dan juga rehat sudah pasti boleh mengganggu prestasi akademik disebabkan keletihan dan kurang fokus terhadap pembelajaran.

“Keadaan ini boleh bermula dengan tekanan dan sekiranya tidak mampu dibendung boleh menyebabkan burnout sehingga pelajar kelesuan dan hilang minat terhadap pembelajaran.

“Mahasiswa yang bekerja sambilan perlu pandai mengurus masa untuk memastikan prestasi akademik dan kesihatan diri mereka terjaga,” katanya. 

Like the article? Share it now!