CAMPUS

PROMOSI JELAJAH MISI AKADEMIK 2022

Rabu, 9 November 2022
Oleh Anis Suraya, Daniel Ahmad dan Amiesha Abadi 

SHAH ALAM: Bagi meningkatkan enrolmen dan kekal relevan, Pusat Pengajian Komunikasi dan Media, Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM) telah mengadakan misi akademik ke kampus Rembau dan Lendu, Melaka pada November lalu. 

Terkenal dengan gelaran MassComm, pusat pengajian ini kini bergerak maju seiring mempromosikan program Ijazah Sarjana Muda dalam pengajian komunikasi dan media di kampus Rembau dan Alor Gajah pada 9 November lalu.

Kerjasama ini adalah untuk menarik minat mahasiswa diploma tahun akhir bagi meneruskan pembelajaran mereka dalam bidang ini dengan mendedahkan gambaran sebenar program-program menarik yang bakal mereka lakukan.

Pensyarah Kewartawanan, (KPPIM), UiTM Lendu, Dr. Nur Shazana berkata, program seperti ini amat membantu mahasiswa memahami untuk membuat persediaan sebelum meneruskan pembelajaran di peringkat ijazah.

Katanya, mahasiswa diploma di sini hanya diajar perkara asas yang terdapat dalam semua jurusan Komunikasi massa. Oleh itu, tidak mudah untuk mahasiswa membuat keputusan yang sesuai dengan diri mereka.

“Penerangan dari setiap program menolong mahasiswa disini memahami setiap bidang yang ada dan memudahkan mereka membuat pilihan yang sesuai untuk meneruskan pembelajaran di peringkat ijazah sarjana muda kelak,” tambah beliau.

Sementara itu, Khairul Ikhwan, Yang Dipertua (KPPIM), juga menyatakan bahawa program sebegini dapat membimbing mereka mengetahui program yang serasi.

Presiden kelab Komunikasi Antarapersonal, Nurul Hidayah bersemangat menerangkan silibus yang akan dipelajari bagi mahasiswa yang berminat menyambung jurusan tersebut.

“Selepas mendengar perincian semua kursus, antara program yang bakal saya pilih untuk menyambung ijazah sarjana muda adalah program penyiaran, penerbitan dan kewartawanan,” ujarnya.

Tambah beliau, program kali ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada ramai mahasiswa bagi mempersiapkan diri mereka sebelum melangkah ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Wakil jurusan perhubungan awam, Hazwien Aifa dan Farah Wahida memberikan ucapan pengenalan mengenai jurusan mereka.

KPPIM juga telah melahirkan graduan-graduan hebat seperti Phalida Wen, Syafiq Nasir dan Haswari Ali yang turut hadir ke program ini bagi menyahut seruan UiTM menjadi alumni yang memberi manfaat.

Mutu alumni kini boleh dikatakan semakin hebat dengan adanya usaha dari pihak fakulti untuk terus mengadakan program seperti ini yang menjadi kebanggaan UiTM dan dikenali oleh semua rakyat Malaysia. 

Azib Zikri Abdul Halim, 22, merupakan Presiden Journalism Society berpendapat program ini perlu diteruskan untuk membantu mahasiswa diploma membuat keputusan dimana sebenarnya minat mereka.

“Bukan itu sahaja, program ini seharusnya dijalankan secara bersiri bagi semua jurusan agar input yang diberi dapat diterangkan dengan lebih mendalam,”

“Diharapkan program sebegini dapat dibuat untuk pelajar-pelajar STPM, pelajar matrikulasi dan mahasiswa Diploma jurusan lain yang tidak tahu kewujudan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa di UiTM,” katanya. 

Like the article? Share it now!