KURIKULUM PROGRAM PENGAJIAN INOVATIF
KURIKULUM PROGRAM PENGAJIAN INOVATIF
DEFINISI KURIKULUM PROGRAM PENGAJIAN INOVATIF
Kurikulum inovatif merupakan program akademik yang memberikan penekanan terhadap reka bentuk kurikulum yang berasaskan hasil pembelajaran pelajar. Ini merangkumi pedagogi yang inovatif, pentaksiran alternatif dan persekitaran pembelajaran kondusif dan interaktif. Kurikulum ini memberikan inspirasi kepada pelajar menjadi lebih kreatif, kritis dan analitik bagi mencapai hasil pembelajaran yang responsif kepada perubahan serta keperluan negara dan global.
OBJEKTIF ANUGERAH
Anugerah kategori ini bertujuan mengiktiraf program akademik pendidikan tinggi (di semua peringkat pengajian) yang menekankan reka bentuk kurikulum secara inovatif dan kreatif sehingga berjaya melahirkan graduan yang berdaya saing dan tersedia pada masa hadapan (competitive and future-ready graduants).
SYARAT DAN KRITERIA PENILAIAN
Syarat Permohonan:
Permohonan terbuka kepada individu / kumpulan individu.
Hanya satu (1) penyertaan setiap individu / kumpulan individu.
Pemohon perlu mengemukakan ebook (dokumen sokongan dan pembuktian dalam pdf) dan satu (1) video berdurasi tidak lebih daripada tiga (3) minit yang menerangkan projek masing-masing.
Permohonan MESTI diperakukan oleh Dekan/Pengarah setaraf atau Timbalan Dekan Akademik/setaraf.
Kategori : Kurikulum Program Pengajian Inovatif
Semua penyertaan akan dinilai berasaskan aspek-aspek berikut:
Kriteria Penilaian
Rasional (10%);
Pendekatan Kaedah Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) (30%);
Keterlibatan (20%); dan
Impak / Keberkesanan (40%)
a) Rasional (10%)
Apakah rasional pembangunan kurikulum program akademik ini?
Sejauh manakah falsafah dalam penggubalan kurikulum disokong oleh aspek pedagogi yang inovatif, pentaksiran alternatif dan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan interaktif?
Sejauh manakah penambahbaikan berterusan dalam kurikulum memberi nilai tambah dan inspirasi kepada pelajar agar menjadi lebih kreatif, kritis dan analitik?
Bagaimanakah kurikulum yang dibangunkan telah berjaya melahirkan graduan yang berdaya saing dan tersedia pada masa hadapan (competitive and future-ready graduants)?
Bagaimanakah reka bentuk kurikulum dapat menerapkan hasil pembelajaran program yang menepati perubahan semasa dan masa hadapan serta memenuhi keperluan pemegang taruh (contoh: institusi, industri, komuniti, keperluan dalam negara dan/atau antarabangsa)?
b) Pendekatan Kaedah Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) (30%)
Bagaimanakah penjajaran konstruktif diterapkan dalam aktiviti Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) program?
Bagaimanakah strategi inovatif (dalam kurikulum, penyampaian dan pentaksiran) diterapkan dalam aktiviti PdP program?
Bagaimanakah pelaksanaan kurikulum mengambil kira penyampaian (kandungan dan/atau kaedah penyampaian) dalam PdP yang inovatif?
Bagaimanakah pelaksanaan kurikulum mengambil kira pentaksiran alternatif dalam PdP yang menyokong hasil pembelajaran program?
c) Keterlibatan (20%)
Bagaimanakah sumber pendidikan (tenaga pengajar yang terlatih, fasiliti: infrastruktur dan infostruktur, ruang pembelajaran) serta dasar dan inisiatif institusi menyokong penyampaian kurikulum yang lebih efisien bagi melahirkan pelajar yang lebih inovatif?
Bagaimanakah pemegang taruh (pengurusan IPT, industri, komuniti, penaja, pelajar, alumni dan lainlain) terlibat dalam mereka bentuk kurikulum, membuat semakan semula, dan menilai pelaksanaan serta pentaksiran dalam PdP?
d) Impak / Keberkesanan (40%)
Berapakah bilangan permohonan dan kemasukan pelajar bagi program ini?
Bagaimanakah kurikulum program ini berupaya menampilkan kemenjadian graduan?
Sejauh manakah kurikulum program ini memberi impak kepada kualiti pembelajaran pelajar?
Berapakah peratusan pencapaian kebolehpasaran graduan dalam program ini?
Bagaimanakah program ini berjaya menghasilkan graduan yang mampu mencipta pekerjaan atau syarikat pemula (start-up) dalam bidang dan/atau memenuhi keperluan Guna Tenaga Negara?