mengenal pasti cara membina kepercayaan dalam berkolaborasi; dan
mempelajari strategi untuk berkolaborasi di pelantar digital
“Betul juga kata Kieran.
Semua orang datang dengan pemikiran, pengalaman dan latar belakang yang berbeza. Jadi bagaimana cara untuk memastikan semua orang ini dapat bekerja bersama-sama dengan jayanya?” sampuk Mei Ling.
“KEPERCAYAAN adalah kata kuncinya,” jelas Cikgu Chang dengan yakin.
Kadangkala keadaan berubah, dan kita tidak mengetahui semua perkara yang berlaku di dunia ini. Jangan takut untuk mengatakan “Saya tidak tahu (tentang perkara ini) dan saya akan mencari maklumat tentangnya.”
Nyatakan fakta. Kamu tidak perlu mengada-adakan sesuatu hanya kerana kamu seorang pemimpin atau orang lain bergantung harap kepada kamu. Dapatkan bantuan daripada guru, sumber atau orang lain yang boleh membantu kamu menemukan pengetahuan yang betul dan tepat.
Apabila ingin mendapatkan sokongan daripada orang lain, fokus kepada cara yang baik dan positif dalam melakukan sesuatu tindakan, dan pastikan mereka tahu manfaat untuk diri mereka supaya mereka faham mengapa mereka perlu membantu.
“Macam mana pula kalau orang hilang kepercayaan kepada kita apabila apa yang kita katakan atau tindakan kita disalah faham atau telah menyakiti mereka?” tanya Mei Ling lagi.
“Semua orang melakukan kesilapan. Kita hanya manusia. Ada masanya kita sakiti orang lain, dan ada masanya kita juga disakiti
tetapi kita boleh belajar bagaimana untuk membaik pulih kepercayaan dan mendapatkan penyokong kita semula, ” jelas Cikgu Chang.
Cikgu Chang mendapat panggilan telefon dan keluar untuk menjawabnya.
Ana memanggil rakan-rakannya berkumpul, “Saya berasa amat terinspirasi daripada apa yang kita pelajari hari ini. Saya hendak kongsikan sedikit renungan dengan keluarga dan rakan-rakan di tempat asal saya melalui media sosial.”
“Kalau begitu, apa kata kamu ceritakan juga tentang bagaimana kita di SMK Pemimpin sedang cuba memperbaiki ruang permainan supaya kita boleh dapatkan idea daripada orang lain juga?” cadang Mei Ling.
Rakan-rakan yang lain mengangguk bersetuju. Cikgu Chang kembali ke dalam kelas dan Ana serta Mei Ling menerangkan buah fikiran mereka kepada beliau.
“Media sosial ada capaian yang luas. Jadi kita boleh berkongsi idea, meningkatkan kesedaran dan menggalakkan sokongan kepada projek kita,” tambah Kieran.
Ana, Mei Ling, Kieran dan pelajar-pelajar yang lain mula memberi idea mereka dengan diperhatikan oleh Cikgu Chang. “Orang muda lebih kenal media sosial,” fikirnya.
Sumber: datareportal
Susun dan isikan akaun media sosial dengan perkongsian maklumat dan perkembangan tentang aktiviti/projek yang kamu lakukan.
Tumpu maklumat kepada matlamat, berinteraksi dengan orang lain dan galakkan perbincangan dalam kalangan pengikut kamu.
Ketahui apa yang diperkatakan oleh orang lain dalam talian menggunakan tanda pagar (#) untuk menemukan pemahaman yang lebih mendalam tentang topik tren dan terkini, serta pandangan orang lain terhadap topik tersebut.
Satu cara yang menarik adalah melancarkan tinjauan/undian untuk mendapatkan pandangan awam berkenaan projek kamu secara dalam talian.
Kempen digital menyebar luaskan mesej kepada lebih ramai orang, dan membuka peluang untuk orang ramai menyertai aktiviti/projek kamu.
Kamu boleh mencari kumpulan atau organisasi
yang lebih berpengalaman
dan bergabung dengan mereka.
Pempengaruh adalah individu dengan jumlah pengikut yang ramai dan mempunyai pengaruh yang besar di media sosial.
Mereka boleh membantu menyebarkan mesej kamu kepada jaringan yang lebih besar. Hubungi mereka dan kongsikan ‘content’.
Berkolaborasi dengan mereka yang sependapat dan memiliki pengikut yang ramai akan memberi kamu peluang untuk berhubung dengan lebih ramai orang.
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Lagu yang dinyanyikan beramai-ramai lebih lantang bunyinya berbanding yang dinyanyikan sendirian.