Ustazah Noor Wahyu Binti Malek (Guru Besar SRITI Ibnu Falah )
Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh
Segala puji dipanjatkan kepada hadrat Allah SWT, Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, insan pilihan yang membawa rahmat kepada seluruh alam, yang telah mengharungi pelbagai cabaran serta kesusahan demi menyampaikan risalah tauhid dengan penuh hikmah dan kesabaran. Sesungguhnya, dengan pengorbanan baginda dan para sahabat, kita hari ini masih dapat merasai nikmat iman dan Islam yang menjadi cahaya dalam kehidupan.
Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Ibnu Falah Putrajaya menunjung tinggi warisan dakwah ini, malah menjadikan asas utama dalam membentuk sistem pendidikan yang holistik. Oleh kerana itu, kami berusaha untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga mantap dari sudut sahsiah, akhlak dan kefahaman agama. Kurikulum KAFFAH dan TQS digubal khusus dengan menjadikan Al-Quran sebagai tunjang utama, dan pada masa yang sama disepadukan secara harmoni dengan silibus KAFA di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
SRITI Ibnu Falah mula beroperasi secara rasmi pada tahun 2018 dengan hanya tiga orang guru dan 20 orang murid. Namun begitu, dengan izin Allah SWT serta kepercayaan dan sokongan daripada ibu bapa dan masyarakat sekeliling, kami terus berkembang dari tahun ke tahun. Menjelang tahun 2025, jumlah murid telah mencecah seramai 276 orang, manakala tenaga pengajar dan kakitangan bertambah kepada 33 orang, seterusnya beroperasi dengan lebih selesa di bangunan tetap kami yang terletak di Presint 15, Putrajaya.
Berlandaskan matlamat โMembina Generasi Soleh, Pintar, Rabbani dan Murabbiโ, SRITI Ibnu Falah sentiasa komited dalam memberikan pendidikan yang seimbang antara ilmu dunia dan akhirat. Kami amat menghargai setiap sokongan, kepercayaan dan kerjasama yang diberikan oleh ibu bapa serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung, kerana kami percaya pendidikan anak-anak adalah tanggungjawab bersama yang perlu digalas dengan penuh keikhlasan dan komitmen.
Terima kasih atas sokongan berterusan. Sirru 'ala barakatillah โ teruskan melangkah di bawah naungan keberkatan Ilahi.
Senarai Guru Besar SRITI Ibnu Falah
2018-2020
2020-2025
2025-kini