SEJARAH PULAPOL KUALA LUMPUR
SEJARAH PULAPOL KUALA LUMPUR
Sejarah PULAPOL bermula pada 20 November 1904, hasil usaha Kapten Graham iaitu bekas Pegawai Malay States Guides. Kedudukan asalnya di Bluff Road yang sekarang terletaknya Ibu Pejabat Polis, Bukit Aman. Kawasan ini asalnya bekas Ibu Pejabat Malay States Guides yang strategik di Kuala Lumpur. Pengambilan pelatih pertama kali ialah pada 1905, membabitkan 207 pelatih berbangsa Melayu dan 219 pelatih berbangsa India.
Pada sekitar 1920, satu usaha untuk mencari tapak bagi membina Pusat Latihan Polis yang baru dilaksanakan ekoran perkembangan penugasan Pasukan Polis yang memerlukan penambahan anggota, di samping kedudukan pusat latihan sedia ada yang berbukit serta tidak memiliki kemudahan yang mencukupi. Bagaimanapun, usaha ini tertangguh ekoran kegawatan ekonomi sebelum ia dikaji semula lima tahun kemudian.
Impian ini menjadi kenyataan apabila satu kawasan strategik di Jalan Gurney (dulunya Jalan Semarak dan kini Jalan Sultan Yahya Petra) dikenal pasti dan kerja pembinaan dimulakan pada sekitar 1930-an. Bagaimanapun, kerja itu tergendala di atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Pada 1936, kerja pembinaan disambung semula.
Pusat Latihan Polis di Jalan Bluff dipindah secara rasminya ke Pusat Latihan Polis di lokasi sekarang pada Oktober 1940. Pengambilan pelatih tergendala ekoran kemaraan tentera Jepun di Tanah Melayu pada 1941 dan anggota polis yang bertugas di pusat latihan ini ditukarkan ke tempat lain bagi mematahkan serangan tentera musuh. Dengan kejatuhan Tanah Melayu, Pusat Latihan Polis ini dijadikan sebagai Markas Kompetai Jepun yang terbesar. Apabila Jepun menyerah kalah pada Ogos 1945, pusat latihan ini diambil alih oleh British dan disusun semula strukturnya untuk dijadikan sebagai pusat latihan terbesar di mana dapat menyediakan latihan asas mengenai pengurusan kepolisian secara teori dan praktikal. Pucuk pimpinan sebagai Komandan Pusat Latihan Polis selepas pemerintahan Jepun diserahkan kepada Mr J D Fairhead pada 1945 hingga 1946. Dari 1946 hingga 1957, semua Komandan Pusat Latihan Polis adalah daripada pegawai British.
Selepas mencapai kemerdekaan pada 1957, pucuk pimpinan Pusat Latihan Polis bertukar tangan kepada anak watan. Anak Melayu pertama menjadi Komandan Pusat Latihan Polis ini ialah Tuan Merican Sutan. Beliau memegang jawatan ini dari 25 November 1957 hingga 24 November 1959. Mulai 1940 hingga 2007, pusat latihan ini diterajui oleh seramai 44 orang Komandan. Pada 1977, institusi ini dikenali sebagai PULAPOL (Pusat Latihan Polis) dan kini diterajui oleh SAC Kamal Faizul bin Mohd Zain.